Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masagos ingin beri ruang Faishal terajui amanah dengan yakin, tanpa kekangan

 
May 21, 2025 | 8:28 PM
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, memohon agar masyarakat akan memberikan sokongan padu kepada Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim sepertimana yang telah diberikan mereka kepadanya pada masa lalu.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, memohon agar masyarakat akan memberikan sokongan padu kepada Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim sepertimana yang telah diberikan mereka kepadanya pada masa lalu. - Foto BH oleh KHALID BABA

Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad tidak akan melibatkan diri dalam ehwal masyarakat Melayu/Islam di peringkat nasional supaya dapat memberi ruang sepenuhnya kepada Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim untuk menerajui amanah barunya “dengan keyakinan dan tanpa sebarang kekangan”.

Memberi respons kepada Berita Harian (BH) susulan pengumuman bahawa Dr Faishal akan menggantikannya sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos memohon agar masyarakat memberi sokongan padu kepada Dr Faishal sepertimana yang telah diberi oleh masyarakat kepadanya.

“Saya berasa amat bersyukur kerana diberi kesempatan untuk berkhidmat kepada masyarakat Melayu/Islam sepanjang tujuh tahun yang lalu. Ia penghormatan besar dan satu perjalanan yang penuh makna.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah bersama-sama membina visi Masyarakat Gemilang – satu visi yang kita jayakan dengan iltizam dan kasih sayang terhadap masyarakat kita,” jelas Encik Masagos lagi.

Pada 21 Mei, semasa sidang media bagi mengumumkan Kabinet barunya, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata Dr Faishal akan dilantik selaku Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Dr Faishal juga akan dinaikkan pangkat sebagai Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri) dan melepaskan jawatannya di Kementerian Pembangunan Negara.

Encik Masagos juga akan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kedua (Kesihatan) dan Pengerusi Mendaki, namun akan tetap meneruskan peranan beliau sebagai Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.

Menteri Negara Kanan, Encik Zaqy Mohamad, yang kini merupakan Timbalan Pengerusi Mendaki, akan mengambil alih amanah sebagai Pengerusi Mendaki daripada Encik Masagos.

Sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos berkata Dr Faishal akan memimpin institusi utama masyarakat Melayu/Islam, iaitu Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra).

Dalam jawapannya kepada pertanyaan BH, Encik Masagos turut mendoakan agar segala urusan Dr Faishal dipermudahkan dan beliau memohon maaf atas sebarang kelemahannya sepanjang menjalankan tugas.

“Jika ada kekurangan atau kelemahan sepanjang tempoh perkhidmatan saya, saya memohon maaf dengan setulus hati. 

“Saya mendoakan agar segala urusan Dr Faishal dipermudahkan dan beliau terus berjaya memacu masyarakat kita ke tahap yang lebih cemerlang. Teruslah berdoa agar masyarakat kita terus melakar kegemilangan,” kata Encik Masagos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg