Terapi perubatan jitu akan dilindungi di bawah MediShield Hayat sebagai sebahagian daripada langkah berterusan pemerintah untuk memastikan rawatan sedemikian mampu didapatkan oleh rakyat Singapura, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, pada 10 Oktober.
Kementerian Kesihatan (MOH) juga sedang mengusahakan undang-undang baru untuk mengawal penggunaan data ujian genetik dan genomik, termasuk penggunaan maklumat genetik secara diskriminasi bagi insurans dan pekerjaan.
Langkah berkembar itu adalah kunci untuk mengatasi peningkatan kos penjagaan kesihatan dan mengurangkan risiko etika teknologi baru, yang Encik Ong sifatkan sebagai “pedang bermata dua”, lapor The Straits Times.
Penjagaan kesihatan berada di ambang kejayaan teknologi bersejarah, tambahnya.
“Ketersediaan data yang tidak pernah berlaku sebelum ini secara asasnya boleh mengubah penjagaan kesihatan,” kata Encik Ong semasa majlis perasmian Kongres Kesihatan dan Bioperubatan Singapura ke-22, anjuran Kumpulan Penjagaan Kesihatan Nasional (NHG), di Singapore Expo.
“Kami melihat pertumpuan tiga kuasa saintifik dan dasar yang sangat kuat.
“Apakah tiga perkara itu? Nombor 1, genomik. Nombor 2, AI atau kecerdasan buatan. Dan Nombor 3, tumpuan kepada penjagaan pencegahan.
“Dan semua ini akan mendatangkan kesan mendalam terhadap penjagaan kesihatan apabila ia bersatu,” katanya.
Beliau berkata Majlis MediShield Hayat sedang mengeluarkan saranannya mengenai terapi perubatan jitu minggu depan, dan akan meminta perlindungan di bawah pelan insurans nasional diperluaskan kepada terapi yang diluluskan.
Perubatan jitu adalah kaedah rawatan berdasarkan profil genom dan genetik individu seperti maklumat profil gen, protein dan persekitaran dalam aspek diagnosis, pengesanan, perawatan dan pencegahan penyakit.
MOH bercadang menerima usulan untuk melanjutkan perlindungan insurans kepada terapi sedemikian, kata Encik Ong.
Beliau menambah bahawa ini akan membolehkan terapi yang diluluskan dibawa ke dalam rangka kerja sokongan subsidi, MediShield Hayat dan MediSave.
Menurutnya, walaupun perubatan jitu akan menjadi amalan klinikal arus utama dari masa ke masa, sistem pembiayaan penjagaan kesihatan tidak direka untuk membiayai sepenuhnya rawatan sedemikian.
Ini akan membawa kepada ketidaksamaan yang serius dalam penjagaan kesihatan kerana hanya golongan kaya sahaja yang mampu mendapatkan rawatan sedemikian, kata Encik Ong.
Oleh itu, pihak berkuasa mengambil langkah untuk menerima pakai perubatan jitu dengan cara yang mampan, misalnya dengan melabur dalam keupayaan tempatan untuk membangunkan rawatan sedemikian, sekali gus menyingkatkan masa pengeluaran dan mengurangkan kos.
Penilaian teknologi kesihatan juga telah dipertingkatkan untuk “menilai dengan kukuh” keberkesanan kos bagi rawatan yang berkos tinggi, termasuk perubatan jitu, kata Encik Ong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg