Topik diikuti
Pergi ke BHkuAsean upaya jadi ‘kuasa besar’ dalam tenaga hijau, kuasa pemprosesan, ekonomi digital
Asean upaya jadi ‘kuasa besar’ dalam tenaga hijau, kuasa pemprosesan, ekonomi digital
Presiden Tharman: Negara Asean perlu ganding bahu dalam dunia yang semakin berpecah-belah.
Asean upaya jadi ‘kuasa besar’ dalam tenaga hijau, kuasa pemprosesan, ekonomi digital
Rantau Asean berupaya menjadi kuasa besar dalam tenaga hijau, kuasa pemprosesan dan ekonomi digital, sekali gus membuka ruang bagi Singapura dan Malaysia meningkatkan lagi kerjasama bagi mencapai gagasan ini, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Beliau berkata Malaysia “sangat berminat” untuk bekerjasama dengan Singapura demi mencapai gagasan itu, sedang Singapura bakal menyandang peranan pengerusi Asean pada 2027.
Merumuskan lawatan negara beliau kepada media Singapura di Hotel St. Regis, Kuala Lumpur, pada 15 Julai, Tuan Presiden berkata Singapura dan Malaysia sama-sama prihatin tentang hal ehwal Asean kerana rantau ini berpotensi menghasilkan lebih banyak nilai ekonomi.
“Kita belum sampai ke tahap itu, tetapi kita mempunyai potensi yang besar dalam Asean.
“Ia (kini) bukan sekadar kaedah tradisional untuk memperkukuhkan pasaran dalaman Asean.
“Asean boleh menjadi kuasa besar dalam tenaga hijau, dan kuasa besar dalam pemprosesan, jika dilihat dari sudut potensi kapasiti pusat data.
“Malah, kedua-dua inisiatif ini bergerak seiringan – tenaga hijau diperlukan untuk menjana tenaga bagi pusat data di Malaysia (manakala) Asean masih mempunyai banyak potensi dalam ekonomi digital,” tambahnya.
Singapura dan Malaysia telah memeterai Rangka Kerja Kerjasama Ekonomi Hijau (GE Foc) pada Januari 2023 bagi mengurangkan pelepasan karbon dalam industri dan membolehkan perniagaan serta pekerja kedua-dua negara merebut peluang dalam ekonomi hijau.
Pada tahun yang sama, kedua-dua negara juga telah memeterai Rangka Kerja Kerjasama Dalam Ekonomi Digital (DE FoC).
Antara bidang kerjasama dalam ekonomi digital itu termasuk mempercepatkan pendigitalan seluruh proses perdagangan bagi membolehkan perniagaan berurus niaga secara dalam talian dan rentas sempadan dengan lebih mudah.
Mentelah, Tuan Presiden berkata adalah menjadi kepentingan negara bagi setiap anggota Asean untuk berganding bahu dalam aspek tenaga hijau, kuasa pemprosesan dan ekonomi digital, lebih-lebih lagi dalam dunia yang semakin berpecah-belah.
Lantaran itu, kerjasama ke arah mencapai gagasan itu memperkukuhkan lagi cadangan nilai Asean, ujarnya lagi.
Selain itu, beliau berkata terdapat peluang bagi Malaysia dan Singapura untuk mempergiatkan lagi pertukaran pelajar antara kedua-dua negara – merangkumi pengajian bersama, program keusahawanan atau program bekerja sambil belajar.
Ini di samping merancakkan usahasama dalam bidang seni, yang disifatkan Tuan Presiden sebagai “sesuatu yang mudah dicapai” bersama.
Ini merupakan lawatan pertama Tuan Presiden ke Malaysia sejak menggalas jawatan sebagai Presiden pada 2023.
Lawatan tersebut, yang berlangsung dari 12 hingga 15 Julai, adalah atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Iskandar.
