Topik diikuti
Pergi ke BHkuAtlet luncur lelayang S’pura, Max Maeder, dicalon Pelayar Lelaki Terbaik Dunia 2026
Atlet luncur lelayang S’pura, Max Maeder, dicalon Pelayar Lelaki Terbaik Dunia 2026
Pemain luncur lelayang atau kitefoil Singapura, Maximilian Maeder, menambah satu lagi pencapaian dalam musim yang cemerlang pada 26 Oktober, apabila beliau dinamakan antara empat calon bagi anugerah Pelayar Lelaki Terbaik Dunia oleh World Sailing.
Ini merupakan kali kedua pemuda berusia 20 tahun itu dicalonkan buat anugerah tahunan berprestij tersebut, yang dilancarkan pada 1994 untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang pelayar individu dan berpasukan.
Beliau turut disenarai pendek untuk anugerah itu pada 2023, mencipta sejarah sebagai rakyat Singapura pertama yang diiktiraf. Akhirnya Tom Slingsby dinamakan pemenang buat kali ketiga, selepas beliau membawa pasukan Australia meraih gelaran SailGP ketiga berturut-turut.
Setahun kemudian, Maeder dinamakan Pelayar Muda Dunia Terbaik kategori lelaki selepas musim cemerlang yang menyaksikan beliau meraih pingat gangsa Olimpik di Paris 2024 dan sembilan gelaran lain, termasuk kejohanan dunia, Eropah dan Asia.
Pemenang edisi 2026 akan diumumkan pada 18 November di Qingdao, China, sebagai sebahagian daripada Persidangan Tahunan World Sailing.
Calon lain ialah Matt Wearn dari Australia yang merupakan pemenang perak Kejohanan Dunia ILCA 7; Luuc van Opzeeland dari Belanda, juara dunia iQFoil; dan Thomas Coville dari Perancis, pelumba kapal layar yang mengetuai Sodebo Ultim 3 dan mencipta rekod baharu Jules Verne Trophy bagi pelayaran terpantas mengelilingi dunia dengan anak kapal.
Maeder menikmati 2026 yang cemerlang, dengan beliau memenangi setiap acara yang disertainya.
Beliau memulakan 2026 dengan memenangi acara ujian pada Januari bagi Kejohanan Pelayaran Dunia seterusnya, yang akan diadakan di Fortaleza, Brazil, pada 2027.
Beliau kemudian bersinar dalam regata utama pertamanya musim ini dengan merangkul gelaran Trofeo Princesa Sofia keempat berturut-turut tiga bulan kemudian.
Kemenangan di Minggu Olimpik Perancis menyusul tidak lama selepas itu, sebelum beliau merampas semula gelaran dunianya pada Mei untuk menjadi juara dunia tiga kali, apabila beliau memenangi Kejohanan Dunia Formula Kite di Portugal.
Beliau meraikan hari lahirnya yang ke-20 pada September lalu dengan gelaran kelima di Kejohanan Eropah Formula Kite.
Wearn, juara Olimpik dua kali, turut menikmati tahun yang luar biasa, memenangi lima acara, termasuk Trofeo Princesa Sofia, Minggu Olimpik Perancis dan San Pedro Olympic Classes Regatta.
Selain dinobatkan juara dunia, van Opzeeland pula turut mempertahankan gelaran Eropahnya.
Coville dan enam anak kapalnya di Sodebo Ultim 3 pula menyelesaikan pelayaran mengelilingi dunia dalam masa 40 hari, 10 jam, 45 minit dan 50 saat, lebih 12 jam lebih pantas daripada rekod sebelumnya yang bertahan selama sembilan tahun.