Sempena Ramadan, Singapore Buddhist Lodge (SBL) menyumbangkan 30 tan beras untuk masjid, pertubuhan dan kumpulan masyarakat serta golongan berpendapatan rendah.
Sumbangan itu diserahkan badan agama Buddha itu kepada Masjid Ba’alwie, yang akan mengagihkannya kepada golongan memerlukan melalui badan akar umbi dan pertubuhan masyarakat di seluruh Singapura.
Penyerahan beras itu dilakukan pada 28 Februari dalam acara yang turut dihadiri presiden SBL, Encik Tan Lee Huak; imam Masjid Ba’alwie, Habib Hassan Al-Attas; Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, sebagai tetamu terhormat; dan wakil daripada pelbagai persatuan.
Penolong setiausaha kehormat SBL, Encik Teng Seng Dui, berkata pihaknya menghargai sumbangan penderma yang membolehkan badan itu meneruskan usaha kebajikan itu.
“SBL menyumbang beras kepada Masjid Ba’alwie sejak 2011.
Sejak 2021 pula, kami menyumbang 30 tan setiap tahun,” jelasnya.
“Ini sebenarnya atas usaha murni dan kepercayaan para penderma yang selama ini menyokong kami dan kami seterusnya menyumbangkannya untuk memberi manfaat kepada semua orang yang memerlukan, tanpa mengira bangsa atau agama,” tambah beliau.
Melahirkan penghargaannya, Habib Hassan berkata kepada Berita Harian: “Alhamdulillah, pemberian ini bukan baru. Usaha ini sudah dijalankan lebih 10 tahun sejak mendiang Encik Lee Bock Guan menjadi presiden SBL.
“Mendiang Lee terharu melihat, pada waktu itu, apabila sampainya bulan Ramadan, pihak masjid dan banyak persatuan akan masak bubur dan beri makan kepada orang ramai.
“Justeru beliau terus mengambil peluang untuk menyumbang beras kepada kami.”
Beliau juga berkata Masjid Ba’alwie akan terus bekerjasama dengan masjid lain, pertubuhan masyarakat dan Persatuan Rakyat (PA) untuk mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan.
Encik Mohd Fahmi turut memujinya dan berkata ia mencerminkan usaha antara kaum yang dapat mengeratkan lagi ikatan masyarakat.
“Dengan adanya beras untuk masak bubur bersama, ia dapat menjalin hubungan silaturahim, membantu satu sama lain dan mengetahui isu yang dihadapi masyarakat,” katanya.
Mereka yang ingin menerima beras itu boleh mengisi borang di pautan, https://tinyurl.com/ramadanrice2025
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg