Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banduan diberi peluang temu, peluk anak dalam lawatan penjara

Program oleh badan tidak raih untung, New Life Stories (NLS), dijalankan dua kali setahun dalam lawatan terbuka
Feb 3, 2025 | 5:53 PM
Bekas pesalah, Encik Musa Abdul Rahim, yang dibebaskan pada 2019, telah menerima sokongan New Life Stories (NLS) semasa berada dalam penjara. Gambar menunjukkan beliau bersama anak lelakinya, Nur Adam, dua tahun, di rumahnya di Yishun pada 14 Januari.
Bekas pesalah, Encik Musa Abdul Rahim, yang dibebaskan pada 2019, telah menerima sokongan New Life Stories (NLS) semasa berada dalam penjara. Gambar menunjukkan beliau bersama anak lelakinya, Nur Adam, dua tahun, di rumahnya di Yishun pada 14 Januari. - Foto ST

Seramai 10 lelaki yang kelihatan bengis duduk dalam satu bulatan di sebuah bilik Kompleks Penjara Changi.

Mereka cuba menyembunyikan perasaan cemas yang menyelubungi diri sementara menunggu anak-anak mereka melangkah masuk ke dalam bilik tersebut, pada Disember 2024.

Antara banduan yang menanti kemunculan anak tersayang dengan penuh debaran ialah Faliq, 31 tahun, yang dijatuhi hukuman enam tahun penjara atas tuduhan dadah pada 2020.

Ketika Faliq diberkas, anak lelakinya baru berusia empat tahun. 

Dia kemudiannya hanya dibenarkan untuk berhubung menerusi panggilan video, dua kali sebulan.

Ketika ditemu bual The Straits Times (ST) di Kompleks Penjara Changi, Faliq berkata:

“Saya rindu kebebasan untuk melihat atau bercakap dengan anak saya. 

“Saya mahu menjadi orang yang membuat keputusan itu, bukannya penjara yang menentukan bila saya dibenarkan berbuat demikian.”

Sebagai sebahagian daripada program yang dijalankan pertubuhan tidak meraih untung, New Life Stories (NLS), para banduan berpeluang untuk bertemu dan memeluk anak-anak mereka tanpa dipisahkan dengan panel gelas dalam lawatan terbuka yang dijalankan dua kali setahun.

Tanpa program NLS ini, Faliq berkata lawatan terbuka sebegitu hanya boleh diperoleh jika dia dapat mengumpul sekitar 360 mata. 

Banduan diberikan 20 mata sebulan jika mereka menyertai program pemulihan dan tidak melakukan sebarang kesalahan, tambahan 20 hingga 120 mata turut diberikan untuk tingkah laku baik.

“Berapa banyak bulan yang saya perlukan untuk mencapai (mata) itu? Peluang ini sangat bermakna bagi saya.

“Ia juga memberi semangat kepada saya untuk menjadi lebih baik,” tambah Faliq.

Apabila si anak melangkah masuk ke dalam bilik itu dan dan terlihat bapa mereka, ramai daripada mereka berlari menuju ke arah bapa mereka.

Mereka kemudian menghabiskan dua jam berikutnya untuk bersembang, bermain dan berbual di dalam bilik yang disediakan.

Lebih daripada 650 keluarga telah meraih manfaat daripada Program Pengukuhan Keluarga NLS pada 2024, yang bertujuan membantu bekas pesalah, banduan dan keluarga mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NLS, Cik Saleemah Ismail, berkata memberi ibu bapa ini peluang untuk bermain dengan anak-anak mereka adalah perkara yang penting.

“Tujuan utama kami adalah untuk mencipta hubungan, membaiki ikatan dengan interaksi yang positif, berseronok bersama... seterusnya menanam benih untuk membina semula kepercayaan,” katanya.

Program yang dimulakan pada 2014 ini menyediakan sokongan mental dan emosi kepada keluarga banduan dan bekas pesalah melalui terapi keluarga, serta kegiatan dampingan buat anak-anak banduan meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran membaca dan menulis mereka.

Lebih 50,000 sesi dampingan telah diadakan melibatkan kanak-kanak yang ibu bapa mereka dipenjarakan atau merupakan bekas pesalah dalam tempoh 10 tahun.

Cik Saleemah berkata melalui program ini, NLS telah menyaksikan peningkatan yang ketara dalam kemampuan kanak-kanak ini mengawal tingkah laku dan emosi mereka.

Sekolah turut melaporkan peningkatan dalam prestasi akademik mereka.

Salah seorang bekas pesalah yang telah menerima sokongan NLS ialah Encik Musa Abdul Rahim, 38 tahun, bapa kepada lima anak.

Beliau menjalani hukuman penjara selama lapan bulan atas kesalahan penyalahgunaan dadah dan dibebaskan pada 2019.

Sebelum dipenjarakan, keluarga bukanlah keutamaan baginya, namun segalanya berubah apabila beliau dimasukkan ke dalam penjara.

Kematian ibu rakan sepenjaranya membuatkan beliau ingin berubah.

“(Perkara) itu mungkin boleh terjadi kepada saya, fikir saya. 

“Saya berjanji pada diri sendiri ini kali terakhir saya berada di sini,” kata Encik Musa, yang ketika itu mempunyai ibu bapa yang juga sedang sakit.

Beliau juga bertekad untuk menjadi seorang bapa yang lebih baik. 

“Saya terlepas banyak perkara. Saya tidak tahu perkataan pertama anak saya, atau bila dia mengambil langkah pertama. Saya tidak tahu apa-apa,” kata Encik Musa.

Setelah dibebaskan pada 2019, NLS membimbingnya kembali ke pangkuan masyarakat, memberikan sumber yang diperlukan dan memberi nasihat tentang cara untuk berhubung dengan anak-anaknya.

Melalui NLS, Encik Musa juga diberi peluang bertemu dengan bapa-bapa lain yang merupakan bekas pesalah, sekali gus membolehkan beliau membina kumpulan sokongan. 

Kumpulan itu masih bertemu untuk acara santai bersama.

“Kami keluar bersama, hanya kami para bapa dan anak-anak kami, kerana kami telah terlepas banyak masa bersama mereka,” ujar Encik Musa.

“Sekarang, saya boleh ada di sisi anak-anak saya bila-bila masa mereka perlukan saya,” tambahnya lagi.

“Tujuan utama kami adalah untuk mencipta hubungan, membaiki ikatan dengan interaksi yang positif, berseronok bersama... seterusnya menanam benih untuk membina semula kepercayaan.”
Cik Saleemah Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) New Life Stories (NLS).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg