Mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) menegaskan bahawa sifat tidak berpihak dalam skim NMP perlu dipelihara dan mereka yang dipilih harus mewakili pelbagai pandangan.
Pandangan tersebut dikongsi oleh tiga mantan NMP dalam perbincangan panel mengenai masa depan skim itu, sempena ulang tahunnya yang ke-35 pada 18 September.
Mantan NMP, Encik Laurence Lien, mencadangkan supaya wujud tempoh ‘cooling-off’ atau bertenang sebelum mana-mana NMP bertanding dalam pilihan raya, sama ada mewakili parti politik atau sebagai calon bebas, lapor The Straits Times (ST).
Beliau berkata walaupun pandangan politik peribadi tidak dapat dielakkan, mereka dalam skim itu mewakili “keseluruhan rakyat Singapura” dan masyarakat mengharapkan mereka bersifat tidak berpihak.
“Jika anda bersifat berpihak, ia merosakkan kebolehpercayaan institusi,” katanya.
Seorang lagi mantan NMP, Cik Kuik Shiao-Yin, berkata NMP dapat membangkitkan isu di Parlimen tanpa perlu risau tentang keperluan untuk memenangi pilihan raya.
Beliau menambah bahawa untuk kekal relevan, terutama dalam kalangan golongan muda, NMP perlu bercakap dalam cara yang mudah difahami tentang perkara penting supaya dapat menarik perhatian orang ramai.
Peguam dan mantan NMP, Encik Chandra Mohan K. Nair, menegaskan sikap adil dan tidak berpihak dalam skim itu perlu dijaga sepanjang tempoh perkhidmatan.
Beliau berkata semasa berkhidmat di Parlimen antara 2001 dengan 2004, beliau pernah ditawarkan oleh Anggota Parlimen (AP) pembangkang – Encik Chiam See Tong daripada Perikatan Demokratik Singapura (SDA), dan Encik Low Thia Khiang daripada Parti Pekerja (WP) – untuk menyertai mereka, namun beliau menolak.
Ketiga-tiga panelis menjawab soalan hadirin dan membincangkan hasil tinjauan nasional ke atas 500 rakyat Singapura yang menunjukkan 71 peratus setuju NMP memberi suara alternatif, namun hanya sepertiga menganggap skim itu relevan.
Panel itu diadakan di pejabat penerbitan dalam talian, Rice Media, dan dipengerusikan oleh Cik Anthea Ong, usahawan sosial yang pernah menjadi NMP dari 2018 hingga 2020 dalam Parlimen ke-13 Singapura.
Kebimbangan mengenai skim NMP timbul pada awal 2025 selepas dua NMP daripada Parlimen ke-14 – Dr Syed Harun Alhabsyi dan Encik Raj Joshua Thomas – meletak jawatan sebagai NMP dan menyertai Parti Tindakan Rakyat (PAP) menjelang Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Dr Syed Harun, seorang pakar psikiatri, bertanding di bawah PAP dan terpilih sebagai AP GRC Nee Soon.
Beliau akan memegang jawatan Setiausaha Parlimen Kanan bagi Pendidikan merangkap Pembangunan Negara pada 1 Oktober.
Perlembagaan tidak secara jelas menghalang NMP menjadi AP politik, dan Dr Syed Harun berkata beliau “sangat bebas” semasa tempoh perkhidmatannya sebagai NMP.
Dalam tinjauan oleh syarikat penyelidikan OPPi pada Ogos, 63.8 peratus responden berpendapat bahawa sesuai bagi NMP menyertai politik selepas tamat tempoh mereka.
Angka itu meningkat kepada 74.6 peratus jika mantan NMP tersebut bertanding sebagai calon bebas.
Hampir separuh responden juga menyokong cadangan tempoh ‘cooling-off’ atau bertenang sebelum NMP menyertai politik, dan lebih separuh mahu penglibatan awam dalam pemilihan NMP.
NMP dilantik oleh Presiden atas cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang dipengerusikan oleh Speaker Parlimen.
Skim NMP diperkenalkan pada 1990 untuk memastikan pelbagai pandangan dibawa ke Parlimen.
Hingga sembilan NMP boleh dilantik pada satu masa bagi tempoh dua setengah tahun, dengan biasanya dua kumpulan dilantik setiap penggal Parlimen.
Parlimen ke-15 yang bermula pada 5 September belum memulakan proses pemilihan NMP.
Panel juga membincangkan sama ada skim itu perlu dikekalkan, diperbaiki atau dimansuhkan.
Cik Ong membuka tinjauan kedua hingga 18 Oktober untuk mendapatkan maklum balas awam.
Laporan kedua akan disediakan berdasarkan data yang dikumpul.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg