Topik diikuti
Pergi ke BHkuBadan amal, Halogen rintis program bantu belia perluas skala projek impak sosial
Badan amal, Halogen rintis program bantu belia perluas skala projek impak sosial
Badan amal, Halogen rintis program bantu belia perluas skala projek impak sosial
Badan amal belia, Halogen, sedang merintis program ‘Accelerator’ (pemacu) bagi membantu golongan muda di Singapura memperluas skala projek impak sosial mereka.
Projek rintis ini membantu pasukan memperhalus inisiatif dalam bidang kesejahteraan mental, kemampanan, pendidikan, dan sokongan sosial.
Ia disasarkan untuk memupuk sehingga 20 projek belia merentasi empat peringkat pembangunan dalam tempoh enam hingga sembilan bulan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Halogen, Cik Ivy Tse, berkata:
“(Projek rintis ini) memberi golongan muda struktur, rangkaian dan panduan praktikal bagi mengembangkan usaha yang dekat di hati mereka, sekali gus mengubah idea awal kepada inisiatif yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.”
Selain menyediakan akses kepada bimbingan, bengkel, dan ujian dunia nyata melalui rangkaian rakan kongsi korporat serta perkhidmatan sosial, Halogen akan menerapkan nilai pembentukan perwatakan dalam diri setiap peserta.
Ketua program ‘Accelerator’ di Halogen, Cik Xena Goh, menyatakan bahawa “kekuatan utama terletak pada cara bagaimana kami dapat membentuk (golongan muda) menjadi pencetus perubahan melalui program ini”.
“Terdapat banyak tumpuan diberikan kepada bagaimana kami menerapkan elemen pembentukan perwatakan, kerana jika mereka menjalankan projek dengan baik dan dapat mengambil pelajaran... apa yang kami hasilkan bukan sekadar satu projek yang berjaya, bahkan seorang pencetus perubahan muda yang (akan terus) memulakan pelbagai projek lain.”
Mereka yang memohon untuk projek rintis ini seharusnya sudah mempunyai projek impak sosial, yang mana Halogen boleh membantu mereka untuk memulakannya atau memperluas skalanya.
Cik Goh menjangkakan “sebilangan besar (peserta) akan menyertai program ini dengan membawa projek rintis serta masalah sedia ada tentang cara mereka mengendalikan sesuatu perkara”.
Pasukan terlibat boleh meneroka langkah untuk menjadikan projek mereka mampan, atau menubuhkan sebuah badan amal mahupun perusahaan sosial.
Beliau memerhatikan bahawa walaupun golongan muda sering mempunyai isu yang dekat di hati, mereka mungkin kekurangan kemahiran untuk mengembangkan idea tersebut.
Melalui ‘Accelerator’, peluasan skala “bererti memberi khidmat kepada lebih ramai penerima bantuan, atau memperluas skala secara mendalam – iaitu daripada membantu 100 keluarga, saya membantu 20 keluarga tetapi meluangkan masa lebih lama bersama mereka”, jelas beliau.
Halogen berkata projek rintis tersebut akan membantu pasukan meninjau perkembangan projek mereka dari segi liputan dan penglibatan masyarakat.
Program ‘Accelerator’ telah dirasmikan pada Sidang Kemuncak The Accelerator 2026 di Temasek Shophouse, Orchard Road, pada 20 Jun lalu.
Ia dibina di atas kerangka kukuh program Fellowship Pemimpin Muda Nasional (NYLF) oleh Halogen.
NYLF merupakan program sembilan bulan yang mengasah kemahiran kepimpinan belia berusia 15 hingga 19 tahun menerusi bengkel, sesi santai, dan pembelajaran lapangan.
Peserta berperanan merancang serta menerajui sesi penglibatan bulanan bersama organisasi serta inisiatif akar umbi bagi mendalami selok-belok dasar dan isu sosial.
Sejak diperkenalkan pada 2022, program ini telah menarik seramai 142 peserta dari lima negara.
Sidang Kemuncak The Accelerator itu dihadiri oleh 185 hadirin, termasuk tetamu daripada kumpulan rakan kongsi, penyumbang dana dan pihak berkepentingan masyarakat.
