Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anggota NS cedera digigit anjing yang diselamatkan

Aug 8, 2025 | 7:24 PM
Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF), Encik Ilham Jufri, menerima kira-kira dua atau tiga jahitan di tiga jarinya setelah digigit seekor anjing yang diselamatkannya pada 3 Ogos.
Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF), Encik Ilham Jufri, menerima kira-kira dua atau tiga jahitan di tiga jarinya setelah digigit seekor anjing yang diselamatkannya pada 3 Ogos. - Foto FACEBOOK JUFRI SALIM

Walaupun darah mengalir di jarinya selepas digigit anjing yang diselamatkannya, hati Encik Ilham Jufri tetap ikhlas dan tidak gentar.

Pemuda berusia 22 tahun itu dimasukkan hospital setelah mengalami kecederaan di tiga jarinya dan salah satu jarinya patah akibat gigitan itu.

Ketika sedang berlari-lari anak di persekitaran Blok 13 Bedok South Avenue 2 pada 3 Ogos, Encik Ilham terlihat seekor anjing berwarna coklat berlari masuk ke dalam semak berhampiran jalan raya.

Beliau cuba memujuk anjing itu keluar dari semak apabila ia tiba-tiba berlari seberang jalan dan dilanggar oleh sebuah kereta.

Menurut Encik Ilham, kereta itu tidak berhenti setelah melanggar anjing itu.

“Saya tak fikir panjang. Saya terus berlari ke arah anjing itu dan mendukungnya ke tempat selamat. Pada saat itu, ia kelihatan tidak sedar,” ujarnya.

Encik Ilham memberitahu Berita Harian (BH) menerusi panggilan telefon bahawa anjing itu memakai abah-abah, menandakan ia bukan anjing liar tetapi kemungkinan haiwan peliharaan yang terlepas. Namun, tiada pemilik kelihatan di kawasan tersebut.

Dalam dakapan Encik Ilham, anjing itu kelihatan mengalami sawan, yang mendorongnya untuk menghubungi Persatuan Cegah Kekejaman ke atas Binatang (SPCA) dengan segera.

Pengalaman Encik Ilham sebagai Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF) di bawah Unit K-9 Pasukan Polis Singapura banyak membantu ketika itu.

“Berdasarkan apa yang saya pelajari semasa latihan di Unit K-9, saya tahu bagaimana hendak memegang anjing, dan bahagian mana yang sepatutnya saya pegang jika ia cedera.

“Semua itu saya gunakan untuk pastikan ia tidak cedera lebih teruk,” jelas Encik Ilham, yang memulakan NS pada Oktober 2024.

Namun, semasa beliau masih menghubungi SPCA, anjing itu tiba-tiba melarikan diri ke arah jalan raya yang sibuk.

Encik Ilham terus mengejarnya sambil menjerit meminta bantuan. Menurutnya, sekurang-kurang 10 orang awam turut membantu mengejar anjing itu yang telah berlari ke arah kolong blok dan tempat letak kereta.

Akhirnya, seorang wanita berjaya menangkap anjing tersebut sebelum Encik Ilham kemudian mengambil alih untuk memastikan haiwan itu selamat dan mendapatkan rawatan segera.

Dalam proses tersebut, anjing itu yang berada dalam keadaan ketakutan menggigit tiga jarinya sebanyak enam kali.

“Saya rasa jari saya digigit, tetapi fikiran dan perhatian saya pada ketika itu tertumpu pada anjing itu sendiri. Saya terfikir tentang kesakitan yang mungkin dialaminya selepas dilanggar kereta.

“Sambil kami menunggu SPCA tiba, seseorang memberitahu saya bahawa tangan saya berdarah. Mereka suruh saya pergi dapatkan rawatan, tetapi saya memutuskan untuk tunggu sehingga SPCA tiba dan membawa anjing itu pergi,” kata Encik Ilham.

Pada malam itu juga, Encik Ilham, ditemani ibu bapanya, memutuskan untuk ke Hospital Besar Changi (CGH) setelah beliau tidak boleh menggenggam dan sukar membengkokkan jari tengahnya.

Hasil pemeriksaan mendapati beliau perlu menjalani prosedur pembersihan luka bagi mengelakkan jangkitan.

Pada pagi 4 Ogos, ujian X-ray menunjukkan salah satu jarinya patah. Encik Ilham kemudian menjalani pembedahan bagi prosedur pembersihan luka dan rawatan pada tiga jarinya.

Beliau menerima kira-kira dua hingga tiga jahitan pada setiap jari semasa pembedahan selama tiga jam.

Encik Ilham dibenarkan keluar hospital pada 6 Ogos dan kini sedang berehat di rumah.

Menurutnya, beliau perlu kembali ke hospital pada 14 Ogos, di mana besar kemungkinan jahitan di jarinya akan dibuka.

Selepas mengetahui anjing itu kembali bersama pemiliknya, Encik Ilham meluahkan rasa syukurnya.

“Saya tak dapat bayangkan apa yang akan berlaku kepada anjing itu jika saya tak berlari-lari anak pada petang tersebut.

“Rasanya memang saya ditakdirkan untuk berada di situ dan selamatkan anjing itu. Kalau saya tak berada di situ, saya tak tahu apa akan terjadi pada anjing tersebut, sebab saya satu-satunya orang di sana yang nampak ia dilanggar kereta.

“Saya bersyukur anjing itu selamat sekarang. Pemiliknya hubungi kami dan beritahu anjing itu selamat, gembira, malah berlari-lari di rumah seolah-olah ia tidak terlibat dalam kemalangan,” kongsi Encik Ilham.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg