Singapura mesti bersiap sedia menghadapi dunia yang semakin berpecah-belah, tidak menentu dan lebih melindungi kepentingan sendiri, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
Bercakap semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) pada 3 Mac, Dr Balakrishnan menggariskan tiga kebimbangan utama yang membentuk masa depan Singapura: kebangkitan nasionalisme ekonomi, konflik geopolitik yang meningkat, dan kelemahan institusi antarabangsa.
“Kita ingin menjadi sebuah negara yang berguna, tetapi bukan untuk dipergunakan,” katanya, sambil menekankan kepentingan mengekalkan kedaulatan Singapura sambil kekal relevan dalam susunan global yang berubah-ubah.
Rangka kerja global pasca Perang Dunia Kedua yang membolehkan kejayaan ekonomi Singapura kini sedang dicabar, kata Dr Balakrishnan, kerana banyak negara mengutamakan keselamatan negara dan sara diri berbanding perdagangan bebas dan kerjasama pelbagai hala.
“Dunia kini beralih daripada unipolar kepada multipolar, daripada perdagangan bebas kepada perlindungan, daripada multilateralisme kepada unilateralisme, daripada globalisasi kepada hiper-nasionalisme, daripada keterbukaan kepada xenofobia, daripada optimis kepada kebimbangan,” katanya.
Beliau menekankan bahawa Singapura mesti mudah menyesuaikan diri apabila dinamik kuasa global berubah, memastikan ia terus berkembang di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik yang semakin meningkat.
Di sebalik ketidaktentuan ini, beliau menambah bahawa strategi jangka panjang Singapura mesti tertumpu kepada daya tahan ekonomi, pragmatisme diplomatik, dan perpaduan nasional.
“Kekuatan teras kita berakar umbi dalam tiga tonggak utama: kekuatan ekonomi kita; keupayaan kita untuk berdiri di atas kaki sendiri untuk mempertahankan diri; dan perpaduan domestik kita.
“Kita tidak boleh dibeli atau dibuli. Kekuatan fiskal kita dan rizab negara yang besar adalah kelebihan yang besar. Kami tidak meminta bantuan,” kata Dr Balakrishnan.
Beliau menambah bahawa Singapura, yang jumlah dagangannya melebihi tiga kali ganda Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP), amat terdedah kepada risiko peningkatan nasionalisme ekonomi.
Memandangkan lebih banyak negara mengenakan tarif dan halangan perdagangan untuk melindungi industri domestik masing-masing, rantaian bekalan global menghadapi gangguan yang semakin meningkat, tambahnya.
“Tarif tit-for-tat (balas balik) oleh negara lain dengan mudah boleh meningkat menjadi perang perdagangan global,” katanya, sambil menambah bahawa Singapura mesti bersiap sedia hadapi perubahan dalam dinamik perdagangan.
Dr Balakrishnan berkata, Amerika Syarikat, yang pernah menjadi penyokong perdagangan bebas, semakin beralih ke arah kepentingan ekonomi sendiri, mengenakan tarif walaupun kepada sekutu lama.
Dengan peralihan dasar ekonomi global ini, Singapura mesti bekerja lebih keras mengekalkan kedudukannya sebagai hab perdagangan yang dipercayai.
“Model kita dibina atas kepercayaan, keterbukaan, dan platform permainan yang sama rata,” kata Dr Balakrishnan, sambil menambah bahawa Singapura akan terus mendesak bagi sistem perdagangan global berasaskan peraturan.
Semasa berucap, Dr Balakrishnan menyeru perpaduan nasional untuk mengatasi tekanan luar yang semakin meningkat dan perpecahan dalam negeri.
Beliau menambah bahawa rakyat Singapura tidak boleh membenarkan pengaruh asing mewujudkan keretakan dalam masyarakat kerana pelaku luar mungkin cuba mengeksploitasi konflik global untuk memanipulasi pendapat umum dan mewujudkan ketidakstabilan dalam negara.
“Kita mesti kekal sebagai satu rakyat yang bersatu padu, tidak kira bangsa, bahasa atau agama.
“Kita mempunyai alasan kukuh untuk mempunyai keyakinan terhadap masa depan kita,” katanya, memetik asas ekonomi, tadbir urus dan daya tahan Singapura yang kukuh.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg