Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aspirasi belia untuk S’pura menerusi filem pendek dan lagu

Program pementoran SG60 Flex Your Passion hasilkan lapan filem pendek dan lima lagu bertema aspirasi untuk negara
Jul 12, 2025 | 8:22 PM
belia, Singapura, David Neo, filem pendek, lagu
Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo (berdiri, dua dari kanan), berinteraksi dengan Tariq Mansor, antara mentor yang menyertai program pementoran ‘SG60 Flex Your Passion’. - Foto BM oleh MOHD KHALID BABA

Membesar sebagai anak sulung dan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga enam beranak, Cik Nyla D’yan Elysha, 19 tahun, sangat memahami hubungan antara ibu dengan anak dan cabaran yang kadang-kala mengiringinya.

Pergelutan yang jarang ditonjolkan itulah yang mendorong beliau dan empat rakan sepasukan lain untuk merungkaikan dalam filem 11 minit, If I Could Do It Again.

Namun, topik tersebut bukan sekadar dekat di hatinya.

Ia cerminan aspirasi lebih luas belia itu buat Singapura, agar negara ini memupuk masyarakat yang lebih terbuka dalam membincangkan hal berkenaan emosi, selain harapan agar Singapura menjadi masyarakat yang lebih penyayang.

Filem pendek yang dihasilkannya itu merupakan antara karya yang ditayangkan sewaktu acara It’s Giving Fest pada 12 Julai di *SCAPE, anjuran Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), dengan sokongan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan Mediacorp CLOUD 9.

Pesta tersebut bertujuan mendekati golongan belia agar berkongsi impian dan aspirasi mereka buat Singapura menerusi tema utama Pelan Belia SG (SG Youth Plan) MCCY – pelan tindakan (blueprint) yang memperincikan bagaimana masyarakat boleh mendengar, menyokong dan bekerjasama dengan golongan muda.

“Saya sangat bersyukur filem kami dapat ditonton pada peringkat nasional. Saya harap anak muda yang menontonnya akan rasa sesuatu dalam diri mereka, tidak kira dalam bentuk renungan, dapat mengaitkan diri mereka (dengan filem itu) ataupun keberanian untuk menghampiri seseorang yang sudah menjauh,” kata pelajar tahun ketiga Politeknik Ngee Ann yang menuntut dalam jurusan Bunyi dan Video.

Karya kreatif yang dihasilkan itu merupakan sebahagian daripada program pementoran SG60 Flex Your Passion, yang bertujuan memperkasa pelajar institut pengajian tinggi (IHL) untuk menghasilkan filem pendek atau lagu berkaitan salah satu tema Pelan Belia SG – laluan kejayaan yang pelbagai, kemampanan alam sekitar, pembelajaran sepanjang hayat, perpaduan sosial, tindakan sivik atau hubungan sesama manusia.

Sebanyak lapan filem pendek dan lima lagu dipilih dan dihasilkan di bawah bimbingan mentor industri.

Antara mentor yang terlibat ialah pengarah Tariq Mansor, 33 tahun.

Dengan pengalaman industri selama sembilan tahun, beliau telah membimbing penghasilan filem pendek Egg Fried Rice dan The Circles That Make Us – kedua-duanya tertumpu kepada tema hubungan sesama manusia.

Menurutnya, wadah seperti ini bantu meningkatkan kesedaran tentang golongan seperti warga emas yang tinggal sendiri atau keluarga yang perlu berpindah keluar dari Kepulauan Selatan, lalu melahirkan harapan agar masyarakat lebih peduli tentang orang lain di luar lingkungan rapat mereka.

“Apabila ia berkenaan melakar kisah Singapura, saya sejujurnya rasa ia patut datang daripada belia. Masa depan adalah milik mereka, kan?

“Dan hanya mereka yang boleh tahu bagaimana ia kelihatan daripada sudut mereka berdiri sekarang. Perspektif mereka dibentuk generasi mereka, zaman mereka, konteks sosial dan politik mereka,” tambahnya.

Selain menonton karya kreatif tersebut, belia yang hadir dapat menyaksikan konsert secara ‘live’, berkunjung pasar lambak, melanggani trak makanan dan melibatkan diri dalam pengalaman dan permainan khas buat golongan belia.

Mereka juga berpeluang berkongsi visi mereka untuk Singapura melalui paparan digital interaktif yang menggambarkan aspirasi mereka dan mengesahkan komitmen untuk membina masa depan bersama.

Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, turut menyertai perayaan itu dan berkata pesta yang dianjurkan meraikan kreativiti belia dan keinginan mereka untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

“Ini merupakan sebahagian usaha pemerintah untuk memberikan belia kita (wadah) bersuara lebih lantang tentang harapan dan impian mereka, wadah untuk mengubah minat mereka menjadi tindakan dan membolehkan belia menerajui tindakan sosial dan masyarakat,” ujar beliau, yang juga Menteri Negara Kanan Pendidikan.

Acara It’s Giving Fest diadakan selama dua hari pada 12 dan 13 Julai, dari 11 pagi hingga 9.30 malam dan dijangka menarik kedatangan sekitar 10,000 belia.

Selain mengenali lanjut tentang peluang kesukarelawanan menerusi reruai yang ditubuhkan, belia juga boleh menderma kepada SGSHARE – dana masyarakat yang menyokong individu dan keluarga kurang berkemampuan – menerusi kod QR yang tertera di lokasi acara.

MCCY mengagihkan siri pin pertama SG60: Icons of Home.
MCCY mengagihkan siri pin pertama SG60: Icons of Home. - Foto BM oleh MOHD KHALID BABA

Dalam pada itu, MCCY sewaktu pesta itu telah mengagihkan siri pertama pin SG60: Icons of Home yang menggambarkan sejarah, warisan dan identiti Singapura.

Siri pertama yang dicipta pereka dan ilustrator Singapura, Encik Dale Lam menampilkan kuih-muih tradisional pulau ini seperti ang ku kueh, kuih bahulu, kuih salat, murukku, ondeh ondeh, dan png kueh.

Jika dikumpulkan kesemua enam siri terhad, ia melengkapi bentuk Singapura. Setiap bahagian dikeluarkan setiap bulan dari Julai hingga Disember 2025, bersamaan acara SG60 tertentu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg