Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Badan antara agama, India/Islam sambut baik pelantikan Faishal

Tamil Muslim Jama’at, Persekutuan India Muslim, Liga Muslim Kadayanallur Singapura sokong pengumuman PM Wong
May 22, 2025 | 5:59 PM
tamil muslim, Liga Muslim Kadayanallur Singapura, faishal ibrahim
Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tiga dari kiri) menghadiri acara Hari Keluarga Liga Muslim Kadayanallur Singapura pada 17 Disember 2022. - Foto fail

Kenyataan sokongan daripada pelbagai badan masyarakat, termasuk badan-badan India/Islam, terus mencurah berikutan pengumuman Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim akan dilantik Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, menggantikan Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Badan-badan seperti Tamil Muslim Jama’at, Persekutuan India Muslim (FIM) dan Liga Muslim Kadayanallur Singapura (SKML) berkata Dr Faishal sentiasa menunjukkan sokongan padu dalam mendekati masyarakat India/Islam, menyokong program mereka, dan prihatin dengan kebimbangan yang diutarakan oleh masyarakat Islam Singapura.

Tamil Muslim Jama’at, menerusi hantaran Facebook pada 21 Mei, berkata badan tersebut menantikan visi dan komitmen Dr Faishal dalam memperkasa dan memartabatkan lagi masyarakat Islam Singapura.

“Dr Faishal adalah wajah yang dikenali dalam masyarakat kerana penglibatan aktifnya dalam kempen antidadah, ‘Dadah Itu Haram’, dan penglibatan berterusannya dengan masyarakat India/Islam dan masyarakat Islam secara keseluruhannya.

“Kami teruja dan berharap dapat bekerjasama untuk terus membina masyarakat yang lebih inklusif dan saksama yang boleh menyumbang secara berkesan untuk memajukan lagi negara kita,” katanya.

Badan tersebut turut merakamkan penghargaan kepada Encik Masagos atas sokongan dan dedikasinya “yang tidak jemu untuk memartabatkan masyarakat Islam”.

Ia menarik perhatian kepada kepimpinan Encik Masagos yang telah memberi impak mendalam, dan khidmatnya kepada masyarakat Islam yang tidak terhingga.

Persekutuan India Muslim (FIM) turut memberikan penghargaan tinggi kepada jasa dan sumbangan Encik Masagos atas dedikasinya yang tidak jemu dalam memartabatkan masyarakat Islam.

Ia turut mengucapkan terima kasih kepada Encik Masagos yang telah menyediakan asas kukuh dan menantikan kerjasama lebih rapat dengan Dr Faishal.

“Usaha Dr Faishal yang tidak terhingga dalam penglibatan dalam peringkat akar umbi selama bertahun-tahun dengan masyarakat Islam nampaknya telah mendapat ganjaran dengan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengiktiraf usaha beliau dan melantik beliau untuk mengemudi masyarakat Islam ke tahap yang lebih tinggi.

“Dengan penglibatan beliau yang terkenal dalam acara yang dianjurkan oleh masyarakat India/Islam, kami teruja untuk bekerjasama dengan beliau untuk membina masyarakat yang lebih berjaya dan berkesan serta menyumbang kepada masyarakat Islam yang lebih besar,” kata badan tersebut.

Ia turut merakamkan penghargaan kepada PM Wong atas komitmennya untuk meletakkan ehwal masyarakat Islam sebagai antara keutamaannya dalam penggal baru ini.

Pada 21 Mei, semasa pengumuman Kabinetnya, PM Wong berkata beliau akan bekerjasama rapat dengan Dr Faishal dan penjawat politik Islam untuk mendekati masyarakat Melayu/Islam.

Beliau berkata mendekati masyarakat Melayu/Islam adalah “keutamaan baginya pada penggal baru ini”, sama seperti komitmennya pada penggal lalu.

Liga Muslim Kadayanallur Singapura (SKML), dalam hantaran Facebooknya pada 21 Mei, pula berkata peralihan kepimpinan itu menunjukkan bukti bahawa PM Wong prihatin terhadap keperluan masyarakat Islam yang semakin berkembang, dan komitmen beliau untuk memastikan peranan tersebut kekal relevan dan berkesan.

Dengan Dr Faishal dilantik sebagai Pemangku Menteri, badan tersebut berkata PM Wong telah menunjukkan bahawa beliau menghargai maklum balas dan kebimbangan masyarakat Islam, dan proaktif dalam membuat perubahan kepimpinan yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan dan pembangunan masyarakat Islam.

“SKML berbesar hati dapat bekerjasama rapat dengan Dr Faishal pada banyak kesempatan.

“Sebagai seorang yang sangat komited kepada masyarakat Islam, kami yakin beliau akan meneruskan usaha baik Encik Masagos dan pendahulunya.

“SKML telah mendapat penghormatan untuk menjadi tuan rumah bagi Dr Faishal sebagai tetamu kehormat di pelbagai acara dan terlibat dengan beliau dalam sesi dialog tertutup dan perbincangan mengenai perkara-perkara penting berkaitan masyarakat Islam.

“Kami tidak sabar untuk melihat beliau meneruskan pendekatannya yang adil dan pragmatik dalam menangani kebimbangan utama masyarakat,” katanya.

Pengasas pertubuhan antara agama hash.peace, Cik Nazhath Faheema, berkata Dr Faishal adalah seorang pemimpin yang amat dihormati, di kalangan orang ramai dan juga di kalangan masyarakat Melayu/Islam.

Beliau menambah, peranan Dr Faishal, yang bakal dinaikkan pangkat sebagai Menteri Negara Kanan di Kementerian Ehwal Dalam Negeri, “menyerlahkan kekuatannya” dan akan melengkapkan tanggungjawab barunya sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Dalam pada itu, beliau berharap Dr Faishal akan terus membina inisiatif utama yang diperkenalkan semasa perkhidmatan Encik Masagos, seperti M Kuasa Tiga (M³), Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS), dan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).

Ini, katanya, adalah “penting untuk pembangunan jangka panjang masyarakat dan tidak seharusnya kehilangan momentum”.

“Satu bidang yang saya percaya Dr Faishal boleh mengukuhkan lagi impaknya adalah dalam memupuk dialog masyarakat dan mencipta penyelesaian bersama dengan anggota masyarakat Melayu/Islam.

“Semakin jelas bahawa kita memerlukan perbincangan yang lebih jujur, inklusif dan berterusan merentas segmen dan generasi berbeza dalam masyarakat kita.

“Ini termasuk meneroka cara untuk lebih memahami pelbagai pengalaman hidup dan kebimbangan,” katanya.

Dr Faishal adalah wajah yang dikenali dalam masyarakat kerana penglibatan aktifnya dalam kempen antidadah, ‘Dadah Itu Haram’ dan penglibatan berterusannya dengan masyarakat India/Islam dan masyarakat Islam secara keseluruhannya. Kami teruja dan berharap untuk bekerjasama untuk terus membina masyarakat yang lebih inklusif dan saksama yang boleh menyumbang secara berkesan untuk memajukan lagi negara kita.
Tamil Muslim Jama’at.

Usaha Dr Faishal yang tidak terhingga dalam penglibatan dalam peringkat akar umbi selama bertahun-tahun dengan masyarakat Islam nampaknya telah mendapat ganjaran dengan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong mengiktiraf usaha beliau dan melantik beliau untuk mengemudi masyarakat Islam ke tahap yang lebih tinggi... Kami teruja untuk bekerjasama dengan beliau untuk membina masyarakat yang lebih berjaya dan berkesan serta menyumbang kepada masyarakat Islam yang lebih besar.
Persekutuan India Muslim.

Satu bidang yang saya percaya Dr Faishal boleh mengukuhkan lagi impaknya adalah dalam memupuk dialog masyarakat dan mencipta penyelesaian bersama dengan ahli masyarakat Melayu/Islam. Semakin jelas bahawa kita memerlukan perbincangan yang lebih jujur, inklusif dan berterusan merentas segmen dan generasi yang berbeza dalam masyarakat kita. Ini termasuk meneroka cara untuk lebih memahami pelbagai pengalaman hidup dan kebimbangan.
Cik Nazhath Faheema, pengasas pertubuhan antara agama hash.peace.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg