Badan perusahaan sosial sasar kumpul $10j
Pusat Perusahaan Sosial Singapura (raiSE) menyasar meraih pembiayaan campuran $10 juta dalam tempoh lima tahun, melalui kerjasama rakan pembiaya, demi mengukuhkan sektor perusahaan sosial Singapura.
Ia akan menjadi penghubung perusahaan sosial dengan pembiaya seperti yayasan, dana modal teroka dan pelabur swasta, bagi mendapatkan sokongan selanjutnya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) raiSE, Encik Alfie Othman, berkata:
“Peranan raiSE adalah membina jambatan kepercayaan dengan menyediakan portfolio perusahaan sosial kami agar bersedia untuk pelaburan, sambil melibatkan pembiaya lebih awal untuk memahami minat tematik, selera risiko dan saiz pelaburan mereka.”
Berdasarkan laporan tahunan 2024 hingga 2025, pertubuhan itu kini mempunyai hampir 700 perusahaan sosial sebagai anggota.
Langkah itu bertujuan menangani jurang pembiayaan selepas peringkat awal, apabila perusahaan sering sukar mendapatkan modal tambahan untuk berkembang secara mampan.
CEO The Majurity Trust, Encik Martin Tan, berkata: “Kajian kami menunjukkan masih ada jurang pembiayaan di Singapura, di mana organisasi yang tidak lagi bergantung pada geran, sukar mendapatkan modal untuk berkembang.
“Bagi perusahaan sosial, masalah ini paling ketara bagi pembiayaan antara $500,000 dengan $1 juta, sekali gus menyukarkan mereka untuk berkembang.”
Sehubungan itu, raiSE berharap dana sebanyak $10 juta dapat membantu perusahaan sosial pada pelbagai peringkat pertumbuhan, dengan padanan pembiayaan yang lebih terancang untuk mengembangkan perniagaan dan impak mereka, kata Encik Alfie.
Pendekatan pembiayaan campuran melibatkan raiSE menyediakan bahagian awal pembiayaan bagi membantu perusahaan sosial membina asas kukuh.
Pembiayaan rakan kongsi akan disalurkan selepas pencapaian sasaran yang dipersetujui.
Encik Alfie berkata: “Struktur ini membolehkan perusahaan sosial mendapatkan modal pada kos lebih rendah, sambil memberi keyakinan kepada pembiaya bahawa dana digunakan dengan baik.
“Pembiayaan awal diberi berdasarkan pencapaian yang jelas, sekali gus mengurangkan risiko.”
“Pembiayaan susulan hanya akan diberikan apabila perusahaan sosial menunjukkan kemajuan dan bukti keberkesanan, memastikan pertumbuhan dan impak dapat diukur serta dipertanggungjawabkan.”
Beliau menambah bahawa langkah tersebut memacu pertumbuhan yang lebih lestari dan bertanggungjawab bagi perusahaan sosial.
Encik Alfie turut menjelaskan bahawa raiSE tidak mengumpulkan keseluruhan $10 juta itu secara sendiri dan dana tersebut juga tidak akan dipegang organisasi berkenaan.
“Model pembiayaan campuran membolehkan kami menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pembiaya, daripada kelompok filantropi hingga komersial, masing-masing dengan jangkaan pulangan dan tahap risiko yang berbeza,” katanya.
Sebagai contoh, raiSE akan bekerjasama dengan perantara seperti The Majurity Trust dan Yayasan Masyarakat Singapura.
Inisiatif itu bertujuan menarik lebih ramai rakan kongsi ke dalam ekosistem perusahaan sosial, agar laluan pembiayaan yang lebih mampan dapat diwujudkan dan perusahaan sosial dapat mengurangkan kebergantungan kepada geran.

