Kais pagi, makan pagi.

Itulah label yang kebiasaannya diberi kepada golongan seniman yang mencari rezeki daripada kerja seni

Bagaimanapun, bagi artis generasi muda, Fazleen Karlan, 32 tahun, harapannya adalah dirinya dapat mewakili generasi baharu penggiat seni yang mentakrif semula erti kejayaan.

Bagi ramai, kerjaya sebagai artis masih sering dikaitkan dengan ketidakpastian laluan yang didorong oleh minat dan pengorbanan untuk memburu sesuatu yang mungkin dianggap kurang mantap dari segi kewangan.

Dengan mengimbangi antara minat dengan strategi membina kerjaya seni yang mampan dalam jangka panjang, Fazleen menekankan keperluan mengubah takrifan masyarakat tentang makna sebenar menjadi seorang artis hari ini.

Persepsi itu bukan sesuatu yang asing baginya, yang kerap berdepan persoalan sama ada menjadi artis merupakan kerjaya sebenar.

“Bagi saya, istilah ‘struggling artist’ itu ada betul dan ada yang tidak tepat pengertiannya.

“Pada umumnya, mungkin ada yang tidak faham atau kurang faham tentang kerjaya kami sebagai seniman,” katanya dalam satu episod podcast NoTapis, terbitan Berita Harian (BH).

Fazleen menyifatkan perjalanannya sebagai proses yang memerlukan penyesuaian berterusan, perancangan teliti dan kesediaan meneroka pelbagai peluang.

Kelangsungan dalam bidang seni pula bukan sesuatu yang berlaku secara kebetulan, tetapi perlu dibina secara bertahap seiring tekad bulat.

Kini bekerja sebagai artis bebas, beliau mengimbangi amalan seni dengan mengajar serta terlibat dalam pelbagai projek kerjasama, serta mengendalikan beberapa komitmen serentak.

“Pekerjaan sebagai artis berbeza daripada kerjaya yang masuk 9 pagi dan tamat 5 petang.

“Ini sesuatu yang kita juga harus fikirkan... bagaimana kita mahu melakar kerjaya kita?” jelas lulusan Maktab Seni Lasalle itu.

Walaupun keadaan itu mungkin dilihat tidak menentu oleh sesetengah pihak, Fazleen menganggapnya sebagai sebahagian laluan kerjaya seni masa kini.

Karya beliau yang bernaung di bawah nama seni NEO_ARTEFACTS, kini dipamerkan di Taman Warisan Melayu (TWM), yang tampil dengan nafas baharu, menggabungkan ciri tradisional dan kontemporari dalam mengetengahkan khazanah warisan.

TWM bakal dibuka semula pada 25 April, selepas satu proses membaik pulih bangunan yang menyimpan khazanah Melayu.

Ia awalnya, ditutup sejak 30 Oktober 2022 untuk kerja baik pulih, ubah elok, dan pembangunan semula secara menyeluruh.

Bagi Fazleen, peluang mengetengahkan kerja seninya di TWM bukan sekadar mempamerkan hasil kerja seni, malah, usaha mendampingi masyarakat melalui pendekatan lebih interaktif.

Beliau mengambil inspirasi daripada minatnya tentang arkeologi atau kaji purba yang dipupuk melalui tugasnya sebagai teknisyen pascapenggalian.

Menurut Fazleen, karya tersebut menggabungkan serpihan seramik yang ditemui semasa penggalian di tapak Istana Kampong Gelam.

Melalui kerjasama dengan TWM, karyanya turut diperluas ke kegiatan seperti bengkel, yang memberi peluang kepada pengunjung, khususnya kanak-kanak, memahami asas arkeologi secara lebih mendalam.

Walaupun beliau mengakui karyanya bersifat tukikan atau ‘niche’, Fazleen tidak melihatnya sebagai kekangan.

Sebaliknya, ia menjadi ruang yang mencabar pemikiran dan memperkenalkan perspektif baharu kepada mereka yang melihatnya.

“Apa yang kelihatan satu tukikan khusus sebenarnya membuka ruang untuk kita meneroka cara berfikir yang berbeza,” ujarnya.

Dalam podcast tersebut, Fazleen turut berkongsi cabaran dalam ekosistem seni, khususnya tekanan untuk sentiasa kekal relevan dan kelihatan di wadah digital.

Dalam landskap hari ini, artis sering dijangka aktif di media sosial di samping menghasilkan karya.

Walaupun sentiasa kelihatan membuat kandungan terkini di media sosial, langkah yang membuka peluang baharu, keterlibatan dalam dunia canggih juga boleh mengurangkan masa dalam mengasah kemahiran.

“Sebagai artis, kita perlukan masa untuk berkembang dan memperbaiki kemahiran.

“Kalau terlalu fokus kepada keinginan nak selalu muncul di media sosial, kita mungkin hilang tumpuan kepada perkara yang sepatutnya seorang seniman lakukan,” jelasnya.

Pengalamannya bekerjasama dengan institusi seperti TWM turut membentuk pandangannya terhadap peranan institusi dalam seni.

Bagi Fazleen, institusi bukan sekadar ruang yang mengawal, tetapi platform kerjasama bagi merunding idea dan suara artis dapat berkembang bersama naratif yang lebih luas.

Beliau percaya menjadi artis hari ini memerlukan disiplin, keupayaan menyesuaikan diri dan pemikiran jangka panjang.

“Setiap institusi mempunyai rangka kerja atau keutamaan tertentu.

“Sebagai seniman, kita harus fikirkan tentang apa yang kita boleh lakukan dalam ruangan itu.

“Tetapi pada masa yang sama, pastikan suara seniman tetap seiringan dengan apa yang institusi itu boleh lakukan untuk kita,” tambahnya.