Taman Warisan Melayu (TWM) yang disuntik nafas baharu akan membuka pintunya kepada pengunjung pada 25 April. Sebagai sebahagian proses pembaharuan, TWM akan mengetengahkan lima karya seni, hasil kreativiti seniman tempatan bagi melengkapi naratif baharunya, ‘Dari Rantau Ke Rumah’. Berita Harian (BH) menjejak ilham seniman baharu dan veteran ini.

Dahulu seniman mapan, Tumadi Patri, pernah ponteng kerja bagi menghadiri bengkel batik, anjuran Angkatan Pelukis Aneka Daya (Apad) pada 1983.

Namun kini, berkat kegigihannya, karya seniman batik veteran itu tergantung megah di Taman Warisan Melayu (TWM) – yang terletak di Istana Kampong Gelam – yang bakal dibuka semula pada 25 April, selepas satu proses membaik pulih bangunan yang menyimpan khazanah Melayu.

TWM, awalnya, ditutup sejak 30 Oktober 2022 untuk kerja baik pulih, ubah elok, dan pembangunan semula secara menyeluruh.

Penutupan itu bertujuan menaik taraf kemudahan bangunan bersejarah tersebut serta memperbaharui kandungan pamerannya.

Selama lebih 40 tahun, Tumadi, 67 tahun, telah melestarikan seni warisan batik dan wayang kulit dengan mengekalkan tradisi melalui penggunaan alat tradisional seperti canting dan lilin panas.

Meskipun terdapat teknik lebih moden untuk menghasilkan batik secara lebih cepat seperti menggunakan kaedah cetakan mesin yang menggunakan ‘lilin sejuk’, beliau tetap setia pada cara ‘orang lama’ mengetengahkan kerja seni asli.

Ketika ditemui Berita Harian (BH) di TWM pada 30 Mac, Tumadi berkata teknik mengambil jalan pintas itu melunturkan nilai dan warisan yang tersirat dalam seni menghasilkan batik.

Mengimbau titik permulaan minatnya dalam seni batik dan wayang kulit, beliau berkata:

“Sebelum belajar tentang batik pada 1983, saya dah berjinak-jinak dalam mengukir kayu dan menghasilkan seni kraf tembaga di bangku sekolah.

“Namun, apabila saya melihat iklan Apad di akhbar, saya pun buat perjalanan naik turun bas dari Choa Chu Kang ke Haig Road setiap Sabtu untuk belajar seni.

“Kelas mula 2 petang tapi pada 12 tengah hari, saya dah sampai.

“Apa yang istimewa tentang batik itu sebenarnya kerana ia sangat sebati dengan jiwa saya sebagai seorang anak seni yang berdarah Jawa.

“Batik itu wujud dalam semua aspek hidup saya, seperti dari segi pakaian, manakala wayang kulit dan gamelan itu memang pasti ada semasa saya hadiri majlis atau sambutan perayaan.”

Lebih daripada sekadar lukisan, Tumadi berharap karyanya yang berjudul, Rumah Baru Kami, menjadi cerminan yang mengundang renungan bagi pengunjung TWM.

Rumah Baru Kami, memberi tumpuan kepada watak pencerita, atau Pak Dalang, yang menyampaikan persembahan dinamik watak utama seperti Semar, Petruk, dan Garuda, yang kaya dengan tema perpaduan dan pengukuhan ikatan silaturahim.

Tumadi merupakan salah seorang daripada lima seniman yang mempamerkan karya tempahan TWM.

Empat seniman lain ialah Fazleen Karlan, 32 tahun; Fyerool Darma, 39 tahun; Mysara Aljaru, 33 tahun; dan Bani Haykal, 40 tahun.

Dalam pada itu, Tumadi juga mempunyai ramai anggota keluarga di Pontian, Johor, kawasan terdapat jumlah penduduk Jawa yang ketara.

Membesar di kawasan Lim Chu Kang dan Choa Chu Kang sejak 1960-an, Tumadi menambah, terdapat sebuah kawasan seperti Kampung Jawa di sana, selain daripada masyarakat Cina dan Bawean.

Ini merapatkan dirinya dengan akar budaya kaum Jawa dan mengasah pertuturan dalam bahasa Jawa.

Sejak itu, beliau juga mula menghasilkan lukisan batik kecil yang dijual pada harga $5 atau $10, pada awal 1990-an untuk mendapat wang tambahan.

Tumadi kemudian mengambil kelas sambilan di Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) dan belajar melukis kerja seni ‘still life’ atau alam benda, di mana objeknya tidak hidup dan memberi tumpuan pada butiran objek secara terperinci.

Dalam perkongsiannya, Tumadi bersikap terbuka dan berkata mempraktikkan seni sepenuh masa adalah tidak wajar bagi dirinya ketika itu kerana peralatan yang diperlukan mahal dan ia tidak menguntungkan.

Justeru, beliau kekal bekerja sebagai kerani mesin di sebuah syarikat Belanda yang menghasilkan tong dram selama lebih 30 tahun.

Namun, buat masa ini, beliau masih giat berseni, dengan menghasilkan karya tempahan, menyertai pameran, dan membuka ruang kepada sesiapa sahaja yang berminat mengenali seni ini melalui bengkel yang dianjurkannya, baik di rumah mahupun di ruang awam seperti kelab masyarakat.

“Apa yang istimewa tentang batik itu sebenarnya kerana ia sangat sebati dengan jiwa saya sebagai seorang anak seni yang berdarah Jawa. Batik itu wujud dalam semua aspek hidup saya, seperti dari segi pakaian, manakala wayang kulit dan gamelan itu memang pasti ada semasa saya hadiri majlis atau sambutan perayaan.”
Tumadi Patri, pereka karya ‘Rumah Baru Kami’.

Menerusi karya saya, saya berharap dapat menggalakkan pengunjung untuk meneliti objek-objek tersebut dengan lebih dekat dan mempertimbangkan naratif yang dibawa, terutamanya berkaitan dengan impak interaksi budaya yang berterusan terhadap warisan bersama kita.
Fazleen Karlan, pereka arca pemasangan, ‘Earthly Echoes’.

Karya saya bukan sekadar menggambarkan satu dunia, malah ia membuka banyak ruang lain yang selari. Kami berharap para pengunjung datang dengan persoalan sendiri dan pulang dengan persoalan yang berbeza.
Fyerool Darma, pereka pemasangan dinding, ‘kedaluwar§ak§§ak’.

Menerusi karya saya, saya berharap dapat mengingatkan para penonton tentang daya tahan dan kecekalan yang ditunjukkan oleh wanita-wanita ini dalam mengharungi industri yang didominasi oleh kaum lelaki. Ia juga merupakan satu penghormatan kepada wanita dalam masyarakat kita, bagi menghargai sumbangan mereka serta rintis jalan yang telah mereka usahakan untuk generasi akan datang.
Mysara Aljaru, pereka filem dan pemasangan interaktif, ‘Bintang Layar, Bintang Cipta’.

Saya berharap agar pengunjung terdorong untuk berfikir menjangkaui sistem komunikasi sedia ada. Kita mampu dan seharusnya membayangkan, membina prototaip, serta bereksperimen dengan cara atau bentuk komunikasi berbeza antara satu sama lain.
Bani Haykal, pereka pemasangan bunyi interaktif, ‘sistem penyulitan masyarakat lusa (sipemalu)’.