Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dinesh: Suara anak muda diperlukan bagi perkukuh perpaduan sosial

Jun 26, 2025 | 9:33 PM
Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash (dua dari kiri) berkata pemerintah harus berusaha gigih untuk bersama golongan muda dan menggalakkan mereka untuk tampil ke hadapan. Beliau ditemani dua penyampai di salah satu plenari di ICCS 2025 (dari kanan) Pengerusi Institut Pengurusan Buddha untuk Kebahagiaan dan Keamanan serta Setiausaha Agung Gabungan Agama untuk Keamanan Thailand, Encik Venerable Napan Thawornbanjob; Pengasas dan Pengerusi Eksekutif syarikat hospitaliti Banyan Group, Encik Ho Kwon Ping; serta moderator, Profesor Pengajian Islam dan Antara Agama di Universiti Edinburgh, Professor Mona Siddiqui (paling kiri).
Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash (dua dari kiri) berkata pemerintah harus berusaha gigih untuk bersama golongan muda dan menggalakkan mereka untuk tampil ke hadapan. Beliau ditemani dua penyampai di salah satu plenari di ICCS 2025 (dari kanan) Pengerusi Institut Pengurusan Buddha untuk Kebahagiaan dan Keamanan serta Setiausaha Agung Gabungan Agama untuk Keamanan Thailand, Encik Venerable Napan Thawornbanjob; Pengasas dan Pengerusi Eksekutif syarikat hospitaliti Banyan Group, Encik Ho Kwon Ping; serta moderator, Profesor Pengajian Islam dan Antara Agama di Universiti Edinburgh, Professor Mona Siddiqui (paling kiri). - Foto MCCY

Pemerintah mengalu-alukan lebih banyak suara anak muda dalam usaha memperkukuh strategi perpaduan sosial, kata Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash.

Sesuai dengan itu, beliau menekankan kepentingan melibatkan lebih banyak masa dan usaha untuk mendampingi golongan muda.

Ini kerana, sejajar dengan pencapaian SG60, beliau mengharapkan agar golongan tersebut dapat membina daripada kejayaan itu.

Dalam satu wawancara bersama Berita Harian (BH) selepas Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS) 2025, pada 26 Jun, Encik Dinesh berkata pemerintah harus berusaha gigih untuk bersama golongan muda dan menggalakkan mereka untuk tampil ke hadapan.

“Satu lagi bidang penting yang perlu kita beri tumpuan dan usaha... ialah melibatkan golongan muda kita, yang mungkin rasa ‘terpisah’ daripada apa yang sedang berlaku sekarang (naratif negara).

“Mereka tidak mempunyai kelebihan untuk melihat ke belakang kerana masih muda, maka pengalaman hidup mereka mungkin lebih bersifat individu dan mungkin tidak mewakili pandangan kolektif secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata, langkah berhemah perlu diambil untuk menangani kebimbangan anak muda mengenai kemampuan memiliki rumah dan keselamatan pekerjaan dalam era kecerdasan buatan (AI).

Memberikan harga perumahan sebagai contoh, Encik Dinesh berkata:

“Mereka merasakan bahawa dalam sebuah negara yang semakin berjaya dan di mana harga aset terus meningkat, ini menjadi satu kekangan.

“Justeru, penting untuk menjelaskan kepada mereka bahawa sebenarnya terdapat pelbagai pilihan dan sokongan yang tersedia. Ini merupakan cara kehidupan yang telah lama dibentuk di Singapura.”

Encik Dinesh menambah pemerintah perlu sentiasa menilai apa yang dilakukannya dan terus mendengar perihal anak muda.

“Bagi mereka yang mempunyai idea baru, adalah penting untuk mereka tampil ke hadapan, beritahu kami rancangan anda, biar kami menyokong anda, dan kita berkembang bersama secara kolektif,” ujarnya.

Encik Dinesh merupakan antara tenaga penyampai di salah satu plenari di ICCS – yang berlangsung daripada 24 hingga 26 Jun – yang mengupas mengenai peranan perniagaan dalam memainkan peranan mempromosikan kepelbagaian budaya.

Berucap di hari ketiga ICCS, beliau turut disertai Pengerusi Institut Pengurusan Buddha untuk Kebahagiaan dan Keamanan serta Setiausaha Agung Gabungan Agama untuk Keamanan Thailand, Venerable Napan Thawornbanjob; Pengasas dan Pengerusi Eksekutif syarikat hospitaliti Banyan Group, Encik Ho Kwon Ping; dan dikendalikan oleh Profesor Pengajian Islam dan Antara Agama di Universiti Edinburgh, Professor Mona Siddiqui.

Ketika plenari tersebut, Encik Dinesh berkata Singapura masih dalam proses pembelajaran dan pembaikan, dengan lebih banyak perkara perlu dilakukan. Ini termasuk di peringkat dalam negeri dan antara negara.

“Persidangan seperti ini (ICCS) merupakan peringatan penting bagi kita bahawa kita perlu memperluas pengetahuan, hubungan, dan rangkaian kita ke seluruh dunia, bukan sekadar terhad di Singapura sahaja,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg