Sebuah badan sukarelawan karyawan peguam baru bagi membantu masyarakat Melayu/Islam dalam isu undang-undang dan memberi nasihat guaman telah dilancar pada 31 Julai.
Dinamakan PEGUAM, badan berdaftar tersebut juga menyasar memberi bimbingan pementoran kepada peguam-peguam baru dan pelajar dari institut pengajian tinggi (IHL) yang ingin meneroka kerjaya dalam industri undang-undang.
Berucap semasa majlis pelancaran badan tersebut di Red Velvet Ballroom, Village Hotel Bugis, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad berkata beliau gembira melihat lebih ramai anak muda yang telah berkecimpung dalam bidang guaman dan turut tampil untuk menabur bakti.
“Inisiatif PEGUAM ini sebenarnya adalah suatu usaha untuk merasmikan usaha peguam-peguam Melayu/Islam kita, yang telah lama turun padang untuk membantu masyarakat.
“Saya gembira melihat ramai karyawan seperti para peguam, yang telah berjaya dalam kerjaya mereka, dan tetap tampil untuk menyumbang kepakaran untuk meningkatkan kehidupan masyarakat kita,” kata Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.
PEGUAM, sebuah badan yang telah berdaftar di bawah Pejabat Pendaftar Persatuan (ROS), dipimpin oleh peguam dan rakan kongsi di Eldan Law LLP, Encik Imran Rahim, yang menggalas peranan sebagai pengerusi.
Ia merangkumi 14 anggota jawatankuasa eksekutif yang terdiri daripada peguam, peguam dalaman, paralegal, setiausaha undang-undang dan pelajar lulusan undang-undang, dan mempunyai lebih 50 relawan yang terlibat dalam program mereka.
Ia juga telah melantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SingPost bagi urus niaga Singapura, Encik Shahrin Abdol Salam, Pengarah Urusan Abdul Rahman Law Corporation, Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah dan Pengerusi Casa Raudha, Cik Shahrany Hassan sebagai anggota lembaga penasihat PEGUAM.
Dalam ucapannya, Encik Imran berkata meskipun PEGUAM baru sahaja dilancar, usaha anggota-anggota mereka telah bermula sejak 2018 di bawah rangkaian M3 di mana mereka membantu keluarga susah untuk membuat surat kuasa berkekalan (LPA).
Mereka juga telah menganjurkan beberapa bengkel dan seminar tentang topik yang berkaitan dengan undang-undang untuk meningkatkan kesedaran buat masyarakat Melayu/Islam dan memberi nasihat guaman secara percuma.
Encik Imran berkata peranan PEGUAM agak berbeza dengan badan-badan guaman profesional seperti Persatuan Peguam Islam (AML) dan Jawatankuasa Pengamal Undang-Undang Islam (MLPC) yang melihat kepada keperluan profesional peguam.
AML dipimpin oleh Encik Noor Marican dari Marican and Associates, dan dianggotai para peguam Islam yang bertujuan menyumbang khidmat dan kepakaran mengenai isu-isu berkaitan undang-undang Syariah, selain tingkatkan kebajikan para anggotanya.
MLPC pula adalah sekumpulan peguam Islam di bawah Persatuan Undang-undang, yang kini dipimpin oleh Encik Abdul Rahman. Ia ditubuhkan untuk beri bimbingan dan maklum balas mengenai undang-undang Syariah.
“Kami mahu menubuhkan sebuah kumpulan yang akan menumpukan usaha dalam aspek sosial, yang akan memberi tumpuan kepada pementoran dan memberi peluang kepada peguam baru.
“Kami juga mahukan sebuah kumpulan yang merangkumi lebih ramai orang selain peguam, termasuk peguam dalaman, penjawat awam, paralegal, setiausaha undang-undang dan pelajar undang-undang dalam industri undang-undang,” kata Encik Imran.
Encik Imran berkata PEGUAM juga akan bekerjasama dengan Pro Bono SG untuk melengkapkan anggota mereka dengan kemahiran dan keupayaan dalam mengendalikan kes-kes berkaitan Syariah.
Ia juga akan bekerjasama dengan AMP dan Kelab Mendaki untuk membimbing pelajar yang berminat untuk meneroka kerjaya dalam industri undang-undang, khususnya pelajar dari madrasah dan pelajar perempuan, yang kurang diwakili dalam sektor undang-undang.
Untuk meningkat akses masyarakat Melayu/Islam yang memerlukan khidmat guaman pro bono, Encik Imran berkata PEGUAM akan bekerjasama dengan beberapa badan seperti Pro Bono SG, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Mendaki dan Persatuan Rakyat (PA)
Ini termasuk membantu mereka yang memerlukan bantuan membuat LPA dan perancangan warisan seperti wasiat.
“Kami akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi seperti PA dan Pro Bono SG untuk memastikan mereka yang memerlukan bantuan, mendapat bantuan yang diperlukan.
“Kami juga akan bekerjasama dengan Muis dan Kumpulan Kerja Perancangan Warisan Islam untuk memastikan lebih ramai orang dapat menyediakan wasiat mereka dan membuat perancangan tentang harta mereka,” kata Encik Imran.
Beliau menambah PEGUAM juga sedang bekerjasama dengan Muis untuk melihat bagaimana bayaran guaman bagi perancangan warisan seperti wasiat dapat dikurangkan.
Encik Masagos berkata PEGUAM akan memainkan peranan penting apabila Bulan Wakaf bakal dilancar buat julung-julung kalinya pada 3 Ogos kelak.
“Sebagai peguam, mereka boleh menasihat masyarakat kita tentang peri pentingnya perancangan warisan seperti membuat wasiat agar kemaslahatan keluarga terjaga apabila mereka tiada lagi.
“Mereka juga boleh menasihatkan bagaimana wasiat dapat dibuat dengan cara yang lebih murah untuk menggalak masyarakat kita untuk membuat wasiat.
“Pada masa yang sama, kami harap peguam-peguam kita juga akan menasihatkan mereka dalam memikirkan untuk meninggalkan sebahagian harta mereka bagi wakaf masyarakat juga,” kata Encik Masagos.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg