Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gara-gara sorok: Warga emas hidup dalam timbunan barang, dikelilingi lipas

Kes lazimnya libat individu tinggal sebatang kara; kian jadi kebimbangan sedang penduduk menua
Feb 2, 2025 | 5:30 AM
Rumah Encik Hamzah (bukan nama sebenar) dipenuhi barang-barang lama.
Rumah Encik Hamzah (bukan nama sebenar) dipenuhi barang-barang lama. - Foto MOHD SAID ALI

Setelah pemergian arwah isterinya sekitar enam tahun lalu, Encik Hamzah (bukan nama sebenar) bak sebatang kara, hanya bertemankan lipas yang berkeliaran dan semak yang bertimbun dalam rumah yang tidak terurus.

Walau flat empat biliknya itu boleh dikatakan luas untuk seorang warga emas, pergerakan Encik Hamzah menjadi terbatas kerana semua bilik tidurnya dipenuhi barang lama yang menggunung sehinggakan laluannya ke tandas terhalang.

Namun, apabila sekumpulan relawan tiba di rumahnya tiga tahun lalu untuk membantu membersihkan rumahnya, beliau tetap enggan ‘melepaskan’ beberapa barang tersebut, antaranya kotak mengandungi pakaian arwah isterinya, dan barang seperti kerusi yang turun-temurun selama puluhan tahun.

“Ia mengandungi nilai sentimental,” katanya sambil menyifatkan barang-barang itu sebagai ‘Quran buruk’, iaitu sesuatu yang sudah tidak boleh diharapkan atau digunakan tetapi masih dihormati kerana sebab-sebab tertentu.

Tatkala Berita Minggu (BM) berkunjung ke rumahnya baru-baru ini untuk melihat sama ada keadaan rumah Encik Hamzah kembali seperti sedia kala, beliau dengan sopannya menolak permintaan wartawan untuk masuk ke flatnya itu.

Malah, ruang tamunya itu dalam keadaan gelap dan daripada sudut pandangan wartawan, masih ada barang-barang lama, walau tidak sebanyak dahulu.

Ketika ditanya sama ada beliau masih mengumpul barang-barang yang beliau temui, Encik Hamzah dengan pantas menafikannya, malah berkata ia sumbangan daripada orang lain.

Pada 21 Januari, Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) mengumumkan penubuhan kumpulan baru untuk menyelaras usaha pengurusan penimbunan.

Pihak berkuasa memberi amaran bahawa bilangan kes individu yang menyorok pelbagai barangan di flat mereka mungkin meningkat disebabkan penduduk Singapura yang semakin menua.

Dinamakan Pasukan Tindakan Alam Sekitar Baru (Neat), kumpulan ini terdiri daripada 28 anggota dari agensi pemerintah, kumpulan masyarakat dan organisasi swasta yang akan membantu mengesan kes lebih awal untuk menangani masalah dengan lebih cepat.

Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Changi Simei, Encik Mohd Said Ali, yang merupakan antara relawan yang membantu Encik Hamzah membersihkan rumahnya menceritakan bahawa pada mulanya, pintu rumah Encik Hamzah hanya boleh dibuka sedikit sahaja, dan ruangnya hanya cukup untuk para relawan selit masuk satu demi satu.

Hanya dengan lorong sempit menuju ke dapur, ruang lain termasuk semua bilik tidurnya sudah penuh dengan barang lama, antaranya almari buruk, bantal lapuk, dengan beberapa peti sejuk yang mengandungi barang sudah membusuk, kata Encik Said.

“Sebenarnya apa yang kami risaukan adalah ini boleh mendatangkan bahaya sekiranya kebakaran berlaku,” ujarnya sambil menambah keadaan rumah sedemikian boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan.

Walaupun Encik Hamzah pada mulanya enggan mengizinkan relawan membersihkan rumahnya kerana menganggap semua barang yang ada itu ‘bernilai’, Encik Said akhirnya dapat menyakinkan beliau.

Dalam proses membersihkan rumah, Encik Hamzah diminta tunggu di luar dan relawan hanya akan merujuk kepadanya sekiranya barang itu dilihat benar-benar bernilai.

“Namun perkara yang memang sudah tiada nilai seperti bungkusan plastik yang sudah reput, peti sejuk yang rosak, almari yang pecah, basikal lama, besi berkarat dan sebagainya, kami buang,” ujarnya.

Susulan itu, Encik Hamzah dibantu oleh badan amal yang memastikan keperluannya dipenuhi, kata Encik Said.

Memberi peringatan, Encik Said berkata penting bagi masyarakat termasuk jiran-jiran menjadi orang pertama bagi mengesan kes-kes sebegini.

“Maklumkannya kepada Jawatankuasa Penduduk (RC) supaya kami boleh melakukan tindakan susulan. Pertama sekali, ia melibatkan keselamatan sekiranya kebakaran berlaku. Seterusnya, mereka selalunya seorang diri. Lagipun, dengan keadaan rumah begitu, kesihatan mereka tidak terurus dan mereka boleh mendapat penyakit.

“Dalam hidup berjiran, kita tidak boleh buat hal sendiri, sebaliknya perlu prihatin tentang jiran-jiran kita,” pesannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg