Grid elektrik merentasi Asean berpotensi membekalkan elektrik yang lebih murah dan bersih kepada penduduk rantau ini.
Namun, perhubungan grid yang lemah antara negara dan kekurangan permintaan terhadap elektrik hijau merupakan antara faktor yang boleh menghalang pelaburan dalam bidang ini.
Asia Tenggara berdepan dengan jurang pelaburan hijau melebihi AS$210 bilion ($272 bilion) setahun, di tengah-tengah persepsi risiko yang tinggi terhadap pelaburan hijau, kata Penolong Ketua Eksekutif, Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), Encik Low Xin Wei, pada 8 Mei.
Persepsi risiko itu menyebabkan kos modal bagi projek tenaga boleh diperbaharui di rantau ini turut meningkat.
Setiap kenaikan 2 peratus dalam kos modal boleh meningkatkan kos penjanaan elektrik dari loji tenaga matahari dan angin dengan lebih 20 peratus, kata Encik Low di Sidang Puncak Tindakan Asia oleh Climate Group, sebuah badan bukan pemerintah (NGO) yang memacu tindakan iklim, di Hotel Mandarin Oriental.
Ini merupakan cabaran pembiayaan utama yang perlu diatasi rantau ini sebelum tenaga rendah karbon dapat didagangkan untuk membantu negara yang kekurangan sumber tenaga boleh diperbaharui – seperti Singapura – mengurangkan pelepasan gas rumah hijau mereka.
Bagi mencapai visi perdagangan tenaga boleh diperbaharui di seluruh Asean, usaha daripada pemerintah, penyedia insurans, dan kaedah kewangan inovatif lain diperlukan untuk mengurangkan risiko, supaya pelabur lebih berani melabur dalam sektor ini, kata Encik Low.
Hari ini, gas asli, sebuah bahan api fosil, telah menyumbang sekitar 95 peratus daripada penjanaan elektrik Singapura, lapor The Straits Times (ST).
Laporan iklim Singapura yang telah diserahkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada November 2024, telah mengenal pasti beberapa cara berkesan untuk mencapai sasaran iklim 2030 – yang merangkumi pengurangan pengeluaran karbon kepada sekitar 60 juta tan.
Langkah itu termasuk mengimport tenaga bersih dan menggunakan teknologi pengurangan karbon serta meningkatkan kecekapan tenaga dalam industri.
Ini sebabnya pemerintah secara aktif menyokong pembentukan grid tenaga Asean, dan baru-baru ini, mengadakan perjanjian dengan Kemboja, Vietnam dan Indonesia untuk mengimport 5.6 gigawatt elektrik bersih daripada sumber seperti tenaga suria, hidro dan angin.
Bagi menutup jurang pelaburan bagi grid tenaga serantau, Encik Low mencadangkan penggunaan kaedah kewangan teradun – yang bermula dengan dana awam untuk menarik modal privet.
Kaedah kewangan teradun adalah pendekatan strategik yang menggabungkan pendanaan daripada pelbagai sumber, termasuk awam, kedermawanan, dan sektor swasta, bagi menjadi pemangkin pelaburan dalam projek pembangunan mampan.
Encik Low menyerlahkan platform, Bayfront Infrastructure Management, yang berpangkalan di Singapura, sebagai model yang menjanjikan.
Platform itu mengumpul pinjaman daripada projek prasarana yang telah selesai dan menjadikannya produk pelaburan yang boleh diperdagangkan.
Ini membantu untuk mengitar semula modal dan mengembalikannya kepada pembangun projek tenaga boleh diperbaharui dan membolehkan pelabur meluaskan pelaburan mereka, tambahnya.
Encik Low menekankan sokongan pemerintah melalui Dana Tenaga Masa Hadapan, bernilai $10 bilion, yang menyasarkan projek berisiko tinggi seperti kabel bawah laut dan pembangunan prasarana hidrogen.
Selain itu, sebahagian dana projek hijau berjumlah AS$500 juta akan disalurkan untuk menarik lebih banyak pembiayaan.
Namun, Encik Low turut berkata usaha mengurangkan risiko sahaja tidak mencukupi. Syarikat dan pertubuhan perlu beriltizam untuk membeli elektrik hijau melalui kontrak jangka panjang.
“Ini memberi kepastian pendapatan dan membantu pembangun mendapatkan pembiayaan pada kos lebih rendah. Tanpanya, banyak projek yang berpotensi akan terkandas,” tambah beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg