Badai hidup tidak hambat remaja raih Anugerah Pencapaian Cemerlang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Badai hidup tidak hambat remaja raih Anugerah Pencapaian Cemerlang

Feb 1, 2026 | 4:39 PM

Badai hidup tidak hambat remaja raih Anugerah Pencapaian Cemerlang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pesalah, anak, terima, anugerah
Nana (kiri), 17 tahun, dan tiga adik-beradiknya menerima biasiswa dan anugerah daripada badan kebajikan NeuGen, atas usaha dan pencapaian akademik mereka dalam satu majlis pengiktirafan pada 1 Februari. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Nana (bukan nama sebenar) sekeluarga dibelenggu cabaran kewangan.

Mereka menerima bantuan kewangan bulanan daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Dalam kesempitan hidup, remaja berusia 17 tahun itu berkongsi sebuah flat sewa dua bilik bersama lima adik-beradiknya.

Namun, semangat anak kelima dalam enam beradik ini tidak mudah luntur. Walaupun berdepan dengan bermacam dugaan, Nana bertekad memperbaiki prestasi akademiknya dari tahun ke tahun.

Nana dan tiga lagi adik-beradiknya merupakan antara 518 pelajar dan belia yang berjaya mencapai matlamat meraih kecemerlangan dalam pelajaran dengan sokongan NeuGen, sebuah badan kebajikan yang menyokong banduan dan bekas pesalah, serta keluarga mereka.

Pelajar cekal ini menerima biasiswa dan geran buku sebagai pengiktirafan terhadap usaha dan pencapaian akademik dalam sebuah majlis penghargaan yang diadakan di Just BrewIN Cafe di 452 Race Course Rd, pada 1 Februari.

Pada 31 Januari, satu lagi majlis pengiktirafan telah diadakan buat sekumpulan pelajar lain.

Ketika ditemui Berita Harian (BH), Nana yang kini mengambil kursus Nitec Lanjutan bagi Pengurusan Sukan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), berkata sokongan daripada program tuisyen tajaan NeuGen serta dorongan keluarganya memberinya keyakinan untuk terus berusaha.

“Sejak menyertai tuisyen NeuGen pada 2019, saya bukan sahaja berjaya menguasai subjek mencabar seperti Matematik, malah dapat redakan tekanan belajar apabila bersama rakan-rakan yang mengikuti kelas tuisyen ini mahupun teman sekolah.

“Saya juga gembira kerana dapat main bola keranjang seminggu sekali melalui program Kegiatan Selepas Sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, usaha gigihnya, dibantu rangkaian sokongan yang menyeluruh, menjadi pemangkin bagi Nana meraih sekurang-kurangnya dua pengiktirafan di sekolah setiap tahun – pencapaian yang amat bermakna baginya.

Lebih membanggakan, prestasi Nana dalam peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘O’ 2025 turut melayakkannya menjadi salah seorang daripada 24 penerima Anugerah Pencapaian Cemerlang yang menerima biasiswa bernilai $800 seorang daripada Dana NeuGen 2026.

NeuGen menganugerahkan biasiswa tersebut kepada anak-anak banduan dan bekas pesalah daripada keluarga berpendapatan rendah, dari peringkat sekolah rendah hingga institusi pengajian tinggi.

Pada 2026, jumlah $189,650 telah diberikan kepada 518 penerima bantuan dalam bentuk bantuan biasiswa, geran buku dan Anugerah Pencapaian Cemerlang.

Sekitar $1.3 juta bantuan kewangan pula telah diberikan kepada lebih 4,200 penerima bantuan dari 2011 hingga 2024.

Dana tersebut ditaja oleh iWOW Technology Limited, Charles & Keith Foundation Group, Julius Baer, Baker McKenzie Wong & Leow, PCS Security dan Hey! Chips.

Anugerah dan wang tersebut diberikan berdasarkan pencapaian mereka dalam peperiksaan nasional atau keputusan akhir tahun.

Dalam satu kenyataan pada 1 Februari NeuGen berkata biasiswa tersebut adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan kesejahteraan penerima bantuan.

“Kami percaya pendidikan amat penting untuk membolehkan anak-anak merealisasikan potensi mereka dan meningkatkan kedudukan sosial. Wang tunai dan baucar yang diberikan kepada pelajar yang layak boleh digunakan untuk membayar keperluan asas sekolah atau menampung sebarang keperluan pendidikan lain,” tambah NeuGen.

Bagi Nana, wang $800 itu bukan sahaja membantu menampung keperluan sekolah, malah sebagai tanda penghargaan buat keluarganya yang kekal di sisi dan banyak berkorban.

“Saya masih ingat bagaimana ibu sanggup bawa saya ke Johor Bahru bersama adik-beradik lain untuk legakan tekanan saya yang ulang kaji pelajaran hingga lewat malam.

“Kini, tekad saya nak buat sebaik mungkin untuk kursus pengurusan sukan yang saya ambil di ITE, atas minat terhadap sukan,” katanya lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg