Dalam mengimbangi tanggungjawab mencabarnya sebagai jururawat, isteri dan ibu dua anak kecil, Cik Marina Iskandar de Souza bertuah mempunyai seorang bapa yang turut ‘menyingsing lengan baju’ membantu menguruskan rutin harian anaknya.
Malah, selain menghantar cucunya yang berumur empat dan tujuh tahun itu ke kelas tuisyen dan renang, dari masa ke masa ayah beliau, Encik Timothy Alexandra de Souza, 66 tahun, memandu Cik Marina pulang ke rumah apabila syif anaknya itu habis lambat.
Ini walaupun mereka tidak tinggal serumah. Cik Marina dan suaminya tinggal di Bukit Batok, sementara ibu bapanya tinggal di Jurong West. Ibunya Cik Mila Lina Mari, 64 tahun, pesara.
Encik Timothy sangat memahami pekerjaan anaknya – mereka rakan sekerja di Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH). Cik Marina seorang jururawat kakitangan kanan, sementara Encik Timothy adalah penolong kanan makanan dan minuman (F&B).
“Ayah saya merupakan sistem sokongan yang luar biasa untuk saya,” Cik Marina.
“Dengan kerja saya yang sibuk di hospital, ada hari-hari saya hampir tidak mempunyai masa untuk menguruskan jadual anak-anak saya, tetapi ayah membantu – dia menghantar dan mengambil mereka bagi kelas tuisyen, dan membawa mereka untuk kelas renang. Kadangkala anak-anak saya tidur di rumah ibu bapa saya,” tambahnya.
Beliau mempunyai tiga syif kerja – 7 pagi hingga 3 petang, 12 tengah hari hingga 9 malam, dan 8 malam hingga 7.30 pagi.
“Walaupun saya ada dua hari pelepasan, ia tidak tetap dan berubah setiap minggu,” kata Cik Marina, yang suaminya bekerja syif 12 jam sebagai pegawai polis tambahan.
Tidak mudah bagi Cik Marina memasuki sektor penjagaan kesihatan. Dua kali permohonannya untuk menyertai program kejururawatan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) ditolak, menyebabkan beliau memasuki sektor runcit.
Selepas tujuh tahun menceburi bidang penjualan runcit, Cik Marina berusaha bertukar ke bidang kejururawatan yang beliau meminati.
Melalui Agensi Pembangunan Tenaga Kerja Singapura pada waktu itu, beliau mengikuti program pertukaran kerjaya Nitec (Kejururawatan) di ITE pada 2013 dan seterusnya memasuki sektor penjagaan kesihatan pada 2015. Malah, beliau mendalami bidang itu dengan meraih ijazah kejururawatan daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 2023.
Sebagai jururawat staf kanan sekarang, antara tugas Cik Marina ialah menguruskan penjagaan pesakit dan menyelaras karyawan penjagaan kesihatan.
Bagi Encik Timothy pula, apabila syarikat logistik tempat kerja lama beliau mengurangkan pekerja, Cik Marina berkongsi tentang jawatan kosong di NTFGH. Encik Timothy menyertai NTFGH pada 2015 dan tugas beliau termasuk memastikan bahan makanan dikendali dan disimpan dengan betul.
“Saya mengawasi barang makanan yang masuk dan memastikan semua penghantaran diterima dengan baik. Ini termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, barang stok kering, barangan sejuk dan bahan pembungkusan seperti bekas makanan dan peralatan plastik.
“Saya juga menguruskan tempahan berulang bagi barangan yang semakin berkurangan dan memastikan semua barangan halal mempunyai pengesahan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
“Selain itu, saya mengawasi penyimpanan barangan yang betul, memastikan barangan halal dan tidak halal disimpan berasingan, dan mengekalkan organisasi stok secara keseluruhan,” ujar beliau.
Encik Timothy, yang bekerja dalam sektor logistik selama 24 tahun, menggambarkan pengalaman bertugas di NTFGH “seolah-olah kembali ke tempat asal”.
“Selepas tamat sekolah, saya bekerja di pasar raya selama 15 tahun hingga akhirnya menjadi penyelia kedai.
“Saya tidak menghadapi sebarang keraguan atau cabaran besar semasa pertukaran kerja daripada logistik ke F&B. Malah, ia seperti langkah seterusnya yang semula jadi,” tambah bapa dua anak itu.
Walaupun bekerja di jabatan berbeza di NTFGH dan Encik Timothy bertugas waktu pejabat, hubungan ayah dan anak itu kian erat.
“Walaupun saya bekerja syif, ada masanya syif saya selari dengan waktu kerja ayah saya. Jadi, peluang untuk berulang-alik bersama-sama masih ada.
“Ayah pun memandu, jadi saya dapat tumpang sekali,” ujar Cik Marina, sambil tertawa kecil.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg