Topik diikuti
Pergi ke BHkuRangkaian baru bantu golongan cilik, belia salur bakti kepada masyarakat dilancar
Rangkaian baru bantu golongan cilik, belia salur bakti kepada masyarakat dilancar
‘Network of Deeds by Kids’ buka ruang generasi muda kongsi idea bantu golongan memerlukan
Rangkaian baru bantu golongan cilik, belia salur bakti kepada masyarakat dilancar
Kanak-kanak dan belia yang menerajui inisiatif masyarakat akan menerima sokongan lebih kukuh untuk mengekalkan dan mengembangkan usaha mereka menerusi rangkaian baharu yang menghubungkan pencetus perubahan golongan muda, agensi perkhidmatan sosial (SSA) dan rakan masyarakat.
Dinamakan, Network of Deeds by Kids (Rangkaian Menyalur Budi oleh Kanak-Kanak), daya usaha tersebut bertujuan menyediakan kumpulan yang diterajui kanak-kanak dan belia dengan peluang bimbingan, kerjasama, serta pembangunan keupayaan.
Ia di samping mewujudkan wadah bagi anggotanya berhubung, bekerjasama dan memacu perubahan sosial secara bersama.
Rangkaian tersebut dilancarkan mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, semasa Festival of Deeds by Kids (Festival Menyalur Budi oleh Kanak-Kanak), yang diadakan buat julung-julung kalinya di Temasek Shophouse yang terletak di sekitar Orchard Road, pada 5 Jun.
Dianjurkan oleh inisiatif akar umbi, Little But Loud (LBL), festival tersebut diperkasa Dana Oscar daripada Yayasan Temasek, dan disokong Dana Kerjasama SG (SGPF), Pusat Sukarelawan dan Kedermawanan Nasional (NVPC) dan Gerakan Wira Senyap Singapura (SSH).
Semasa sesi temu bual bersama media di festival tersebut, Puan Halimah berkata kanak-kanak dan belia tidak seharusnya dipandang rendah dari segi keupayaan mereka menyumbang kepada masyarakat.
Menyifatkan festival tersebut sebagai “satu inisiatif yang amat baik”, beliau berkata: “Kita lihat penonjolan anak-anak muda dan ramai juga kanak-kanak yang terlibat.
“Ini menunjukkan usia tidak menjadi satu hambatan bagi seseorang untuk menyumbang kepada masyarakat.
“Saya rasa golongan muda mempunyai banyak idea yang perlu kita dengar… Mereka mempunyai banyak inisiatif, banyak idea, dan inovasi.
“Kita harus menyokong, memberi mereka peluang menonjolkan idea-idea tersebut.”
Festival tersebut menghimpunkan sekitar 200 peserta, termasuk kanak-kanak dan belia yang menerajui pelbagai inisiatif masyarakat, sukarelawan daripada LBL, serta wakil SSA dan pertubuhan masyarakat.
Sebelum pelancaran rangkaian tersebut, Puan Halimah turut mengunjungi reruai yang dikendalikan 11 kumpulan belia dan kanak-kanak yang mempamerkan pelbagai projek kemasyarakatan.
Ia merangkumi pelbagai inisiatif, termasuk usaha menyokong pekerja migran, individu kurang upaya, dan golongan lanjut usia.
Menyentuh tentang rangkaian berkenaan, Puan Halimah menyifatkannya sebagai wadah penting bagi golongan belia dan kanak-kanak berkongsi pengetahuan, belajar daripada kumpulan lain serta menimba pengalaman yang boleh digunakan untuk memperkukuh kegiatan mereka sendiri.
“Kita lihat banyak kumpulan belia yang menjalankan usaha masing-masing, namun kadangkala ia dilakukan secara terpencil dan bersendirian.
“Jadi, kalau mereka ada satu platform seperti ini, mereka tahu bahawa mereka boleh menggembleng tenaga untuk mendapatkan matlamat yang lebih berkesan,” ujar beliau, yang juga Canselor Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
Rangkaian tersebut dicetuskan oleh LBL, sebuah inisiatif akar umbi yang diasaskan pada 2021 oleh tiga beradik iaitu Lee Jun Kai, 13 tahun; Lee Jia Ying, 11 tahun; dan Lee Jun Yi, sembilan tahun.
Menurut pengasas bersama LBL, Lee Jia Ying, rangkaian tersebut bertujuan melangkaui peluang kesukarelawanan jangka pendek dengan membantu golongan muda menterjemahkan idea mereka bagi memberi kesan mampan.
“Misalnya, kami telah merancang untuk mengadakan sesi perkongsian mengenai peralihan kepimpinan sebagai tema utama dalam sesi perkongsian rakan sebaya yang akan datang,” jelas murid Darjah 6 itu.
Antara projek yang ditonjolkan semasa festival tersebut ialah Project PlayForward, hasil usaha pelajar Sekolah Menengah Bowen, iaitu satu inisiatif yang menggunakan sukan terangkum sebagai wadah untuk memupuk empati dan menggalakkan interaksi antara pelajar dengan individu kurang upaya.
Salah seorang pelajar sekolah tersebut yang terlibat, Shakir Sidiq, 15 tahun, berkongsi bahawa festival tersebut memberinya peluang bertemu dengan golongan muda lain yang berkongsi matlamat yang sama.
“Kreativiti, dedikasi dan semangat mereka untuk berkhidmat telah memberi inspirasi kepada saya dan menunjukkan betapa besarnya potensi inisiatif yang diterajui golongan belia,” katanya.
Dalam pada itu, Puan Halimah berkata rangkaian tersebut boleh memberi inspirasi kepada masyarakat Melayu/Islam dalam membina rangkaian seperti Network of Deeds by Kids ini.
“Dalam masyarakat kita, kita mempunyai cabaran tertentu.
“Dengan menggembleng tenaga belia dan anak-anak muda kita, kita dapat memberikan khidmat kepada masyarakat dengan lebih berkesan,” ujarnya.
Seiring dengan pelancaran rangkaian tersebut, sebuah laman web mikro turut dilancarkan.
Individu dan pihak yang berminat menyertai atau mengetahui lebih lanjut mengenai inisiatif tersebut boleh melayari pautan, https://tinyurl.com/NetworkDBK-26.
