Malaysia dan Singapura berminat menunjukkan bagaimana kedua-dua negara, dan Indonesia, dapat mengurus perairan Selat Melaka berlandaskan undang-undang laut yang boleh membawa manfaat kepada semua pihak, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam.

Berkongsi kepada media Singapura pada 15 Julai di Hotel St. Regis, Tuan Presiden berkata usaha tersebut merupakan salah satu daripada pelbagai contoh bagaimana Singapura dan Malaysia berkongsi pemikiran yang serupa.

Ia mencerminkan hubungan mendalam kedua-dua negara dan menjadi asas kepada usahasama yang merangkumi ekonomi, dan pertukaran antara pemerintah dan juga antara rakyat dari kedua-dua negara, tambahnya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung lawatan negara pertamanya ke Malaysia dari 12 hingga 15 Julai atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Iskandar, sebagai timbal balas kepada lawatan Sultan Ibrahim ke Singapura pada Mei 2024.

Tuan Presiden memberi contoh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai inisiatif jelas pertukaran mendalam antara Malaysia dengan Singapura.

Katanya: “Kami (Malaysia dan Singapura) juga mempunyai fikiran serupa mengenai isu-isu antarabangsa.

“Terutamanya, kami berfikiran serupa berkenaan pematuhan pada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos), undang-undang laut yang memastikan pelayaran selamat melalui selat yang digunakan untuk laluan pelayaran antarabangsa, tanpa tol dan bayaran.”

Berkenaan pengurusan perairan Selat Melaka, Tuan Presiden berkata ia harus meliputi kerjasama negara-negara terlibat dan pemain industri.

Ini dapat dilakukan melalui sumbangan sukarela oleh pihak-pihak terbabit, berdasarkan undang-undang laut seperti termaktub di bawah Unclos, dan tidak melibatkan tol atau yuran bagi meggunakan selat itu, ujar Tuan Presiden.

Usaha ini dibuat demi menyokong keselamatan pelayaran dan memastikan perlindungan alam sekitar dijaga, tambahnya.

Sehubungan itu, Tuan Presiden turut memberi penekanan terhadap hasrat Singapura dan Malaysia untuk menjangkau pasaran lebih luas, lebih-lebih lagi dalam keadaan dunia kini yang semakin berpecah-belah.

Menurutnya, kedua-dua negara harus mempelbagaikan hubungan Asean, hubungan negara sendiri dan hubungan rantau.

Pada masa yang sama, Singapura dan Malaysia juga harus elak daripada menjadi mangsa geopolitik negara kuasa besar – sama ada cenderung ke arah Amerika Syarikat atau China.

Tuan Presiden berkata: “Kita perlu menjalin hubungan dengan semua pemain utama, dan mengembangkan hubungan kita dengan rantau lain. Daripada aspek ini, Malaysia dan Singapura (berkongsi) pemikiran serupa.”

Beliau menyifatkan hubungan Singapura dan Malaysia “sudah mencapai peringkat mendalam”, tetapi kedua-dua pihak kini dapat “saling melengkapi” seberapa mungkin.

Malah, para pemimpin dari kedua-dua negara juga “sangat terlibat dalam hubungan ini”, kata Tuan Presiden, sambil menukil lawatan Menteri Kanan Lee Hsien Loong ke Terengganu dan Pahang, serta majlis buka puasa antara Perdana Menteri Encik Lawrence Wong dan Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, sebagai contoh.

Beliau berkata: “Lawatan mereka tidak dilakukan kerana ia perlu dibuat semata-mata, dan lawatan negara saya tidak dilakukan sebagai timbal balas kepada lawatan Sultan Ibrahim sebelum ini semata-mata.

“Setiap daripada kami mengambil minat secara peribadi dalam hubungan dua hala antara Singapura dengan Malaysia – kami ingin memahami pemikiran satu sama lain dan meneruskan usaha kerjasama seberapa yang mungkin.”

Sementara itu, Tuan Presiden turut menyentuh berkenaan aspirasi Malaysia dan Singapura untuk membangunkan ekonomi hijau dan digital Asean, sekali gus memacu rantau Asean sebagai kuasa besar atau powerhouse dalam bidang sedemikian.

Ini lebih-lebih lagi dengan berlatarbelakangkan peranan Singapura sebagai pengerusi Asean pada 2027.

Dalam rangka lawatan empat hari itu, Tuan Presiden turut bertemu beberapa pemimpin di peringkat persekutuan dan negeri.

Pada 13 Julai, beliau mengadakan pertemuan bersama Sultan Ibrahim dan diberikan sambutan penuh istiadat, sebelum Sultan Ibrahim menjamunya dalam majlis santapan negara.

Tuan Presiden kemudian bertemu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Anwar.

Menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 14 Julai, Tuan Presiden dan Datuk Anwar membincangkan cara memperdalam kerjasama dalam bidang kepentingan bersama seperti jaminan makanan dan tenaga dalam pertemuan antara kededua pemimpin itu.

Dalam satu hantaran pada 13 Julai di Facebook, Datuk Anwar pula menyatakan kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai beberapa perkara, termasuk perkembangan serantau dan isu kepentingan bersama.

Datuk Anwar juga berkata mereka membincangkan “perkembangan positif dalam usaha menyelesaikan beberapa perkara tertangguh”, tanpa memberikan perincian lanjut.

Selepas bertemu Perdana Menteri Malaysia, Tuan Presiden menghadiri majlis jamuan di Suruhanjaya Tinggi Singapura, Kuala Lumpur, untuk menyantuni sekitar 150 warga Singapura yang menetap di Malaysia.

Pada 14 Julai pula, Tuan Presiden mengadakan pertemuan bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj; dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.