Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura perluas bantuan teknikal kepada Palestin melalui dua inisiatif baru

Usaha bina keupayaan meliputi program latihan pengawasan bagi polis Palestin, program pemimpin muda bagi belia
Jul 11, 2025 | 7:00 PM
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (kanan), bertemu Menteri Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa Palestin, Dr Estephan Salameh, sempena Pertemuan Menteri Luar Asean (AMM) yang diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia.
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (kanan), bertemu Menteri Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa Palestin, Dr Estephan Salameh, sempena Pertemuan Menteri Luar Asean (AMM) yang diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia. - Foto MFA

Singapura akan memperdalam bantuan teknikal kepada Palestin melalui usaha sama dengan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun bagi menjalankan program latihan pengawasan masyarakat bagi Pasukan Polis Awam Palestin.

Ini di samping memperluaskan Program Pemimpin Muda (YLP) kepada pemimpin belia Palestin agar Singapura dapat berkongsi pengalaman perihal tadbir urus dan pentadbiran awam, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

Inisiatif sedemikian, yang tertumpu pada pembinaan keupayaan, adalah usaha Singapura mempersiapkan pihak berkuasa dan kakitangan awam Penguasa Palestin apabila ia meraih status kenegaraan, ujarnya.

Dr Balakrishnan mengumumkan dua inisiatif baru itu semasa Mesyuarat Menteri di Persidangan Kerjasama Negara-Negara Asia Timur bagi Pembangunan Palestin (CEAPAD) di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 11 Julai.

Memberi penjelasan lanjut kepada media tempatan, beliau berkata: “Penyertaan Singapura dalam CEAPAD menunjukkan secara jelas sokongan yang dipertingkat oleh Singapura terhadap warga Palestin.

“Saya bertemu dengan Menteri Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa Palestin (Dr Estephan Salameh), dan memberi jaminan kepadanya bahawa Singapura sentiasa menyokong Penguasa Palestin dalam usaha mempersiapkan pegawai mereka apabila mencapai kenegaraan.”

Beliau berkata kededua inisiatif itu akan dilancarkan pada 2026, namun tidak memberikan perincian lanjut.

Sungguhpun begitu, beliau melahirkan harapan agar gencatan senjata dapat disepakati antara Palestin dengan Israel bagi menghentikan pertumpahan darah akibat konflik berlarutan kededua pihak.

YLP bertujuan mengumpulkan idea dan tenaga pemimpin muda yang sudah aktif menangani cabaran melibatkan perpaduan sosial.

Ia merupakan platform bagi golongan ini dapat belajar daripada satu sama lain dan meningkatkan kerjasama setempat, serantau dan antarabangsa ke arah perpaduan sosial dan pembangunan masyarakat.

Sementara itu, Dr Balakrishnan berkata Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) telah melaksanakan penilaian awal bagi menilai bagaimana Singapura dapat memberi bantuan perubatan secara langsung kepada mangsa konflik Israel-Palestin di Gaza, melalui Mesir.

Ini susulan pengerahan kontinjen anggota SAF dan Kementerian Kesihatan (MOH) menyediakan rawatan perubatan kepada rakyat Palestin dan orang awam lain dari Gaza yang sedang dirawat di Mesir pada April.

Beliau berkata: “Masih terlalu awal untuk memberikan butiran mengenai pengerahan sebenar, tetapi kami kekal berhasrat memberikan sokongan kemanusiaan dan perubatan bagi orang awam di Palestin.”

Sejauh ini, Singapura dan rakyatnya telah menyumbang lebih $19 juta dalam bentuk bantuan kepada Gaza.

Ini di samping bantuan teknikal oleh pemerintah Singapura bernilai $10 juta di bawah Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (Etap) untuk menyokong Penguasa Palestin dalam usaha membina keupayaan ke arah penubuhan sebuah negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg