Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AUPE, GovInsider meterai MOU pertingkat kemahiran pegawai sektor awam

Sep 30, 2024 | 6:02 PM
(dari kiri) Presiden AUPE, Encik Jefry Mohamad; Setiausaha Agung AUPE, Encik Sanjeev Tiwari; Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng; Pengarah GovInsider (Transformasi dan Projek Strategik), Encik Tyler Lim; dan Pengarah GovInsider, Encik Adrian Sng, di acara tandatangan MOU antara AUPE dengan GovInsider sempena majlis ulang tahun ke-65 AUPE yang diadakan di Marina Bay Sands pada 28 September.
(dari kiri) Presiden AUPE, Encik Jefry Mohamad; Setiausaha Agung AUPE, Encik Sanjeev Tiwari; Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng; Pengarah GovInsider (Transformasi dan Projek Strategik), Encik Tyler Lim; dan Pengarah GovInsider, Encik Adrian Sng, di acara tandatangan MOU antara AUPE dengan GovInsider sempena majlis ulang tahun ke-65 AUPE yang diadakan di Marina Bay Sands pada 28 September. - Foto NTUC

Gabungan Kesatuan Pekerja Awam (AUPE) telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MOU) bersama penerbitan dalam talian, GovInsider, untuk menyokong kakitangan sektor awam dalam perjalanan peningkatan kemahiran mereka.

Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan AUPE dalam satu kenyataan pada 28 September berkata di bawah MOU itu, kakitangan sektor awam akan diberi sokongan dalam membangun kemahiran yang diperlukan untuk penuhi permintaan perkhidmatan awam yang berubah-ubah di tengah-tengah kemajuan teknologi yang pesat berkembang.

Ia juga akan membantu menjadikan AUPE sebagai peneraju pemikiran dalam ruang inovasi awam.

Kerjasama itu akan memberi akses kepada anggota AUPE mendapatkan kandungan GovInsider, bagi bolehkan mereka mendapat kesedaran dan pendedahan lebih luas kepada isu-isu tempatan dan serantau, termasuk teknologi baru, dasar dan trend tenaga kerja.

Anggota AUPE juga boleh mendapat undangan eksklusif ke sidang, sesi meja bundar dan acara anjuran GovInsider.

Di samping itu, AUPE akan memperkenal sebuah Program Alumni pada 1 Januari 2025 untuk tawarkan kadar keanggotaan bersubsidi kepada anggota yang sudah bersara.

Dengan itu, kakitangan sektor awam yang sudah bersara boleh terus nikmati manfaat kesatuan yang disesuaikan untuk keperluan mereka, seperti peluang pekerjaan sambilan, kursus pengayaan, bantuan dengan kerjasama perusahaan sosial dan rangkaian sosial.

MOU dan Program Alumni itu diumumkan sempena majlis ulang tahun ke-65 AUPE yang diadakan di Marina Bay Sands pada 28 September dan dihadiri oleh tetamu terhormat, Presiden Tharman Shanmugaratnam.

NTUC dan AUPE berkata inisiatif dan perkembangan tersebut menunjukkan “komitmen AUPE untuk terus mempertingkat perkhidmatannya demi penuhi keperluan anggota AUPE yang berubah-ubah”.

Sejak AUPE jalani transformasi digital dengan pelancaran aplikasinya pada 2019, ia berjaya mempertingkat pendekatan dan menyediakan kemudahan kepada perkhidmatannya dengan lebih mudah untuk anggotanya.

Aplikasi itu - dengan sekitar 20,000 muat turun sejauh ini - menyediakan wadah bagi anggota mereka mendapatkan maklumat terkini, memberi maklum balas, mendaftar bagi acara dan sebagainya.

AUPE turut umumkan bahawa ia akan membangunkan semula premis semasanya di 295 Upper Paya Lebar Road untuk sediakan kemudahan seperti sistem lif dipertingkat, tempat meletak kereta di besmen, bilik warisan baru untuk mempamerkan sejarah dan pencapaian kesatuan, dan ruang rekreasi diperluas.

Kerja-kerja peningkatan akan dijalankan dari suku ketiga 2025 hingga 2028.

Setiausaha Agung AUPE, Encik Sanjeev Tiwari, berkata sedang kesatuan itu meraikan pencapaian mereka sepanjang 65 tahun lalu, mereka juga sedang mencari cara baru menjadi tonggak sokongan kepada anggota dalam menyokong prospek, kemajuan dan kesejahteraan yang lebih baik.

“Menerusi kerjasama dengan GovInsider, kami berharap dapat menyokong kakitangan sektor awam dalam perjalanan pembelajaran sepanjang hayat mereka.

“Kami juga berharap premis yang diperbaharui akan sediakan ruang yang selesa bagi anggota berhubung dan memperluaskan rangkaian mereka.

“AUPE akan terus bekerja rapat dengan NTUC dan rakan tiga pihak kami untuk mempertingkat kehidupan pegawai perkhidmatan awam kita dan memajukan kebajikan mereka,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg