Panel Penasihat Ekonomi Masa Hadapan (FEAP) yang baru dibentuk akan mempergiatkan usaha terus mengenal pasti ruang pertumbuhan baru bagi memastikan Singapura kekal berdaya saing dan dapat membina kebolehan berterusan.
Mengatakan demikian, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) berkata dalam satu kenyataan pada 15 Ogos bahawa FEAP akan memberi nasihat khusus untuk menyokong perkembangan dan transformasi ekonomi Singapura.
Ia dibentuk susulan tamat penggal Majlis Ekonomi Masa Hadapan (FEP) pada 2023, tambah kenyataan itu.
Sejak ditubuhkan pada 2017, FEP telah menyelia penggubalan dan pelaksanaan Perancangan Perubahan Industri (ITM) merentasi 23 industri, sekali gus menjadi “dorongan kuat dalam usaha transformatif rentas ekonomi”, kata MTI.
FEAP – dianggotai 21 anggota daripada pelbagai latar belakang, seperti ketua perniagaan, persatuan dan dewan perdagangan, kesatuan kerja, ahli akademik dan pemerintah – mengadakan pertemuan pertamanya pada 15 Ogos.
Panel tersebut dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, dan turut dianggotai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.
Antara anggota lain panel itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif yang juga pengarah DBS Group, Encik Piyush Gupta; dan Presiden Microsoft Asia, Encik Ahmed Mazhari.
MTI berkata anggota panel itu dilantik atas pengalaman dan kepakaran luas mereka dalam bidang berbeza dan daya kepimpinan kukuh dalam sektor masing-masing.
“FEAP bertujuan mengenal pasti ruang pertumbuhan baru agar Singapura dapat membina ekosistem kompetitif sejagat, membimbing pelaburan kita dalam aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembelajaran sepanjang hayat... serta membina kerjasama lebih mendalam di dalam dan di luar Singapura,” kata Encik Heng.
“Ia akan memberi input berharga kepada pemerintah tatkala kita mengemudi perubahan pesat dalam teknologi dan pasaran, dalam persekitaran geopolitik yang lebih dipertikaikan.
“Matlamat kita ialah terus mencipta pekerjaan baik bagi rakyat Singapura dan mempertingkatkan kehidupan pekerja kita.”
Seorang anggota FEAP, rakan kongsi kanan yang juga pengarah lembaga bagi Bain & Company, Cik Chew Seow-Chien, berkata:
“Kita perlu mempertingkatkan cara syarikat dan pekerja (di Singapura) menyesuaikan diri dan kekal berdaya tahan di tengah-tengah perubahan yang belum pernah berlaku sebelum ini.
“Aliran global berubah dalam era pascaglobalisasi, mengimbangi penyahkarbonan dan penyediaan tenaga menjadi keutamaan segera, dan kecerdasan buatan (AI) membuka pintu kepada kemungkinan baru.”
Hal itu turut dikongsi Encik Gupta, yang menyifatkan transformasi “bukan sebagai pilihan tetapi satu keperluan”.
“Kerjasama merentasi syarikat berbilang negara dan perusahaan kecil hingga sederhana bukan sahaja berfaedah, malah penting dalam memupuk budaya inovasi serta peningkatan kemahiran ke arah ekonomi masa hadapan yang lebih berdaya saing dan mampan,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg