Bakal Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Dr Haresh Singaraju, berkata beliau kini bukan lagi anggota mana-mana parti politik selepas sekeping gambarnya memakai kemeja-T Parti Tindakan Rakyat (PAP) tersebar dalam talian.
Dalam satu hantaran di media sosial pada 6 Januari, Dr Haresh berkata gambar tersebut, yang diambil pada September 2023, adalah daripada satu kegiatan parti yang pernah disertainya sebagai sukarelawan.
Gambar itu menunjukkan Dr Haresh memakai kemeja yang memaparkan logo PAP dan perkataan ‘Tampines’.
Tangkap layar gambar berkenaan daripada akaun Instagram beliau dimuat naik beberapa kali ke forum dalam talian, Reddit, selepas pelantikannya sebagai NMP diumumkan pada 2 Januari.
Gambar tersebut kemudian dipadam daripada akaunnya, lapor The Straits Times (ST).
“Saya kini bukan anggota mana-mana parti,” jelas Dr Haresh – doktor keluarga di Poliklinik Universiti Nasional – pada 6 Januari.
Dalam hantaran tersebut, Dr Haresh berkata, beliau pernah menerima pertanyaan mengenai kaitan politiknya selepas gambar itu tersebar.
Sebelum ini, beliau memberitahu South China Morning Post kegiatan sukarelawan itu dianjurkan oleh Persatuan Rakyat (PA), dan menegaskan ia tidak melibatkan PA sebagai badan berkanun.
Dr Haresh tidak menjawab pertanyaan daripada ST mengenai bila beliau meninggalkan PAP, atau sama ada beliau pernah memegang jawatan kepimpinan dalam pertubuhan akar umbi di Tampines.
Semakan profil beliau di laman rangkaian profesional, LinkedIn, pada 6 Januari menunjukkan beliau telah menjadi pemimpin akar umbi sejak Januari 2023.
PAP telah dihubungi untuk mendapatkan komen.
Gambar Dr Haresh memakai kemeja-T PAP itu membangkitkan semula persoalan mengenai sifat tidak berpihak skim NMP, yang sebelum ini mendapat perhatian pada Februari 2025 selepas dua NMP yang sedang berkhidmat meletakkan jawatan dengan hasrat menyertai sebuah parti politik.
Peguam, Encik Raj Joshua Thomas; dan pakar psikiatri, Dr Syed Harun Alhabsyi, mengemukakan surat peletakan jawatan pada 14 Februari, dan Dr Syed Harun kemudian bertanding dalam Pilihan Raya Umum (GE) pada Mei 2025.
Beliau dipilih sebagai Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon di bawah PAP dan kemudian dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara).
Skim NMP bertujuan memastikan pelbagai pandangan diwakili di Parlimen.
Calon NMP seharusnya memberikan khidmat awam yang cemerlang, mengharumkan nama Singapura, atau menonjol dalam bidang masing-masing.
Dr Haresh merupakan salah seorang daripada sembilan individu yang dipilih untuk memasuki Parlimen sebagai NMP pada awal Januari.
Lapan yang lain terdiri daripada ahli akademik serta pemimpin perniagaan dan kesatuan sekerja.
Presiden Tharman Shanmugaratnam akan menyampaikan surat pelantikan kepada mereka di Istana pada 8 Januari.
Mereka kemudian akan mengangkat sumpah dan ikrar pada sidang Parlimen seterusnya pada 12 Januari.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg