LONDON: Harry Kane meraih satu lagi pencapaian penting bersama skuad England apabila menyamai rekod milik penjaga gol, Peter Shilton, sebagai pemain yang meraih penampilan terbanyak bersama pasukan kebangsaan bergelar The Three Lions itu.

Penyerang Bayern Munich itu membuat penampilan ke-125 bersama pasukan England ketika berdepan Republik Czech dalam saingan Liga Negara-Negara Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) pada 6 Oktober.

Dalam aksi di Stadium Wembley itu, England menewaskan Republik Czech 3-0 dengan Kane menjaringkan dua gol pada minit ke-40 dan 57.

Kane kini juga memegang rekod selaku penjaring gol terbanyak England dengan 91 gol daripada 125 penampilan sepanjang kerjaya antarabangsanya.

Pemegang rekod selama 36 tahun itu, Shilton, turut mengucapkan tahniah kepada Kane menerusi satu hantaran di media sosial:

“Saya yakin anda akan mengatasi rekod ini pada November, dan mungkin terus mencipta rekod baharu yang sukar ditandingi oleh sesiapa pun.

“Harry, anda masih menunjukkan aksi cemerlang, berprestasi tinggi dan terus menjaringkan gol.

“Saya tahu betapa besar dedikasi dan kerja keras yang anda curahkan untuk mencapai peringkat ini, terutamanya sebagai penyerang – yang menurut saya adalah satu posisi paling sukar untuk dimainkan, diikuti penjaga gol.”

Berikut merupakan sorotan ringkas permulaan kerjaya kapten pasukan kebangsaan England berkenaan.

Perjalanan Kane bermula pada usia enam tahun apabila beliau menghadiri ujian bakat bersama Ridgeway Rovers pada 1999 – kelab belia yang mencungkil bakat David Beckham sebelum ini.

Kelincahan Kane di padang bersama Ridgeway Rovers dan skuad daerah Waltham Forest telah menarik perhatian pencari bakat profesional.

Arsenal pantas mengikat bakat muda itu tetapi memilih untuk tidak mengekalkannya, manakala Watford turut melepaskan peluang untuk menandatangani Kane.

Tottenham Hotspur hadir memberi harapan kepada Kane yang pada waktu itu berumur 11 tahun selepas kekecewaan awalnya.

Ini meskipun Kane bukanlah pilihan utama atau pemain terbaik dalam kalangan rakan sebayanya ketika itu.

Semangat dan kesungguhan Kane untuk belajar serta menambah baik prestasi memikat hati kakitangan akademi Tottenham, lalu beliau menandatangani kontrak biasiswa bersama kelab itu pada hari lahirnya yang ke-16 pada 28 Julai 2009.

Kane kemudian menyertai kelab Liga Satu, Leyton Orient, dan berpeluang membuat penampilan sulungnya di peringkat profesional pada Januari 2011 menentang Rochdale, apabila menggantikan penyerang veteran, Scott McGleish.

Kane berjaya menjaringkan lima gol dalam sembilan aksi sebagai kesebelasan utama.

“Harry tidak seperti sebilangan pemain Liga Perdana lain yang datang dengan sikap ‘besar kepala’. Beliau benar-benar mahukan pengalaman menimba ilmu dalam apa yang saya panggil bola sepak lelaki dewasa.

“Sejak awal lagi beliau sudah bersedia untuk berjuang merebut tempat (di padang). Dalam sesi latihan, beliau sedia bertungkus-lumus dan bekerja keras.

“Menerusi latihan dan perlawanan yang diikutinya, anda boleh nampak beliau mempunyai bakat serta keinginan tinggi untuk pergi lebih jauh,” kata McGleish.

Selepas beraksi dalam beberapa perlawanan skuad utama Tottenham, pada Januari 2012, beliau dipinjamkan kepada kelab Liga Kejuaraan, Millwall, yang ketika itu sedang terkial-kial.

Sumbangan sembilan gol Kane membantu menyelamatkan pasukan berkenaan daripada penyingkiran.

Selepas membuat penampilan sulungnya dalam Liga Perdana bersama Tottenham pada Ogos 2012, Kane – yang berusia 19 tahun ketika itu – dipinjamkan pula kepada Norwich City, dan kemudian Leicester City.

Selepas melalui empat tempoh pinjaman sepanjang tiga musim, Kane akhirnya menghabiskan keseluruhan kempen 2013-14 bersama Tottenham.

Namun, hanya pada April 2014 barulah Kane mendapat peluang beraksi dalam kesebelasan utama Liga Perdana buat kali pertama bersama Tottenham. 

Beliau berjaya menjaringkan gol sulungnya dalam saingan divisyen teratas itu menentang Sunderland, sebelum menambah jaringan dalam dua perlawanan berikutnya menentang West Brom dan Fulham.

Kane terus melangkah lebih jauh selepas mencatat 21 gol Liga Perdana pada musim berikutnya dan menerima panggilan sulung untuk menyertai skuad kebangsaan England pada Mac 2015. 

Beliau akhirnya muncul sebagai penjaring gol terbanyak sepanjang zaman kelab itu dengan 280 gol daripada 435 penampilan, selain meraih tiga anugerah But Emas Liga Perdana.

Satu-satunya kekurangan dalam sejarah kerjaya Kane ialah trofi kejuaraan dan perkara itu berubah apabila beliau menyertai pasukan gergasi Jerman, Bayern Munich, pada 2023.

Setakat ini Kane telah menjaringkan 152 gol daripada 154 perlawanan bersama kelab itu, meraih anugerah But Emas Bundesliga sebanyak tiga kali, serta merangkul dua gelaran juara Bundesliga dan satu kejuaraan Piala Jerman. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti