Mulai 1 Julai, Suruhanjaya Persaingan dan Pelanggan Singapura CCCS akan mengambil alih fungsi pengawalseliaan bagi keselamatan produk pengguna serta pematuhan ukuran dan timbangan yang sebelum ini dikendalikan Enterprise Singapore (EnterpriseSG).
Ini bermakna pengguna dan perniagaan boleh mengemukakan sebarang isu berkaitan amalan perdagangan yang adil, keperluan keselamatan produk pengguna, serta pematuhan terhadap ukuran dan timbangan kepada CCCS.
Pemindahan fungsi itu dilaksanakan susulan penguatkuasaan Akta Persaingan (Pindaan) 2025, dan bakal menyatukan peranan berkaitan perlindungan pengguna, metrologi undang-undang, serta persaingan di bawah CCCS, sekali gus mengukuhkan bidang kuasa pengawal selia itu terhadap hal ehwal perlindungan pengguna di Singapura.
“Dengan menggabungkan penguatkuasaan undang-undang persaingan bersama pengawasan perlindungan pengguna yang mantap, CCCS akan mempunyai lebih banyak alat yang lebih menyeluruh untuk memperkukuh integriti pasaran, menggalakkan inovasi perniagaan dan mewujudkan persekitaran perdagangan yang lebih dipercayai, selari dengan hasrat Singapura untuk kekal sebagai hab perniagaan terkemuka,” jelas CCCS, lapor The Business Times.
Ketua Pegawai Eksekutif CCCS, Encik Alvin Koh, berkata penyatuan itu akan memperkukuh kerangka perlindungan pengguna negara.
“Dengan menghimpunkan fungsi-fungsi pengawalseliaan yang saling melengkapi ini, kami dapat meneroka sinergi operasi yang lebih baik dan membangunkan kerangka perlindungan pengguna yang lebih kukuh demi kepentingan perniagaan dan pengguna,” ujar beliau.
CCCS juga memaklumkan bahawa keperluan kawal selia, pendaftaran, serta sijil yang telah dikeluarkan Pejabat Keselamatan Produk Pengguna (CPSO) dan Pejabat Timbangan dan Ukuran (WMO) kekal sah dan berkuat kuasa di bawah bidang kuasa CCCS.
Perniagaan juga diwajibkan untuk terus mematuhi semua keperluan kawal selia sedia ada sepanjang dan selepas tempoh peralihan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg