Pada usianya yang mencecah 60 tahun, Encik Khaider Khalid adalah penerima ijazah paling berusia dalam kalangan kohort lulusan sarjana muda Universiti Nasional Singapura (NUS) 2024.
Sebagai individu daripada generasi Baby Boomer (lahir antara 1946 hingga 1964), beliau akur cara pertuturannya jauh beza daripada rakan sekuliah daripada Generasi Z (lahir antara 1997 hingga 2012).
Namun, eksekutif sektor kewangan yang memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang sains komputer itu tetap berusaha menyesuaikan dirinya dalam sekitaran yang penuh anak muda demi mengejar cita-citanya untuk menjadi jururawat.
Pada 14 Julai, Encik Khaider menerima ijazah idamannya di majlis tamat pengajian NUS di Pusat Budaya Universiti (UCC) kampus tersebut.
Dua tahun lalu, beliau mengambil keputusan memohon untuk mengikuti program pertukaran kerjaya Sarjana Muda Sains (Kejururawatan) yang dipercepatkan selama dua tahun di Pusat Alice Lee untuk Pengajian Kejururawatan NUS.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Khaider berkata:
“Saya melalui pengalaman unik dalam mengikuti sesi tutorial dan mengendalikan projek dengan rakan sekelas yang sebaya dengan anak bongsu saya yang berusia 23 tahun.
“Saya mempelajari dan membiasakan diri dengan Telegram dan Instagram, wadah yang digemari dan digunakan generasi muda hari ini, dan menguasai bahasa trengkas mereka.”
Setiap detik memburu ilmu kejururawatan itu membantunya membina hubungan yang baik dalam sekitaran rakan-rakan dan tenaga pengajar yang saling membantu.
Ditanya apa yang membuatnya ingin menukar kerjaya daripada eksekutif Citibank yang telah membangun kerjaya selama 26 tahun, Encik Khaider, bapa tiga anak perempuan, berkata:
“Saya didorong keinginan memahami kesihatan secara lebih mendalam demi menjaga diri dan keluarga, terutama selepas menyaksikan rakan sekerja mengalami masalah kesihatan yang buruk.
“Apa gunanya kaya jika tidak sihat? Keluarga saya pada awalnya seolah-olah tidak percaya dan menyangka bahawa saya bergurau sahaja.
“Namun, apabila saya mengemukakan permohonan dan menghadiri sesi temu duga, barulah mereka menyedari azam saya itu. Mereka terkejut apabila permohonan itu berjaya.”
Peralihan kerjaya itu agak ketara memandangkan tugasnya dahulu lebih memerlukannya duduk di hadapan komputer.
Kini selaku jururawat, beliau perlu lebih berinteraksi dengan orang ramai.
Sungguhpun begitu, memandangkan dalam tugasan lamanya beliau pernah mengurus pasukan di Singapura, India dan China, tiada masalah untuknya berkomunikasi dan mengurus pesakit.
“Saya tahu saya adalah yang tertua dalam kelas kejururawatan ini tetapi saya terkejut juga apabila mendapat tahu saya adalah pelajar tertua untuk ijazah sarjana muda bagi kelas NUS 2024,” tambahnya.
Encik Khaider yang terikat dengan bon tiga tahun di Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH) sebagai jururawat staf mulai September ini ingin memperolehi pengalaman klinikal dan berharap dapat menawarkan khidmat sukarela di negara yang dilanda bencana.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg