Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AVS semak protokol tangkap anjing liar susulan maklum balas kumpulan kebajikan haiwan

Nov 20, 2025 | 4:18 PM
Operasi menangkap anjing liar di Seletar West Farmway 8, dijalankan susulan empat kejadian anjing menggigit dan mengejar orang tanpa provokasi di kawasan itu dari Mei hingga November.
Operasi menangkap anjing liar di Seletar West Farmway 8, dijalankan susulan empat kejadian anjing menggigit dan mengejar orang tanpa provokasi di kawasan itu dari Mei hingga November. - Foto STOMP

Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) berkata ia sedang menyemak semula protokolnya susulan kontroversi baru-baru ini berhubung penangkapan anjing liar di sebuah ladang di Seletar West.

Video penangkapan tersebut, yang dijalankan oleh kontraktor pengurusan haiwan AVS di bawah pengawasan kakitangan AVS, telah dimuat naik ke Instagram pada 14 November.

Kandungan video itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai dan kumpulan kebajikan haiwan, yang mempersoalkan piawaian pengendalian anjing serta amalan pengurusan anjing AVS.

Mereka turut menyeru supaya piawaian lebih berperikemanusiaan diterapkan dalam operasi sebegitu, lapor The Straits Times (ST).

Menjawab pertanyaan ST, Pengarah Kumpulan Pengurusan Haiwan Masyarakat AVS, Dr Anna Wong, berkata badan tersebut telah bekerjasama dengan kumpulan kebajikan haiwan bagi mengumpul maklum balas mengenai kebimbangan mereka.

“Kami telah mengadakan perbincangan dengan rakan kongsi kumpulan kebajikan haiwan... dan akan terus bekerjasama rapat dengan mereka untuk memperbaiki program Langkah Perangkap-Kembiri-Cari Rumah Baru atau Lepaskan Secara Terurus (TNRM).

“Ini termasuk meneliti semula protokol bersama kami serta memperbaiki komunikasi dan penyelarasan,” kata Dr Wong pada 20 November.

Dr Wong turut menekankan bahawa “keselamatan dan kesejahteraan haiwan serta anggota masyarakat kekal menjadi keutamaan kami”.

Operasi menangkap anjing liar di Seletar West Farmway 8, dijalankan susulan empat kejadian anjing menggigit dan mengejar orang tanpa provokasi di kawasan itu dari Mei hingga November, termasuk dua kejadian dalam tempoh enam hari pada November.

Kejadian tersebut menyebabkan kecederaan kepada orang awam, dengan kecederaan termasuk calar sehingga luka dalam yang memerlukan rawatan perubatan.

“Bagi situasi (yang melibatkan) keselamatan orang awam yang mendesak, AVS perlu bertindak dengan pantas dan tegas sambil memastikan operasi dijalankan dengan selamat dan berkesan,” tambah Dr Wong.

Beliau juga berkata “susulan kejadian gigitan sebelum ini dan risiko tinggi terhadap keselamatan orang awam, kontraktor telah menggunakan peralatan pengurungan yang sesuai untuk mengawal anjing semasa operasi dijalankan”.

Operasi penangkapan itu menimbulkan kritikan daripada beberapa pihak, dengan Persatuan Cegah Kekejaman ke atas Binatang (SPCA) berkata dalam satu kenyataan Facebook pada 18 November:

“Kami memahami keperluan untuk bertindak terhadap insiden gigitan yang dilaporkan, namun tahap kekerasan yang digunakan, termasuk mencengkam leher, menarik, dan penyalahgunaan alat tangkap, jauh di bawah piawaian berperikemanusiaan dan bercanggah dengan dasar latihan positif Lembaga Taman Negara (NParks).”

Kumpulan sokongan haiwan terbesar di Singapura itu turut menyuarakan keraguan sama ada anjing yang betul telah disasarkan dalam operasi tersebut, dengan menyatakan bahawa “pengenalan jelas tidak diberikan”, namun Dr Wong menegaskan bahawa AVS telah menangkap anjing yang betul.

“AVS telah bekerjasama dengan mangsa untuk mengesahkan bahawa anjing-anjing tersebut (memang) terlibat dalam insiden itu,” kata Dr Wong dalam respons beliau.

Beliau menambah bahawa ketiga-tiga anjing itu kini berada di bawah jagaan AVS, dan berada dalam keadaan baik.

Program TNRM dilancarkan pada 2018 bagi mengurus populasi anjing liar di Singapura dengan lebih berkesan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg