Mengelak konflik dan mengekalkan sistem perdagangan global yang bebas dan adil adalah cabaran utama pada zaman ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, pada 21 Ogos.
Berucap di Persidangan Ekonomi Serantau 2024 yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Amerika di Singapura (AmChamSG), Encik Heng berkata: “Melangkah ke konflik untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik untuk rakyat bukanlah penyelesaiannya.
“Penyelesaiannya adalah dengan mengadakan sistem perdagangan bebas yang adil, supaya kita boleh membantu satu sama lain dalam membawa kehidupan yang lebih baik untuk rakyat kita.
“Inilah cabaran genting zaman kita.”
Encik Heng berkata dunia perlu bersatu untuk menghadapi cabaran global seperti perubahan iklim, gangguan yang disebabkan oleh kemajuan teknologi, dan isu keselamatan kesihatan seperti pandemik lain, lapor The Straits Times.
Kerjasama global seperti itu tidak mungkin berlaku jika ketegangan geopolitik dan fahaman perlindungan semakin meningkat, kata beliau, merujuk kepada perang perdagangan Amerika Syarikat-China yang semakin sengit.
Beliau merujuk kepada ucapan Perdana Menteri Pengasas, mendiang Encik Lee Kuan Yew, semasa sesi bersama Kongres Amerika pada 1985, di mana bapa pengasas dan perdana menteri pertama Singapura itu memperjuangkan perdagangan dan pelaburan bebas.
Pada masa itu, dunia baru sahaja bangkit daripada kemelesetan dan inflasi yang tinggi dan ramai penggubal undang-undang Amerika menggesa agar langkah fahaman perlindungan dilaksanakan untuk menangani ketidakseimbangan perdagangan, kehilangan pekerjaan dan defisit belanjawan.
Encik Lee, ketika berucap di Kongres, berkata: “Adakah Amerika ingin meninggalkan pertandingan antara demokrasi dan pasaran bebas di satu pihak berbanding Komunisme dan ekonomi terkawal di pihak yang lain, sedangkan ia hampir memenangi pertandingan ini bagi hati dan minda negara Dunia Ketiga?”
Beliau seterusnya menggesa Amerika supaya terus mengekalkan kedudukannya sebagai “ekonomi utama dalam ekonomi pasaran bebas dunia”, dalam perintah antarabangsa yang terbuka, aman dan berasaskan peraturan.
Encik Heng berkata bahawa, dalam beberapa cara, Amerika hari ini menghadapi pilihan yang sama.
Nasib sistem perdagangan global adalah genting bagi Singapura memandangkan kebergantungan ekonomi kepada perdagangan.
Acara AmChamSG di hotel Grand Copthorne Waterfront itu juga menandakan ulang tahun ke-20 Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika-Singapura.
Perdagangan dua hala antara kedua-dua negara itu sejak 2004 telah meningkat hampir tiga kali ganda, mencecah paras tertinggi AS$207 bilion ($271 bilion) pada 2021.
Pelaburan Amerika di Singapura berjumlah AS$309.4 bilion pada 2022.
Perniagaan Amerika di Singapura menggajikan sekitar 191,400 pekerja di sini pada 2021.
Encik Heng berkata Singapura berharap dapat mempertingkat pakatan perdagangan bebas itu dengan perjanjian dalam ekonomi digital.
“Kita tidak boleh melihat ke belakang; kita sepatutnya memandang ke hadapan dan melihat ke hadapan. Saya fikir ekonomi digital akan menjadi penting,” tambahnya.
Singapura telah memuktamadkan lima perjanjian perdagangan digital, termasuk satu dengan Kesatuan Eropah pada Julai.
Pada 2023, Dialog Teknologi Kritikal dan Baru Amerika-Singapura telah dilancarkan.
Inisiatif itu diikuti pada 2024 dengan Pelan Hala Tuju Kerjasama Ekonomi Digital, mengenal pasti bidang keutamaan kepentingan bersama seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan keselamatan siber.
Encik Heng berkata kemajuan saintifik dan teknologi dalam AI generatif dan vaksin mRNA telah membentuk semula keseluruhan industri, dan kehidupan, dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Sifat teknologi canggih ini adalah, sangat mudah untuk memandang terlalu tinggi nilainya dalam jangka pendek dan meremehkan nilainya dalam jangka panjang,” ujar beliau.
Oleh itu, Singapura telah memutuskan untuk memanfaatkan inovasi sedemikian dan memastikan ekonomi dan pekerjanya berdaya saing.
Beliau berkata, memandangkan perniagaan Amerika adalah antara yang paling inovatif di dunia, beliau menjangkakan mereka memainkan peranan untuk membantu membuka kunci inovasi dan transformasi baru di Singapura dan di seluruh rantau Asean.
“
“Penyelesaiannya adalah dengan mengadakan sistem perdagangan bebas yang adil, supaya kita boleh membantu satu sama lain dalam membawa kehidupan yang lebih baik untuk rakyat kita. Inilah cabaran genting zaman kita.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg