Bagi kebanyakan pasangan yang meniti usia senja, persaraan sering dianggap sebagai fasa untuk beristirahat, menikmati ketenangan, dan meluangkan masa bersama keluarga.
Namun, bagi Cik Normala Mohd Noor, 65 tahun, dan Encik Ridzwan Ahmad, 67 tahun, mereka memilih menjadi ‘ibu bapa baru’ pada usia emas.
Mereka berusaha mencurahkan kasih sayang tanpa syarat kepada anak-anak titipan – seorang lelaki berusia 11 tahun, dan seorang perempuan berusia lapan tahun – sambil menyemai benih harapan dalam hati si cilik yang terluka dan mencari penawar.
Encik Ridzwan dan Cik Normala, yang mempunyai dua anak kandung berusia 37 dan 47 tahun, telah menjadikan rumah mereka di Teban Gardens sebagai tempat perlindungan dan penyembuhan sejak menjadi ibu bapa titipan pada 2022.
Keputusan itu tercetus apabila mereka mendengar pengalaman menyentuh jiwa ibu bapa titipan lain yang berbicara tentang kesusahan dan luka hati kanak-kanak yang dahagakan kasih sayang.
Sewaktu Berita Harian (BH) mengunjungi rumah mereka, Cik Normala boleh dilihat memeluk anak titipannya dengan penuh mesra, bagaikan si kecil itu anak kandung sendiri.
“Isteri saya (Cik Normala) memang suka budak-budak,” kata Encik Ridzwan.
“Jadi, apabila rakan-rakan kami, yang juga merupakan ibu bapa titipan bercerita tentang kesusahan kanak-kanak ini, timbul rasa kasihan.
“Hasrat kami adalah untuk berikan mereka tempat berlindung dan kasih sayang,” tambahnya.
Sejak menjadi ibu bapa titipan, rumah mereka tidak sepi dengan gelak tawa dan keceriaan – suasana yang begitu dirindui sejak kededua anak kandung mereka masing-masing telah mendirikan rumah tangga.
Namun, kasih sayang dalam keluarga ini tidak terbatas kepada hubungan pertalian darah semata-mata.
Mereka bahkan bersyukur dua anak kandung mereka yang tidak mempunyai cahaya mata mengambil berat, malahan sedia berkongsi amanah menjaga dan membawa dua adik titipan mereka bersiar-siar.
“Peribahasa. ‘it takes a village to raise a child’ (menggambarkan pentingnya usaha seluruh masyarakat dalam proses kedewasaan dan asuhan seorang anak) memang tepat sekali, kerana anak lelaki saya sering berkunjung ke rumah dan meluangkan masa bersama mereka.
“Tambahan pula, menantu saya yang lebih memahami generasi muda banyak membantu,” tambah Cik Normala, dengan senyuman terukir di bibir.
Namun, mengharungi perjalanan sebegitu bukanlah sesuatu yang mudah. Ia penuh jerih payah.
Walaupun menjadi ibu bapa titipan memberi kepuasan luar biasa, ia datang dengan pelbagai cabaran yang memerlukan kesabaran dan ketabahan.
Cik Normala dan Encik Ridzwan bukan hanya menjalani kursus persediaan sekitar dua bulan untuk memahami keperluan anak-anak titipan mereka, bahkan juga menghadapi tugas berat membantu anak-anak itu mengatasi trauma mendalam ekoran peristiwa silam yang merobek tangkai hati.
“Ada daripada mereka (anak titipan) yang takut apabila nampak penyangkut baju atau kayu.
“Mereka juga pernah melalui banyak peristiwa yang membuatkan mereka ketakutan.
“Jadi kita harus bersabar dan tunjukkan betapa mereka kini selamat dan mereka tidak lagi sendirian,” kata Cik Normala.
Selain pasang surut emosi, cabaran kewangan turut menjadi satu kenyataan yang harus diterima pasangan itu yang tidak lagi memperolehi pendapatan bulanan tetap susuli usia persaraan.
Cik Normala pernah bertugas di Overseas Union Bank (OUB) sebagai pegawai sumber manusia tetapi terjejas dengan penyusunan semula bank itu dan diberhentikan kerja pada 2000.
Encik Ridzwan, seorang eksekutif operasi kelautan di Chevron Pte Ltd, pula diberhentikan kerja semasa wabak Covid-19 menular pada 2020.
Walaupun mereka menerima elaun penjagaan, pasangan itu dengan rela hati menggunakan wang mereka sendiri demi memastikan anak-anak titipan mereka mendapat pendidikan terbaik.
“Kasih sayang kami tiada tandingannya.
“Kami pastikan mereka tidak ketinggalan dalam memburu ilmu. Maka, kami menghantar mereka ke kelas madrasah dan tuisyen peribadi,” jelas Cik Normala.
Di sebalik segala cabaran dan pengorbanan, pasangan itu tidak pernah menyesali keputusan yang dibuat untuk menyibukkan diri dengan amanah menjaga anak titipan.
Sebaliknya, kebahagiaan mereka datang apabila melihat perubahan luar biasa dalam diri anak-anak itu.
“Dari seorang yang pendiam dan takut, mereka kini lebih ceria dan yakin,” kata Encik Ridzwan, dengan getaran suara penuh kesyukuran, kebanggaan dan kepuasan.
Dengan sambutan Hari Raya diraikan pada 31 Mac, ada saat-saat apabila seorang anak titipan yang dijaga itu masih menaruh harapan bertemu ibu kandungnya.
“Dia rindu, tapi dia sendiri tak tahu macam mana nak luahkan perasaan itu.
“Dia selalu tertanya-tanya, ‘Mana ibu saya? Mana ayah saya?’ Saya nampak dia termenung, mata melilau ke luar seolah-olah mencari seseorang,” luah Cik Normala.
Ditanya pesanannya buat mereka yang ingin menjadi ibu bapa titipan, beliau berkata:
“Laksanakan tanggungjawab ini dengan sepenuh hati. Jangan anggap ini sebagai tanggungjawab sementara.”
Encik Ridzwan pula menambah:
“Walaupun anak-anak ini mungkin hanya bersama kita untuk beberapa tahun, kesan kasih sayang yang kita berikan akan bertahan sepanjang hayat mereka.
“Anak-anak ini bukan minta untuk lahir dalam keadaan yang sukar. Tetapi, dengan hati yang ikhlas, kita boleh membantu mereka mempunyai masa depan yang lebih baik.”
“
Dia selalu tertanya-tanya, ‘Mana ibu saya? Mana ayah saya?’ Saya nampak dia termenung, mata melilau ke luar seolah-olah mencari seseorang.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg