Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aturan kerja fleksibel lebih sesuai bagi penjaga dari diberi cuti

Oct 15, 2024 | 5:28 PM
Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang berkata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mengiktiraf kepentingan menyokong golongan penjaga dari segi pekerjaan dan kecukupan persaraan mereka. 
Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang berkata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mengiktiraf kepentingan menyokong golongan penjaga dari segi pekerjaan dan kecukupan persaraan mereka.  - Foto MDDI

Kira-kira 89,000 penduduk pada 2023 dilaporkan berada di luar tenaga kerja kerana tanggungjawab mereka sebagai penjaga, dengan 69,000 daripada mereka berusia 40 tahun ke atas.

Berkongsi demikian di Parlimen pada 15 Oktober, Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang, berkata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mengiktiraf kepentingan menyokong golongan penjaga dari segi pekerjaan dan kecukupan persaraan mereka.

Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Encik Gerald Giam (GRC Aljunied) mengemukakan soalan berhubung melaksanakan undang-undang bagi pemberian cuti mandatori untuk pekerja bagi tanggungjawab menjaga agar semua majikan, sama ada progresif atau kurang progresif, dapat memberikan cuti menjaga untuk pekerja mereka.

Menjawab soalan Encik Giam, Cik Gan berkata cuti mandatori mungkin tidak mencukupi.

Sebaliknya, beliau berkata ia lebih mampan untuk pekerja agar mendapat fleksibiliti dalam aturan kerja mereka.

“Memberikan fleksibiliti sama ada melalui kerja sambilan, waktu kerja standard, atur kerja hibrid, atau bekerja dari rumah selama beberapa hari setiap minggu, lebih dihargai dan lebih mampan bagi pekerja yang perlu menjaga anggota keluarga mereka yang berusia untuk waktu yang panjang,” kata Cik Gan.

Dalam pada itu, beliau juga berkata terdapat pelbagai langkah penempatan kerja dan peluang meningkatkan kemahiran bagi mereka yang ingin kembali bekerja, serta skim sokongan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) untuk meningkatkan kecukupan persaraan mereka.

“Terdapat program penukaran kerjaya, sumber bagi meningkatkan kemahiran, uji kerjaya dan rangkaian sokongan kerjaya yang tersedia.

“Kami pastinya mengalu-alukan golongan penjaga yang ingin kembali bekerja untuk memanfaatkan sokongan yang tersedia.

“Kami baru sahaja mempertingkatkan cuti bapa serta cuti ibu bapa yang dikongsi, untuk memenuhi keperluan ibu bapa yang mempunyai anak kecil,” kata Cik Gan.

Beliau menambah, MOM akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (MOH) untuk memantau serta menganalisis trend golongan penjaga untuk memberikan sokongan yang lebih disasarkan bagi golongan penjaga yang berbeza.

“Kami akan terus menyemak usaha kami untuk memastikan golongan penjaga yang terjejas, disokong dengan baik,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg