Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, akan menghadiri Sidang Puncak Peringatan Asean-Russia (ARCS) di Kazan, Russia dari 17 hingga 18 Jun.

Semasa sidang tersebut, Asean dan Russia akan membincangkan langkah-langkah untuk memantapkan perkongsian strategik serta memperkukuh kerjasama dalam sektor utama, termasuk tenaga, ketersambungan, pendidikan, dan kebudayaan.

Presiden Russia, Encik Vladimir Putin akan menjadi hos kepada pemimpin Asean dalam satu konsert gala dan majlis makan malam.

Para pemimpin Asean juga akan menyertai sesi pleno dan makan tengah hari kerja.

Sebagai sebahagian daripada program sidang kemuncak itu, Encik Putin dijangka mengadakan pertemuan berasingan dengan para pemimpin Asean.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 16 Jun, ARCS ini menandakan dua pencapaian penting, iaitu ulang tahun ke-30 Perkongsian Dialog Asean-Russia dan ulang tahun ke-35 hubungan Asean-Russia.

Encik Wong akan diiringi oleh Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

Semasa ketiadaan Encik Wong, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, akan memegang jawatan sebagai Pemangku Perdana Menteri.

Meskipun berlaku pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada Februari 2022, hubungan Asean dengan Russia kekal terjalin, seperti menerusi Sidang Kemuncak Asia Timur dan Forum Serantau Asean.

Singapura kekal sebagai satu-satunya anggota Asean yang mengenakan sekatan terhadap Russia.

Singapura mengumumkan sekatan berkenaan pada Februari 2022, beberapa hari selepas pencerobohan Russia ke atas Ukraine bermula.

Sidang ARCS yang terakhir diadakan pada 2021 melalui sidang video bagi memperingati ulang tahun ke-30 hubungan Asean-Russia, yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong.

Encik Lee juga pernah menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Russia di Sochi, Russia, pada 2016.