Beliau mula mengajar dalam program aLIVE bagi pelajar berusia 13 dan 15 tahun di Masjid En-Naeem ketika umurnya baru 17 tahun.
Ketika itu, Ustazah Nur Al’Husainah Mohammed Ali, 27 tahun, merupakan seorang pelajar di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.
Kini selepas sedekad, Ustazah Nur Al’Husainah yang mengajar Al-Quran secara sambilan, terus mengajar di bawah program aLIVE sebagai guru kanan sambilan di Masjid Al-Ansar.
Pada 11 Oktober, beliau antara 20 asatizah yang menerima Anugerah Asatizah Cemerlang sempena Majlis Anugerah dan Simposium aLIVE Asatizah (AAAS) 2025 yang diadakan di Civil Service Club @ Tessensohn.
Anugerah itu antara lain mengiktiraf keberkesanan penyampaian pelajaran dan keupayaan melibatkan pelajar secara aktif.
Majlis itu dihadiri sekitar 450 asatizah dan tetamu terhormat, Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen.
Selain Anugerah Asatizah Cemerlang, majlis turut menyampaikan Anugerah Asatizah Berdedikasi yang antara lain mengiktiraf asatizah yang telah mengendalikan sekurang-kurangnya lima kelas sepanjang 2025, dengan prestasi yang baik.
Bagi Ustazah Nur Al’Husainah, beliau percaya bahawa kisah peribadi dan pengalaman hidup menjadikan pengajaran lebih bermakna, menjadikan kelasnya ruang dialog dan pertumbuhan bersama.
Semasa berucap di majlis itu, Encik Kadir berkata dunia pendidikan kian berubah dengan pelbagai cabaran baru, namun nilai kesabaran kekal penting.
“Kesabaran bukan ketabahan pasif, tetapi pilihan aktif untuk terus teguh dengan harapan.
“Sifat ini yang membantu anda hadapi pelajar yang mencabar, sesi pengajaran yang tidak berjalan seperti yang dirancang dan saat keletihan,” ujarnya.
Tema simposium itu ialah Berhenti Seketika: Bersabar, Bermuhasabah, dan Berdaya Tahan dalam Pendidikan.
Encik Kadir berkata ia bertujuan mengingatkan asatizah tentang pentingnya juga untuk menjaga kesejahteraan diri.
“Asatizah yang tenang dan tabah boleh menjadi inspirasi kekuatan buat pelajarnya. Mereka melihat anda, mencontohi anda dan belajar nilai kehidupan daripada anda,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg