Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PCF buka 3 kemudahan jagaan warga emas jelang suku ketiga 2025

PM Wong tekankan kepentingan kerjasama pemerintah dengan rakan kongsi dalam penuhi keperluan penduduk kian menua
Oct 6, 2024 | 6:29 PM
Perdana Menteri Encik Lawrence Wong (kanan) menerima tanda penghargaan daripada Hunter Tan Yi Ming, seorang pelajar K1 dari PCF Sparkletots Centre @ Cheng San - Seletar Blok 556. Bersamanya adalah Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling (kiri, berbaju oren); Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling (berbaju merah jambu); dan Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo (berbaju kotak-kotak).
Perdana Menteri Encik Lawrence Wong (kanan) menerima tanda penghargaan daripada Hunter Tan Yi Ming, seorang pelajar K1 dari PCF Sparkletots Centre @ Cheng San - Seletar Blok 556. Bersamanya adalah Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling (kiri, berbaju oren); Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling (berbaju merah jambu); dan Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo (berbaju kotak-kotak). - Foto ST

Warga emas yang tinggal di sebelah timur dan barat Singapura tidak lama lagi akan meraih manfaat daripada lebih banyak kemudahan penjagaan warga emas dan penuaan aktif menjelang suku ketiga 2025.

Tiga kemudahan penjagaan warga emas baru akan dibuka di Jurong East, Jurong West dan Simei oleh Yayasan Masyarakat PAP (PCF) dengan tujuan memastikan warga emas menerima penjagaan yang mereka perlukan dalam kalangan masyarakat seiring dengan usia mereka.

Mengumumkan demikian pada 6 Oktober pada acara Hari Keluarga PCF yang diadakan di Kelab NTUC di Downtown East, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata dengan jumlah penduduk yang semakin menua, pemerintah tidak boleh melakukannya sendiri.

Malah, beliau menekankan peri pentingnya kerjasama antara pemerintah dengan rakan kongsi dan pihak berkepentingan untuk menyediakan penjagaan yang diperlukan warga emas.

“Di sinilah peranan PCF juga meningkat. Walaupun PCF sudah terkenal sebagai pengendali prasekolah, kami kini beralih ke ruang penjagaan warga emas untuk memenuhi keperluan masyarakat kita yang semakin berkembang.

“PCF kini mempunyai sembilan pusat penjagaan warga emas dan empat pusat penuaan aktif, dan kami merancang untuk melakukan lebih banyak lagi pada masa hadapan. Saya sangat gembira PCF kini telah mula melakukan usaha ini,” kata Encik Wong.

Tiga kemudahan warga emas baru ini akan diurus oleh PCF Sparkle Care, cabang penjagaan warga emas PCF, di mana dua daripadanya adalah pusat penjagaan warga emas (SCC) yang terletak di Simei dan Jurong East, manakala satu lagi adalah pusat penuaan aktif (AAC) di Jurong West, dengan masing-masing mempunyai peranan berbeza.

Di Simei, sudah ada kemudahan jagaan warga emas di Blok 120, Simei Street, di bawah naungan GRC East Coast. SCC baru di Simei ini ditempatkan bersebelahan kemudahan sedia ada sebagai memenuhi permintaan khidmat yang tinggi di kawasan itu.

SCC akan menumpukan perhatian pada penyediaan penyelenggaraan dan penjagaan harian warga emas dengan demensia, serta perkhidmatan pemulihan aktif bagi mereka yang mungkin memerlukan sokongan dalam aktiviti harian atau penjagaan perubatan.

Pusat ini sesuai buat warga emas yang mungkin mempunyai had fizikal atau kognitif serta memerlukan bantuan atau penyeliaan sepanjang hari.

AAC pula lebih berorientasikan sosial dan berfungsi sebagai pusat riadah yang bertujuan menggalak penglibatan aktif, interaksi sosial dan penglibatan di dalam masyarakat.

Sehingga kini, PCF mempunyai sembilan SCC yang terletak di Braddell Heights, Serangoon, Shunfu, Yew Tee, Kreta Ayer, Eunos, Changi Simei, Bukit Panjang dan Tampines East; dan empat AAC di Shunfu, Braddell Heights, Eunos dan Yew Tee.

Pengarah Kanan Bahagian Penjagaan Warga Emas PCF, Encik Andy Seet, berkata lokasi tersebut dipilih berdasarkan jumlah warga emas dan bilangan warga emas yang telah memohon untuk lebih banyak SCC dan AAC.

Beliau menambah PCF bersedia membuka lebih banyak pusat seperti itu pada masa hadapan jika terdapat permintaan tinggi.

Dalam ucapannya, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, yang juga merupakan Pengerusi Penganjur Hari Keluarga PCF, mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa atas kepercayaan mereka kepada PCF selama ini.

“PCF Sparkletots akan terus menambah bilangan tempat penjagaan bayi dan penjagaan kanak-kanak memandangkan komitmennya sebagai pengendali utama prasekolah di Singapura.

“Sementara itu, PCF Sparkle Care akan mengembangkan tawarannya dan bekerjasama dengan rakan kongsi untuk memastikan warga emas menerima penjagaan yang mereka perlukan dalam masyarakat apabila mereka meningkat usia,” kata Cik Sun.

Semasa acara itu, Encik Wong juga mengumumkan bahawa PCF telah mengumpul sejumlah $609,000 daripada inisiatif pengumpulan dana tahunan mereka.

Inisiatif tersebut telah diterajui Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, yang juga Mayor CDC South West dan akan disalurkan kepada lebih 20 benefisiari termasuk 3Pumpkins dan Sekolah Senior Delta APSN.

Bertemakan Belajar Melalui Bermain, acara Hari Keluarga PCF 2024 pada 6 Oktober dihadiri sekitar 1,000 ibu bapa dan kanak-kanak dari 350 prasekolah PCF Sparkletots.

Acara tersebut turut menampilkan persembahan oleh para pelajar dari PCF dan persembahan muzik antara generasi oleh kedua-dua warga emas dan kanak-kanak dari Sparkle Care dan Sparkletots.

Turut hadir di acara tersebut adalah Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, yang juga merupakan pengerusi majlis PCF.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg