Sembilan individu telah dipilih oleh Jawatankuasa Pilihan Khas untuk dilantik sebagai Anggota Parlimen Dilantik (NMP) yang terkini.
Ia termasuk Timbalan Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Azhar Othman, yang juga Pengerusi Eksekutif, syarikat tenaga dan data, Enercon Asia.
Selain Encik Azhar, calon lain termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Sing Lun Holdings, Encik Mark Lee Kean Phi; Presiden Akuatik Singapura, Profesor Madya Kenneth Goh; doktor perubatan, Dr Haresh Singaraju; tokoh akademik, Profesor Terence Ho; serta pengasas dan CEO, NEO Aeronautics, Dr Neo Kok Beng.
Profesor di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Profesor Kenneth Poon; Pengarah Urusan, Legal Clinic LLC, Cik Kuah Boon Theng; dan Setiausaha Agung Gabungan Kesatuan Pekerja Awam (AUPE), Encik Sanjeev Kumar Tiwari, juga antara yang dipilih.
Kesemuanya merupakan calon baru, kecuali Encik Lee, yang akan kembali untuk penggal kedua, selepas berkhidmat sebagai NMP dari 2023 hingga 2025.
Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng, dalam kenyataan pada 2 Januari, berkata jawatankuasa itu berpuas hati kesemua calon itu telah memenuhi keperluan Perlembagaan.
Beliau, yang juga Pengerusi Jawatankuasa lapan anggota itu, turut memuji sumbangan cemerlang sembilan calon itu kepada masyarakat dan dalam bidang masing-masing.
“Kami yakin mereka akan memperkukuh dan menambah nilai kepada perbahasan Parlimen menerusi latar belakang dan pengalaman mereka yang pelbagai, perspektif yang pelbagai, dan komitmen untuk berkhidmat kepada Singapura dan rakyat Singapura,” kata Encik Seah.
Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah, yang juga anggota jawatankuasa itu, berkata sembilan individu itu telah memberikan sumbangan ketara dalam pekerjaan dan masyarakat, dan cemerlang dalam bidang masing-masing.
Beliau juga berkata usaha untuk memilih daripada senarai calon yang berkelayakan tinggi yang telah memohon untuk peranan itu merupakan satu tugas yang mencabar.
Cik Indranee berkata: “Kami mengalu-alukan kohort baru sembilan NMP ini ke Parlimen ke-15.
“Saya yakin kepakaran dan pengalaman mereka yang pelbagai akan memperkayakan perbincangan di Parlimen sedang kita merangka hala tuju Singapura ke hadapan dalam dunia yang tidak menentu dan terganggu,” kata Cik Indranee.
Sebanyak 57 borang cadangan telah diterima sebelum tarikh tutup penyerahan pada 6 November 2025, 4.30 petang.
Jawatankuasa itu telah mengundang orang awam dan kumpulan berfungsi bagi mengemukakan nama individu untuk dipertimbangkan bagi pelantikan sebagai NMP pada 8 Oktober 2025.
Bercakap kepada Berita Harian (BH), Encik Azhar, 58 tahun, berkata beliau berbesar hati kerana telah dipilih sebagai NMP.
Beliau menambah bahawa beliau akan membangkitkan isu-isu berkaitan perniagaan tempatan dan antarabangsa, tenaga bersih, kemampanan, serta isu-isu berkaitan masyarakat semakin menua dan belia.
Mengenai isu berkaitan masyarakat perniagaan Melayu, Encik Azhar berkata: “Sebagai sebahagian daripada DPPMS, kami prihatin dengan cabaran dan potensi pertumbuhan perniagaan masyarakat perniagaan Melayu kita.
“Saya akan mendengar kebimbangan masyarakat perniagaan Melayu dan membangkitkan isu-isu yang penting kepada mereka, dan membantu mendorong pertumbuhan ekonomi masyarakat kita.”
Seorang lagi calon baru, Encik Tiwari, 47 tahun, berkata beliau mahu memberi tumpuan untuk membantu pekerja agar mereka terus boleh diambil bekerja dan dihargai di setiap tahap kerjaya mereka, terutama pekerja matang dan golongan karyawan, pengurus dan eksekutif (PME).
“Dengan bekerja rapat bersama kesatuan sekerja dan rakan tiga pihak kami, saya berharap dapat membantu membentuk dan mempertajamkan dasar yang akan membawa kepada prospek gaji, kebajikan dan pekerjaan yang lebih baik untuk setiap pekerja,” katanya.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 2 Januari, Presiden NTUC, Cik K Thanaletchimi, berkata Encik Tiwari mewakili semangat perkhidmatan tenaga kerja sektor awam.
“Beliau merupakan penyokong yang tidak kenal erti penat lelah dan dipercayai untuk kesejahteraan, pertumbuhan dan pengiktirafan pegawai kami.
“Kami yakin sepenuhnya beliau akan bersuara dengan berani dan empati untuk semua pekerja,” kata Cik Thanaletchimi.
Sembilan calon itu dijangka menerima watikah pelantikan mereka daripada Presiden Tharman Shanmugaratnam, pada 8 Januari, dan akan mengangkat sumpah dan ikrar di sidang Parlimen pada 12 Januari.
Skim NMP diperkenalkan dengan tujuan untuk memastikan perwakilan pandangan yang luas di Parlimen.
Calon-calon seharusnya individu yang telah melaksanakan perkhidmatan awam yang cemerlang, mengharumkan nama Singapura atau menonjolkan diri mereka dalam bidang masing-masing.
Bagi setiap penggal NMP, sepanjang dua setengah tahun, sehingga sembilan NMP boleh dilantik.
Seseorang layak untuk dilantik sebagai NMP jika mereka merupakan warga Singapura, berumur 21 tahun dan ke atas pada hari pencalonan, dan berada dalam Daftar Pengundi.
Antara keperluan lain, mereka juga harus dapat mengambil bahagian secara aktif dalam prosiding Parlimen.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg