Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

CCS ambil tindakan terhadap COURTS, Prism+ kerana amalan jualan mengelirukan

Dec 8, 2025 | 7:54 PM
courts, prism +
COURTS didapati menambah barangan ke dalam troli beli-belah pengguna secara automatik tanpa pengetahuan atau niat mereka, manakala PRISM+ pula menggunakan pemasa hitung undur palsu bagi menekan pengguna supaya membuat pembelian. - Foto MARK CHEONG, PRISM+/FACEBOOK

Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCS) telah mengambil tindakan terhadap dua peruncit elektronik dan perkakas rumah, COURTS dan Prism+, kerana menggunakan ciri laman web mengelirukan yang boleh menjejas pengguna. 

Dalam kenyataannya pada 8 Disember, CCS menjelaskan COURTS, tanpa diminta, menambah barangan dalam troli beli-belah dalam talian pelanggan secara automatik tanpa pengetahuan atau kebenaran pengguna semasa tempoh promosi tertentu, sekali gus menyebabkan pengguna berisiko membayar barangan yang tidak mereka inginkan.

Prism+ pula menggunakan pemasa hitung undur atau countdown timer palsu dan penunjuk stok yang mengelirukan sehingga memberi tekanan kepada pengguna supaya membeli.

Siasatan tentang kes itu dimulakan selepas aduan seorang pengguna, yang mendapati alat vakum Acer dimasukkan ke dalam trolinya sebaik sahaja beliau membeli iPad Apple.

CCS berkata COURTS menerima beberapa aduan mengenai isu tersebut sejak 2024 namun hanya menghentikan amalan sebegitu selepas suruhanjaya tersebut campur tangan pada Jun 2025. 

COURTS, yang berjanji menghentikan amalan itu serta-merta, mengubah laman webnya dan memulangkan bayaran kepada pelanggan terjejas.

CCS berkata penggunaan pemasa hitung undur palsu di laman web Prism+ pula mendesak pengguna membuat pembelian tergesa-gesa.

Antara pesanan yang dipaparkan ialah: “Barangan popular sedang laris! Beli dalam (mengikut angka pemasa) minit berikut untuk memastikan stok anda terjamin dan anda tidak ketinggalan memilikinya.”

Namun, CCS mendapati pemasa hitung undur itu tidak mempunyai fungsi teknikal dan tidak dihubungkan kepada sistem inventori Prism+, malah akan ditetapkan semula selepas mencapai angka sifar tanpa menjejas proses pembayaran. 

Bagi sesetengah produk, penunjuk “stok rendah” dipaparkan meskipun jumlah jualan hanya sekitar tujuh peratus daripada stok keseluruhan.

Menyusuli kes itu, kedua-dua COURTS dan Prism+ telah memberi kerjasama dan komited untuk menghentikan amalan mengelirukan dan memastikan pematuhan kepada garis panduan perlindungan pengguna.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg