Topik diikuti
Pergi ke BHkuAsean, Russia perkukuh kerjasama di sidang kemuncak Kazan
Asean, Russia perkukuh kerjasama di sidang kemuncak Kazan
Deklarasi Kazan sorot kemajuan hubungan Asean-Russia sepanjang 35 tahun, gariskan hala tuju masa depan
Asean, Russia perkukuh kerjasama di sidang kemuncak Kazan
Asean dan Russia menegaskan semula komitmen mereka untuk memperdalam kerjasama dalam bidang kepentingan bersama pada sidang kemuncak yang diadakan di Kazan, Russia.
Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Russia (ARCS), pada 17 dan 18 Jun meraikan ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik serta ulang tahun ke-30 Perkongsian Dialog Asean-Russia.
Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) dalam kenyataan pada 18 Jun memaklumkan beberapa dokumen penting telah diterima pakai semasa sidang kemuncak tersebut.
Antaranya ialah Deklarasi Kazan, yang menyoroti kemajuan hubungan Asean-Russia sepanjang 35 tahun dan menggariskan hala tuju kerjasama masa depan.
Dokumen itu menyeru pengukuhan kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk maritim, perdagangan, pelaburan, tenaga, ketersambungan, keselamatan, pendidikan dan kebudayaan.
Terdapat juga Kenyataan Bersama mengenai Kerjasama Kebudayaan, untuk mengeratkan hubungan antara rakyat dengan peningkatan pertukaran budaya, serta Pelan Tindakan Komprehensif Asean-Russia (2026 hingga 2030) bagi membimbing kerjasama praktikal lima tahun mendatang.
Sidang kemuncak itu dihoskan oleh Presiden Russia, Encik Vladimir Putin.
Berucap di sidang kemuncak pada 18 Jun, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata Asean dan Russia harus bekerjasama dalam bidang yang berkongsi kepentingan, dan memperkukuh kerjasama dalam inisiatif yang memupuk dialog, membina keyakinan serta menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan pembangunan di rantau mereka dan di luar rantau.
Beliau menambah bahawa Singapura mengalu-alukan sokongan Russia terhadap Sentraliti Asean, dan menyebut bahawa Russia telah lama terlibat dalam mekanisme yang dipimpin Asean, termasuk Forum Serantau Asean (ARF) dan Sidang Puncak Asia Timur (EAS).
“Singapura berharap dapat melihat penyertaan Russia di EAS dan ARF di Filipina pada akhir tahun ini, serta sokongan berterusan Russia terhadap Asean apabila Singapura mengambil alih sebagai pengerusi dan menganjurkan mesyuarat ini tahun depan,” katanya.
Asean dan Russia boleh bekerjasama dalam bidang seperti pengurusan bencana dan memerangi ancaman dadah, tambah Encik Wong.
Kedua-dua pihak harus terus memperkukuh hubungan antara rakyat melalui pertukaran pendidikan dan budaya, katanya, sambil menyebut bahawa pegawai Russia kerap mengambil bahagian dalam kursus latihan perkhidmatan awam di negara-negara anggota Asean, termasuk di Singapura.
Encik Wong berkata keutamaan Asean untuk memperdalam integrasi sambil memperluas perkongsian adalah amat relevan dalam persekitaran geopolitik yang semakin tidak menentu dan bergolak.
Dalam keadaan dunia sedemikian, kepentingan untuk menegakkan undang-undang antarabangsa dan susunan sejagat berasaskan peraturan adalah lebih besar dari sebelumnya, tambahnya.
“Itulah sebabnya Singapura dan Asean sentiasa menyeru pihak-pihak yang terlibat dalam konflik agar bertenang, kembali ke meja rundingan, dan menyelesaikan pertikaian secara aman selaras dengan undang-undang antarabangsa,” kata Encik Wong.
Itulah juga sebabnya Asean menjadi penyokong kuat hak lalu lintas berterusan dan tanpa halangan melalui laluan air antarabangsa utama, selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-Undang Laut, tambahnya.
Encik Wong berkata Singapura mengalu-alukan perjanjian damai antara Amerika Syarikat dengan Iran, dan berharap ia dapat membuka jalan ke arah pengakhiran konflik secara kekal serta pembukaan semula Selat Hormuz.
“Begitu juga, pendirian Singapura mengenai Ukraine bukan kerana berpihak kepada mana-mana pihak, tetapi kerana komitmen kami yang konsisten terhadap prinsip kedaulatan dan integriti wilayah semua negara,” katanya.
Singapura terus menyokong dan menggalakkan usaha diplomatik ke arah gencatan senjata, dan berharap usaha-usaha ini akan “akhirnya membawa kepada keamanan yang adil, berkekalan dan tahan lama”, tambahnya.
