Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M³ semarak Gotong-Royong 2.0

 5 tahun selepas M³ diasas, relawan terus giat turun padang
Sep 29, 2024 | 5:30 AM
Relawan di M³@Pasir Ris-Punggol, Cik Nurul Atiqah Dzulqarnain, bersama menti dari program #Ampowered, mengagihkan habuan kepada keluarga kurang bernasib baik yang tinggal di blok sewa di Pasir Ris East.
Relawan di M³@Pasir Ris-Punggol, Cik Nurul Atiqah Dzulqarnain, bersama menti dari program #Ampowered, mengagihkan habuan kepada keluarga kurang bernasib baik yang tinggal di blok sewa di Pasir Ris East. - Foto ihsan NURUL ATIQAH DZULQARNAIN

Gerakan M Kuasa Tiga (M³) telah membangkitkan semula semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam di Singapura dengan menggembleng tenaga relawan termasuk karyawan, asatizah dan anak muda, sekali gus memanfaatkan kekuatan kolektif demi meningkatkan martabat masyarakat.

Namun, sedang inisiatif yang sebahagian besar didukung tenaga sukarelawan bagi menjalankan programnya itu dari satu sudut dilihat sebagai paparan keprihatinan masyarakat, dari sudut yang satu lagi, sistem berasaskan relawan sedemikian dikhuatiri kurang mampan dalam jangka panjang, kata aktivis dan pemerhati.

M³ – kerjasama antara Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki (Mendaki) dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra) – diumumkan pada 2018 dan hingga Mac 2024 mempunyai lebih 850 sukarelawan yang menjayakan pelbagai program yang dianjurkan di 11 bandar M³.

Ini termasuk Projek Dian yang menyokong keluarga di flat sewa awam dan Bersamamu yang menyokong perkahwinan, keibubapaan dan pembangunan awal kanak-kanak.

Pengerusi M³@Pasir Ris-Punggol, Encik Azuan Tan, berkata sistem sukarela yang digunakan M³ memupuk semangat kemasyarakatan yang kuat dan menghidupkan semula semangat gotong-royong.

“(Ia adalah sistem) di mana semua orang menyumbang kepada kebaikan kolektif. Ia menyediakan wadah bagi individu membangunkan kemahiran kepimpinan, berhubung dengan orang lain, dan membuat perubahan ketara dalam masyarakat mereka.

“Pemilikan dan penglibatan bersama ini berkuasa dalam membangunkan masyarakat yang berdaya tahan dan mandiri di mana semua orang rasa dihargai, dihormati dan disokong,” katanya.

Pada masa sama, beberapa pengerusi bandar M³ dan pemerhati masyarakat Melayu/Islam berpendapat lebih baik M³ diinstitusikan atau dilengkapi kakitangan sepenuh masa.

“Sokongan relawan yang berterusan, serta peningkatan dalam bilangan kakitangan” diperlukan untuk inisiatif itu terus berjaya, kata pengerusi M3@Jurong, Encik Muhd Faizal Othman.

Timbalan pengerusi M³@Woodlands, Encik Muhammad Harmizan Abdul Hamid, pula mempertimbangkan buruk baiknya menginstitusikan inisiatif tersebut.

Baiknya adalah, M³ yang diinstitusikan akan mewujudkan rasa kekitaan dalam kalangan relawan.

Tetapi langkah itu juga dikhuatiri menjadikan M³ satu lagi persatuan dan membataskan ruang organik bagi relawan turun padang dan bergerak secara bebas.

Jurutera penyelidik kanan, Cik Nurul Atiqah Dzulqarnain, yang menyumbang masa dan tenaga secara aktif bersama M³ sepanjang dua tahun lalu, berkata sukarelawan membawa nyala rasa, pengalaman yang pelbagai, dan komitmen peribadi terhadap misi usaha, yang merupakan kekuatan utama program M³.

Tetapi demi kemampanan jangka panjang M³, beliau berkata relawan perlu diberi sokongan dan pembangunan yang berterusan, dan perlu terdapat keseimbangan antara relawan dan pasukan profesional teras.

“Latihan dan sumber yang lebih berstruktur boleh disediakan untuk relawan. Ini boleh membantu memastikan mereka berasa serba lengkap untuk menangani cabaran yang mungkin mereka hadapi dan meningkatkan keupayaan mereka untuk memberi kesan yang lebih besar,” kata ketua bersama pasukan program pementoran #Ampowered di M³@Pasir Ris-Punggol itu.

“Selain itu, mewujudkan lebih banyak peluang untuk kerjasama dan membina rangkaian dalam kalangan sukarelawan boleh memupuk semangat masyarakat dan sokongan yang lebih kuat,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg