Pelantikan Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam mencerminkan usaha berterusan pemerintah untuk kekal relevan dan berhubung dengan masyarakat.
Setiap pelantikan kepimpinan membawa bersama tanggungjawab berdasarkan pengalaman dan kepercayaan masyarakat, dan perubahan ini menunjukkan adanya niat yang jelas untuk terus prihatin terhadap maklum balas, aspirasi serta cabaran di peringkat akar umbi, kata pemimpin masyarakat Melayu/Islam yang dihubungi oleh Berita Harian (BH) pada 21 Mei.
“Perubahan merupakan sebahagian proses pembaharuan kepimpinan.
“Walaupun ia mungkin mengejutkan bagi segelintir pihak, langkah ini sejajar dengan pendekatan jangka panjang pemerintah dalam mempersiapkan barisan pemimpin generasi akan datang.
“Pelantikan Dr Faishal mencerminkan kesinambungan ini, sambil membawa perspektif dan semangat baru kepada peranan tersebut,” kongsi Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid.
Berkongsi sentimen yang sama, Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Profesor Madya Razwana Begum berkata perubahan dalam kabinet juga sejajar dengan etos kepimpinan generasi keempat (4G) — yang menghargai kepelbagaian pandangan, keupayaan mendengar secara aktif, serta kerjasama dengan masyarakat dalam mencari penyelesaian bersama.
“Dengan membawa perspektif baru, ia membantu mengekalkan momentum sambil membuka ruang kepada idea dan tenaga yang segar.
“Ini juga memberi pengiktirafan bahawa aspirasi dan cabaran yang dihadapi masyarakat Melayu/Islam sentiasa berubah, dan kepimpinan perlu berkembang seiring dengan realiti tersebut,” kata Dr Razwana.
Dalam menentukan pelantikan Dr Faishal, Zamil Kanan dan Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berpendapat bahawa rakyat tidak boleh mengandalkan pertimbangan Perdana Menteri.
Namun, beliau berkata pemerintah tentu telah mendengar maklum balas masyarakat menerusi pertemuan di peringkat akar umbi, pilihan raya, media sosial, dan perbincangan dengan pemimpin dalam masyarakat.
“Mungkin berdasarkan maklum balas yang diberikan, pemerintah merasakan bahawa perlu ada perubahan.
“Tentu sekali, mereka mengambil kira apakah peranan Dr Faishal selama ini, tugas yang telah beliau jalankan, serta apakah sumbangannya,” kata Dr Norshahril.
Sementara itu, pemerhati politik juga berkongsi dengan BH bahawa selaku Pemangku Menteri, Dr Faishal, bakal berhadapan dengan pelbagai cabaran.
Antaranya termasuk menjelaskan nuansa dan kerumitan dalam mencampur aduk agama dengan politik.
“Dari satu sudut, rakyat bersetuju dengan prinsip tidak mencampur aduk agama dengan politik.
“Akan tetapi kita mempunyai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC).
“Oleh itu dengan menjelaskan nuansa ini, saya fikir, ia akan sangat membantu kita dalam mengetahui di mana garisannya, apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan mencampur aduk agama atau kaum dengan politik,” kata Penolong Profesor di Sekolah Sains Kemasyarakatan, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Walid Jumblatt Abdullah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg