Badan-badan pelbagai agama dan masyarakat di Singapura mengecam kejadian tikaman seorang paderi di Gereja St Joseph’s di Bukit Timah pada 9 November, sambil menekankan bahawa tiada tempat bagi sebarang bentuk keganasan, terutama atas nama agama dan di rumah ibadat.
Pada 9 November, negara ini dikejutkan dengan berita tentang seorang warga Singapura, Basnayake Keith Spencer, 37 tahun, yang menikam Paderi Christopher Lee di gereja tersebut.
Polis, dalam kenyataannya, berkata lelaki itu dipercayai telah bertindak secara sendirian berdasarkan siasatan awal dan mereka tidak mengesyaki serangan itu adalah perbuatan pengganasan buat masa ini.
Lelaki tersebut mempunyai kesalahan masa lalu yang melibatkan kecederaan serius dan penyalahgunaan dadah, tambah polis.
Paderi Lee dikejarkan ke Hospital Universiti Nasional (NUH) dalam keadaan sedar, dan berada dalam keadaan stabil.
Pengerusi bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Mohamad Hasbi Hassan dan Ustaz Dr Mohamed Ali, dalam sepucuk surat kepada Paderi Lee pada 10 November berkata mereka amat terkejut dengan kejadian yang berlaku, sambil menambah bahawa adalah “amat dikesali tindakan tidak berperikemanusiaan itu berlaku terutama semasa sesi di tempat ibadat”.
“Sebagai rakan sesama manusia dan penyokong keamanan antara agama, RRG mengutuk sebarang bentuk keganasan dan serangan di negara ini dan dalam mana-mana agama. Semua tempat ibadat adalah tempat perlindungan yang mesti sentiasa dilindungi,” kata mereka.
Pertubuhan Antara Agama (IRO) pula berkata perbuatan keganasan di rumah ibadat tidak boleh dibiarkan.
IRO mewakili 10 agama - Baha’i faith, Buddha, Kristian, Hindu, Islam, Jain, Yahudi, Sikh, Tao dan Zoroastrian.
“Kami mengutuk tindakan ganas individu ini dalam ruang suci di mana individu sedang berkumpul dalam sesi agama,” kata IRO dalam satu kenyataan.
“Inilah masanya untuk menunjukkan belas kasihan antara agama dan perpaduan sosial, seperti yang kita selalu lakukan di Singapura.
“Marilah kita kekal tenang dan bersatu dalam kasih sayang dan perpaduan,” tambah mereka.
Lembaga Penasihat Sikh pula berkata ia “sedih dan terkejut” mendengar berita serangan itu.
“Kami berdiri bersama saudara-saudari Katolik kami semasa waktu sukar ini.
“Doa kami ditujukan kepada Paderi Lee, keluarganya dan orang tersayang, serta pengunjung Gereja St Joseph’s bagi kesejahteraannya dan untuk memberi semua orang kekuatan untuk menangani kejadian menyakitkan dan malang ini,” kata mereka.
Lembaga Endowmen Hindu dan Lembaga Penasihat Hindu turut melahirkan rasa sedih mereka dalam satu kenyataan bersama pada 10 November.
“Tindakan keganasan tiada tempat dalam masyarakat kita, terutama di ruang suci yang bertujuan bagi keamanan dan renungan,” kata mereka.
Perdaus pula berkata mereka dengan tegas mengecam semua tindakan keganasan, terutama di tempat ibadah, sambil menambah ruang sedemikian adalah tempat perlindungan yang suci dan selamat bagi individu mencari ketenangan, bimbingan dan hubungan dengan iman mereka.
“Perdaus menjunjung nilai-nilai keharmonian dan saling menghormati dalam masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama. Kami menggesa semua orang untuk mengukuhkan ikatan belas kasihan, persefahaman, dan toleransi yang menyatukan kita sebagai sebuah negara,” kata badan itu.
Presiden Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura, Encik Abdul Halim Kader, pula berkata tindakan keganasan tidak masuk akal yang berlaku itu tiada tempat dalam masyarakat Singapura yang dibina atas dasar sikap saling menghormati dan hidup bersama secara aman.
“Pemimpin agama dan tempat ibadah bukan sahaja tempat perlindungan iman tetapi juga tonggak masyarakat kita, yang patut diberi penghormatan, perlindungan, dan keselamatan,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg