Setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk membahagiakan diri sendiri atau menyebarkan kebahagiaan.
Bagi seorang pengguna TikTok, yang menggunakan nama akaun SomethingForSomeone, beliau memilih cara menyebarkan kebahagiaan dengan berbuat baik kepada sesiapa sahaja dan tidak secara langsung membahagiakan dirinya juga.
Caranya: Dengan membelikan makanan atau minuman untuk diedarkan kepada orang ramai secara percuma.
Semasa dihubungi Berita Harian (BH), beliau berkongsi bahawa dirinya tergerak untuk hasilkan kandungan sebegini sebagai peringatan kepada dirinya sendiri bahawa beliau pernah berasal dari latar belakang keluarga yang kurang senang.
Dengan tidak secara langsung, beliau yang hanya ingin dikenali dengan panggilan “Z”, berkongsi bahawa dengan berkongsi rezeki, ia menimbulkan kebahagiaan dalam dirinya sendiri.
Ini kerana beliau melakukan perkara ini “demi kebaikan dan bukan untuk mendapatkan nama”.
Tanpa mendedahkan nama sebenar dan wajahnya juga, “Z” berkata ia melindunginya daripada dilontar komen negatif, lantas membolehkan masyarakat untuk menghargai kebaikan yang dikongsi dan bukannya menghakiminya menerusi tindakannya.
“Saya tidak mahu nama saya disiarkan kerana ia dapat membantu menghapuskan kritikan dan membenarkan tumpuan dikekalkan kepada apa yang dilakukan, bukan orangnya,” jelas pemuda berusia 24 tahun itu semasa dihubungi wartawan.
Malah dengan merakam video apa yang dilakukannya itu, ia telah membantunya untuk mendapat sokongan daripada masyarakat dan gerai-gerai yang menyokongnya melakukan amalan sedemikian.
“Selepas beberapa video, orang ramai mula menderma,” kongsi Z. Beliau juga berkata bahawa duit yang diderma tidak digunakan untuk kegunaan peribadi.
“Ada syarikat juga yang menawarkan promosi seperti beli satu dapat satu percuma,” tambah beliau.
Namun beliau sering menekankan kepada syarikat-syarikat yang turut serta bersamanya bahawa apa yang dilakukannya bukan untuk memasarkan sesiapa, sebaliknya “pemberian yang ikhlas”.
“Z” juga menekankan bahawa beliau lakukan ini secara ikhlas dan akan tetap lakukannya meskipun tidak dirakam.
“Saya tidak merancang semuanya. Idea ini timbul secara sendiri, “jelas “Z” yang bekerja sendiri.
Pendekatan sebegini, katanya memastikan bahawa setiap interaksi kekal tulen, mengelakkan tanggapan buruk bahawa ia kebaikan paksa demi mencipta kandungan.
“Z” kini mempunyai matlamat untuk membantu masyarakat di luar negara pula.
“Saya percaya bahawa di luar Singapura, terdapat keperluan yang lebih besar untuk mereka dibantu sama,” kongsinya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg