Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCS), badan pemantau keselamatan pengguna Singapura, belum menerima sebarang notis daripada syarikat tempahan kenderaan dalam talian, Grab atau GoTo mengenai cadangan penggabungan.
Namun CCS berkata pihaknya terbuka untuk berhubung dengan kedua-dua syarikat itu.
Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), CCS berkata pada 14 November ia sedar tentang laporan media mengenai kemungkinan kerjasama tersebut.
“CCS terbuka untuk berhubung dengan pihak terlibat melalui proses pemakluman penggabungan dan pemakluman awal kami.
“Setakat ini, CCS belum menerima sebarang notis pemberitahuan rasmi daripada Grab atau GoTo mengenai cadangan penggabungan,” kata suruhanjaya itu.
GoTo dan Grab, yang berpangkalan di Singapura, telah mengadakan perbincangan penggabungan yang berulang kali tergendala selama beberapa tahun.
Uber Technologies merupakan pemegang saham penting bagi kededua syarikat itu.
GoTo, terbentuk daripada penggabungan Gojek dan Tokopedia, ialah gergasi teknologi Indonesia, dan sebarang perjanjian akan memberi kesan langsung kepada pasaran asalnya serta jutaan pemandu tempatan yang bergantung kepada platform tersebut.
Khabar angin mengenai penggabungan muncul dari semasa ke semasa sejak beberapa tahun lalu, tetapi kembali hangat minggu lepas selepas Menteri Sekretariat Negara Indonesia, Encik Prasetyo Hadi, mengesahkan pada 7 November perbincangan antara dua ‘gergasi’ itu memang sedang berlangsung.
Beberapa hari berikutnya, khabar angin mula tular di media Indonesia dan media sosial, termasuk dakwaan Singapura ‘dilaporkan ingin’ menyekat langkah tersebut.
Menurut hantaran itu, pengawal selia Singapura dikatakan bimbang pemerintah Indonesia cuba ‘campur tangan’ dalam salah satu syarikat teknologi utama Singapura.
Ini susulan laporan daripada syarikat pelaburan negara itu, Danantara Indonesia, yang menyatakan ia sedang berbincang untuk mengambil pegangan minoriti dalam entiti Grab-Gojek yang digabungkan.
Terdapat juga dakwaan pihak berkuasa Singapura sedang meneliti sama ada pegangan Danantara boleh menjejas keupayaan Grab membuat keputusan perniagaan secara bebas.
Laporan itu juga mendakwa pihak berkuasa Singapura sedang menilai risiko ekonomi dan keselamatan negara yang mungkin timbul daripada penggabungan sebuah syarikat teknologi serantau berskala besar.
Reuters melaporkan pada 13 November bahawa Danantara juga sedang dalam perbincangan untuk mengambil ‘saham emas’, iaitu pegangan khas yang memberi hak veto terhadap keputusan penting walaupun hanya mempunyai pemilikan kecil.
Laporan itu juga menyebut ketua eksekutif Grab, Encik Anthony Tan, telah baru-baru ini bertemu Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, untuk mengusahakan persetujuan bagi urus niaga tersebut.
Dalam maklum balasnya kepada ST, CCS berkata secara umum, di bawah rangka kerja penggabungan sukarela Singapura, perniagaan boleh memasuki urus niaga komersial selagi ia tidak melanggar Akta Persaingan.
Namun, CCS boleh menyiasat jika mengesyaki sesuatu urus niaga seperti penggabungan atau usaha sama mungkin menjejaskan persaingan, dan menasihatkan semua pihak mendapatkan nasihat undang-undang.
Kes penggabungan terpenting di Singapura yang melibatkan Grab ialah pemerolehan operasi Uber di Asia Tenggara pada 2018, yang menyaksikan Uber keluar dari rantau ini dengan 27.5 peratus pegangan dalam Grab.
Perjanjian itu mendapat perhatian kerana ia menyatukan dua pemain terbesar ketika itu, dan meletakkan Grab sebagai peneraju pasaran Singapura.
Selepas siasatan, CCS mendapati urus niaga itu mengurangkan persaingan ketara, lalu mengenakan denda berjumlah sekitar $13 juta ke atas kedua-dua syarikat dan mengenakan langkah-langkah untuk melindungi pemandu, penumpang dan pemain baru dalam pasaran.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg