Asean perlu memberi tumpuan kepada usaha membangunkan grid kuasa serantau, memperkukuh pembiayaan iklim serta daya tahan terhadap kesan perubahan iklim, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, pada 1 Oktober.

Bercakap di majlis bagi melaporkan dapatan tinjauan mengenai tanggapan masyarakat Asia Tenggara terhadap perubahan iklim, Cik Fu berkata Singapura akan memberi keutamaan kepada kerjasama praktikal dalam isu berkenaan semasa memegang peranan sebagai Pengerusi Asean pada 2027.

Tinjauan Prospek Iklim Asia Tenggara 2026 merupakan kajian yang dijalankan setiap dua tahun bagi mengukur sikap dan tanggapan penduduk serantau terhadap perubahan iklim.

Tinjauan edisi keenam berkenaan diterbitkan oleh Program Perubahan Iklim di Asia Tenggara, Iseas-Institut Yusof Ishak, bersama Pusat Lee Kuan Yew bagi Bandar Inovatif di Universiti Teknologi dan Rekaan Singapura (SUTD).

Tinjauan itu mendapati masyarakat di Asia Tenggara menghadapi dua kebimbangan utama iaitu pengangguran dan kemelesetan ekonomi, serta perubahan iklim dan kejadian cuaca ekstrem.

Perkembangan itu berlaku ketika penutupan laluan perkapalan Selat Hormuz mencetuskan kejutan besar merentasi pasaran tenaga sejagat, kata Cik Fu.

“Asia Tenggara tidak terkecuali.

“Bagi rantau yang amat bergantung kepada tenaga diimport, kenaikan harga bahan api memberi kesan rantaian pantas terhadap kehidupan seharian,” katanya.

Perniagaan juga berdepan peningkatan kos serta ketidaktentuan yang semakin meningkat, sekali gus menjejas pekerjaan dan mata pencarian.

Isi rumah juga terpaksa menanggung bil elektrik lebih tinggi, manakala sebahagian pasar raya mengalami kekurangan bekalan makanan berikutan gangguan terhadap pengangkutan dan sokongan logistik.

Pada masa yang sama, rantau ini perlu menangani kesan yang sudah pun mula dirasai.

Sebagai contoh, hujan lebat baru-baru ini di Thailand telah mengakibatkan banjir di beberapa kawasan termasuk Bangkok, yang dilaporkan menjejas lebih 2.6 juta penduduk.

Cik Fu menyatakan krisis tenaga ini merupakan sebab kukuh untuk mempercepat peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui, dan tindakan menggantung peralihan berkenaan mungkin adalah satu langkah kurang tepat.

Beliau memberi contoh bagaimana penggunaan tenaga suria secara pantas di negara seperti China dan Pakistan telah mengurangkan kebergantungan mereka terhadap bahan api fosil yang diimport, sekali gus mengehadkan pendedahan mereka kepada ketidaktentuan harga bahan api.

“Secara khusus, langkah memajukan Grid Kuasa Asean akan membolehkan negara (anggota) memanfaatkan sumber tenaga rantau ini dengan lebih baik serta mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber sahaja,” jelas Cik Fu.

Beberapa kemajuan telah dicapai dalam aspek ini, katanya, sambil memberi contoh projek penyepaduan kuasa Laos-Thailand-Malaysia-Singapura yang membuktikan bahawa perdagangan elektrik pelbagai hala boleh dilaksanakan.

Fasa kerja seterusnya bagi grid kuasa itu memerlukan peraturan lebih jelas mengenai perdagangan rentas sempadan serta garis panduan praktikal bagi kabel kuasa dasar laut, tambah Cik Fu.

Tinjauan iklim terkini itu mengumpul 3,706 maklum balas daripada responden merentasi 11 negara Asean – termasuk Timor-Leste buat julung-julung kalinya – sepanjang penganjurannya selama lima minggu pada 2026.

“

“Secara khusus, langkah memajukan Grid Kuasa Asean akan membolehkan negara (anggota) memanfaatkan sumber tenaga rantau ini dengan lebih baik serta mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber sahaja.”
Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.