Amerika Syarikat digalakkan terus mengembangkan penglibatan ekonominya dengan Asia Tenggara, di samping mengukuhkan kerjasama dengan Asean.
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, membuat gesaan itu kepada Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, semasa panggilan telefon pertama mereka pada 5 Mac, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA).
Dalam satu kenyataan pada 6 Mac, MFA berkata Dr Balakrishnan mengucapkan tahniah kepada Encik Rubio atas pelantikannya semasa panggilan itu, dengan kedua-duanya mengesahkan hubungan kukuh dan lama antara Singapura dengan Amerika, terutama dalam ekonomi dan pertahanan.
Semasa panggilan itu, kedua-dua menyatakan Amerika adalah pelabur asing terbesar di Singapura, manakala Republik ini adalah pelabur Asia ketiga terbesar di Amerika, lapor The Straits Times.
“Sejak Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika-Singapura berkuat kuasa pada 2004, perdagangan dua hala telah meningkat dengan ketara,” kata kenyataan itu.
Satu kenyataan berasingan oleh Jabatan Negara Amerika menambah bahawa terdapat perbincangan mengenai “mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan”, serta kerjasama dalam beberapa bidang, termasuk tenaga dan teknologi baru muncul, ketika kedua-dua mereka berbincang tentang cabaran dan peluang serantau dan sejagat.
“Pegawai itu menyatakan komitmen bersama mengutamakan pertumbuhan ekonomi di kedua-dua negara, dan bertukar-tukar pandangan tentang cara mengukuhkan lagi hubungan keselamatan dua hala bagi manfaat rakyat Amerika, Singapura dan semua negara serantau yang lain,” kata jurucakap Jabatan Negara Amerika, Cik Tammy Bruce.
Menurut MFA, semasa panggilan itu, mereka telah membangkitkan bagaimana Presiden Amerika, Encik Donald Trump, semasa penggal pertamanya, bersama Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong, telah menandatangani lanjutan satu memorandum persefahaman yang dibuat pada 1990 yang membenarkan kapal dan pesawat Amerika digunakan melalui kemudahan Republik ini.
Dalam panggilan itu, Dr Balakrishnan turut mengucapkan terima kasih kepada Amerika kerana menyediakan akses kepada teknologi dan peluang latihan.
Kedua-dua Dr Balakrishnan dan Encik Rubio berkata mereka berharap dapat meneruskan Dialog Teknologi Kritikal dan Muncul (CET) Amerika-Singapura, tambah kementerian itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg