Topik diikuti
Pergi ke BHkuBadan hakim, persatuan guaman bentuk jawatankuasa tangani isu peguam tinggal kerjaya
Badan hakim, persatuan guaman bentuk jawatankuasa tangani isu peguam tinggal kerjaya
Tekanan garis masa, sikap hakim punca peguam berhenti
Badan hakim, persatuan guaman bentuk jawatankuasa tangani isu peguam tinggal kerjaya
Badan kehakiman dan Persatuan Guaman Singapura akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama bagi menangani beberapa isu yang dibangkitkan dalam satu kajian, yang mendedahkan sebab peguam meninggalkan kerjaya mereka.
Seorang jurucakap Mahkamah Singapura (SG Courts) berkata beberapa kebimbangan dibangkitkan menerusi sesi dialog yang diadakan secara kerap antara Persatuan Guaman dengan kepimpinan mahkamah.
Para peguam menyatakan tarikh akhir mahkamah serta interaksi bersama para hakim sebagai punca utama tekanan yang mendorong mereka meninggalkan kerjaya tersebut.
Demikian merupakan antara dapatan kajian yang dijalankan atas arahan Persatuan Guaman dan telah diterbitkan pada 23 Jun.
Menurut jurucakap Mahkamah Singapura, dalam tempoh tiga tahun lalu (sejak 2023), sebanyak dua aduan rasmi mengenai tatalaku diterima, dan kedua-duanya disiasat secara menyeluruh.
“Proses aduan kehakiman kami yang rasmi dan bebas kekal aktif serta boleh diakses bagi aduan berkaitan tatalaku,” kata jurucakap itu.
Beliau menambah, jawatankuasa bersama tersebut akan meneliti sama ada mekanisme dialog dan saluran maklum balas sedia ada berfungsi dengan baik, serta sama ada kewujudan saluran tersebut diketahui ramai.
Jawatankuasa itu juga akan mengkaji sama ada amalan pengurusan kes dan jangkaan garis masa telah diselaraskan dengan sewajarnya mengikut realiti semasa amalan guaman.
“Kami sentiasa mengiktiraf keadilan yang tepat pada masanya, bukanlah sasaran birokrasi semata-mata,” kata jurucakap itu, sambil menambah ia merupakan isu asas dalam akses kepada keadilan yang memberi manfaat kepada pihak yang terlibat dalam prosiding mahkamah.
“Pada masa sama, kami komited memastikan usaha mengejar ketepatan masa ini tidak membebankan pengamal undang-undang secara tidak munasabah, memandangkan mereka adalah rakan kongsi penting dalam menegakkan keadilan,” ujar jurucakap berkenaan lagi.
Kajian yang dijalankan selama empat tahun itu merangkumi 31 temu bual mendalam bersama bekas hakim, ahli akademik undang-undang dan peguam daripada pelbagai jenis firma, di samping tinjauan yang melibatkan 855 peguam yang sedang berkhidmat dan mantan peguam.
Syarikat analisis, Anthro, yang mengendalikan kajian itu berkata keputusan tinjauan dan temu bual tersebut secara konsisten menunjukkan isu pengurangan peguam – yang sudah berlarutan selama beberapa dekad dalam sektor perundangan Singapura – sebenarnya berpunca daripada pelbagai faktor.
“Tekanan ini saling berkaitan – garis masa mahkamah menetapkan tarikh akhir, jangkaan anak guam menentukan tahap keamatan kerja, model bil bayaran membentuk sempadan tugas, peguam kanan menetapkan norma, manakala sekolah undang-undang membentuk jangkaan peguam baru,” ujarnya.
Menurut laporan itu, tarikh akhir mahkamah dan interaksi bersama para hakim merupakan faktor luaran, yang tidak dapat ditangani firma guaman menerusi perubahan dasar dalaman mereka.
Beberapa peguam dalam kajian tersebut berpandangan penetapan garis masa mahkamah dilihat lebih dipengaruhi oleh sasaran kadar penyelesaian kes atau matlamat berpandukan masa, berbanding keadaan kes masing-masing.
Para peguam turut mendedahkan pengalaman mereka dimarahi, diperlekehkan atau dipersalahkan secara peribadi oleh pegawai kehakiman, menurut laporan tersebut lagi.
Sebilangan peguam muda pula berkata mereka secara terang-terangan dinasihati agar tidak menceburi kerjaya dalam bidang tindakan undang-undang kerana interaksi bersama hakim boleh menyebabkan tekanan dan melemahkan semangat.
Laporan itu menyarankan penubuhan saluran rasmi bagi membolehkan peguam memberi maklum balas mengenai amalan garis masa dan tatalaku badan kehakiman.
Jurucakap Mahkamah Singapura berkata badan kehakiman akan bekerjasama dengan Persatuan Guaman bagi menangani maklum balas tersebut dalam skop bidang kuasa mahkamah.
Wakil badan kehakiman dalam jawatankuasa bersama itu termasuk Ketua Eksekutif di Pejabat Ketua Hakim Negara, Cik Juthika Ramanathan; dan Pendaftar Mahkamah Agung, Cik Jill Tan.
Wakil Persatuan Guaman pula termasuk Peguam Kanan, Encik Lok Vi Ming; serta pengerusi bersama jawatankuasa peguam muda persatuan tersebut, Encik Darryl Chew dan Cik Charmaine Yap.
Kementerian Undang-Undang (MinLaw) berkata dapatan kajian tersebut perlu diambil serius dan dipertimbangkan dengan teliti.
Ia turut menyambut baik langkah segera yang diambil Persatuan Guaman serta penubuhan jawatankuasa kerja bersama itu.
“Bakat perundangan kita di Singapura merupakan aset yang sangat berharga.
“Oleh itu, adalah penting untuk kita mengadakan perbincangan terbuka dan telus tentang bagaimana kita boleh mengekalkan keseimbangan antara pertumbuhan industri dengan perkembangan profesional individu, di samping memastikan kesejahteraan serta kemampanan jangka panjang dalam amalan guaman,” kata seorang jurucakap MinLaw.
