Usaha konsisten merancang dan membina masa depan bersama adalah tonggak hubungan dua hala Singapura-Malaysia, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam, sambil menyifatkannya sebagai sesuatu yang “sukar ditemui di negara-negara lain”.

Beliau menambah matlamat lebih besar yang diletakkan kedua-dua negara ke arah memperluas usaha sama menjadikan hubungan antara Singapura dengan Malaysia kekal utuh.

Ini sesuatu yang semakin jarang dilihat dalam dunia kini yang berpecah-belah, ujar beliau.

Ketika berucap semasa pertemuannya bersama Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim Iskandar, dan permaisuri, Raja Zarith Sofiah, di Istana Negara pada 13 Julai, Tuan Presiden berkata Singapura dan Malaysia berkongsi sejarah yang menyaksikan kededua negara bergabung sebagai satu negara pada September 1963 “dalam keadaan sukar”.

Ini diikuti dengan perpisahan pada Ogos 1965, yang juga satu detik sukar bagi kedua-dua pihak, tambahnya.

Presiden Tharman berkata: “Secara berkala, kita turut berdepan isu-isu penting untuk diatasi – isu-isu yang mencerminkan kebergantungan antara kededua negara.

“Tetapi kita tidak membiarkan isu-isu ini menjejas keupayaan kedua-dua negara untuk mengusahakan bidang kerjasama yang positif dan baharu.

“Orientasi tersebut, iaitu sentiasa memberi tumpuan kepada matlamat lebih besar untuk berkembang dan memperluaskan kepentingan bersama, menjadikan hubungan kita teguh dan kuat – malah ia satu perkara yang jarang dilihat dalam dunia hari ini.”

Tuan Presiden menukil pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Laluan Sistem Transit Laju (RTS) sebagai contoh perluasan usaha sama Malaysia dan Singapura.

Menurutnya, usaha ini mencerminkan keinginan bersama kedua-dua negara untuk “mengembangkan perkara yang saling melengkapi antara ekonomi”.

Namun, yang menjadi tambatan kepada perkembangan dan pencapaian ini, kata Tuan Presiden, adalah pertalian sosial antara kedua-dua rakyat yang sudah terjalin buat sekian lama.

Beliau berkata: “Semangat kekeluargaan dan kerjasama berkekalan inilah yang memberi kita keyakinan tambahan, sedang kita mengharungi dunia yang semakin berpecah-belah, kerana kita tahu kita boleh bergantung antara satu sama lain.”

Ketibaan Presiden Tharman ke Istana Negara disambut secara penuh istiadat, dengan Tuan Presiden diberi penghormatan untuk memeriksa kontinjen Kawalan Kehormatan Utama melibatkan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Susulan pertemuan antara kedua-dua ketua negara, Sultan Ibrahim menjamu Tuan Presiden, yang diiringi isterinya, Puan Jane Ittogi Shanmugaratnam, dalam majlis santapan.

Menyentuh berkenaan hubungan kedua-dua negara, Sultan Ibrahim dalam satu hantaran di Facebook berkata Singapura merupakan rakan kongsi yang amat dihargai dan antara pemacu utama perdagangan dan pelaburan Malaysia.

Malah, Malaysia merupakan antara tiga rakan dagang utama Singapura di peringkat sejagat, menukil Jabatan Perangkaan Singapura (SingStat).

Sultan Ibrahim berkata: “Perdagangan dua hala yang terus mencatatkan pertumbuhan tatkala keadaan ekonomi sejagat tidak menentu mencerminkan keutuhan hubungan dua hala Malaysia dan Singapura.

“JS-SEZ juga mencerminkan kerjasama kita untuk memajukan pertumbuhan ekonomi serantau serta mewujudkan peluang baharu dalam Asean.”

Berikutan itu, beliau mengunjungi Seri Negara, bangunan warisan bersejarah yang terletak di Bukit Carcosa, Kuala Lumpur, untuk meneroka sejarah tapak itu daripada hos galeri bangunan, Encik Omar Haziq Ariff.

Menukil laman rasmi Seri Negara, bangunan itu dibina pada 1913 dan memainkan peranan penting dalam sejarah pentadbiran kolonial British serta pembentukan Malaysia.

Beliau juga bertemu 150 warga Singapura yang menetap di Malaysia dalam satu majlis jamuan di Suruhanjaya Tinggi Singapura.

Ketika menyantuni warga Singapura yang hadir di majlis itu, Tuan Presiden berkata Singapura dan Malaysia mungkin menjadi negara lebih lemah jika salah satu gagal untuk memupuk identiti kebangsaan yang kukuh dan mengekalkan keamanan negara masing-masing.

Tuan Presiden tiba di Kompleks Bunga Raya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Julai dan disambut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Encik Steven Sim bersama isteri, Cik Joreen Chan.