Para atlet yang mewakili Singapura dalam Sukan Olimpik yang baru melabuhkan tirainya dan Sukan Paralimpik akan datang di Paris, Perancis telah diberikan penghargaan atas pencapaian dan usaha mereka dalam mengharumkan nama negara.
Ketika menyampaikan ucapannya dalam Bahasa Inggeris di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central pada 18 Ogos, Perdana Menteri Encik Lawrence Wong, meminta mereka berdiri dari tempat duduk masing-masing sedang para hadirin menunjukkan penghargaan mereka dengan tepukan gemuruh.
Atlet luncur lelayang, atau kitefoil, Maximilian Maeder, yang memenangi pingat gangsa dalam acara lelayang lelaki di Paris, antara mereka yang menerima sambutan hangat.
Remaja berusia 17 tahun itu meraih pingat Olimpik pertama sukan kapal layar bagi Singapura, dan menjadi warga termuda Singapura memenangi pingat dalam Sukan Olimpik.
Ia juga merupakan pingat Olimpik pertama Singapura sejak bekas perenang, Joseph Schooling, mencipta sejarah memenangi emas di Sukan Olimpik Rio 2016.
Empat lagi atlet yang hadir di rapat itu adalah pemain badminton, Yeo Jia Min; atlet kanu, Stephanie Chen; pelayar, Ryan Lo; dan penembak para, Daniel Chan.
Seramai 23 atlet Singapura dari 11 sukan telah bersaing di Sukan Olimpik Paris dari 26 Julai hingga 11 Ogos, manakala negara akan diwakili 10 atlet para daripada enam sukan dalam Sukan Paralimpik, yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 September.
Memuji semangat juang atlet Singapura, Encik Wong, berkata: “Semua atlet kita telah berjuang habis-habisan dan bersaing dengan berani menentang atlet hebat dunia.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg